My Add

Saturday 15 December 2012

Sektor perkhidmatan kesihatan awam diperbaiki


 *NAJIB Tun Razak diiringi Dr. SR Manalan (dua dari kanan) dan Dr. NKS 

Tharmaseelan (kiri) sewaktu menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan 
Persatuan Perubatan Malaysia di Kuala Lumpur, malam tadi. - utusan/
Izham Jaafar

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 14 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tiga perkara utama bagi membolehkan Kementerian Kesihatan memperbaiki serta meningkatkan sektor perkhidmatan kesihatan awam yang kini masih menerima rungutan rakyat dalam beberapa perkara.

Perdana Menteri berkata, perkara pertama yang harus dilakukan ialah memperkukuh sistem kesihatan awam dengan pembangunan infrastruktur dan penyediaan peralatan perubatan terbaik.

Menurut beliau, turut perlu diberi perhatian ialah melatih lebih ramai tenaga kerja berkualiti, meningkatkan kepakaran pengamal perubatan di samping melaksanakan sistem pengurusan risiko dan peningkatan kualiti.

“Analisis awal mendapati rakyat secara amnya berpuas hati dengan sektor perkhidmatan kesihatan awam sedia ada yang dilihat berkualiti. Bagaimanapun, ada yang melahirkan kebimbangan terhadap masa menunggu untuk mendapatkan rawatan yang lama, kekurangan petugas perubatan dan kemudahan yang tidak mencukupi.

“Selain itu, ada juga yang menyatakan sukar mendapatkan rawatan terutama kalangan penduduk di luar bandar dan pedalaman. Rakyat juga bersuara tentang kos perkhidmatan yang tinggi di hospital atau klinik swasta. Berdasarkan maklum balas itu, kita perlu memperbaiki sektor perkhidmatan kesihatan awam," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden MMA, Dr. S R Manalan dan pengerusi jawatankuasa penganjur majlis makan malam, Datuk Dr. NKS Tharmaseelan di sini malam ini.

Najib berkata, dalam memperkukuh sistem kesihatan awam, kerajaan telah melakukan langkah awal dengan meningkatkan bilangan graduan perubatan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan serta luar negara bagi memperbaiki nisbah antara doktor dan pesakit iaitu daripada 1:791 pada tahun lalu kepada 1:400 menjelang 2020.

‘‘Kita juga telah melanjutkan pembekuan sekolah-sekolah perubatan baharu bagi memastikan sekolah perubatan sedia ada dapat meningkatkan program pengajian dan melatih graduan berkualiti. Pembekuan itu akan tamat pada Mei 2016,’’ ujarnya.

Perkara kedua, menurut Najib, ialah dengan meningkatkan penekanan serta memperbaiki pengukuran dan indikator-indikator pengawasan prestasi secara klinikal.

“Ketiganya, kita perlu memperbaiki keseluruhan sistem penjagaan kesihatan sedia ada seperti membangunkan kerjasama antara sektor awam, dan swasta.

“Sememangnya, kerajaan komited meningkatkan taraf kehidupan rakyat. Kita tidak percaya kepada perubahan semata-mata tetapi apa yang kita mahu capai adalah peningkatan dari aspek status dan perkhidmatan kesihatan untuk kepuasan rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan tahun lalu menunjukkan kira-kira 80 peratus pesakit kencing manis dan hipertensi mendapat rawatan di 985 buah klinik kesihatan awam dan 141 buah hospital.

“Ini satu lagi cabaran bagi Kementerian Kesihatan dengan bilangan pesakit kencing manis dan hipertensi terus meningkat, manakala pengendali pusat penjagaan kesihatan awam tidak memiliki cukup masa untuk mendidik dan menjalankan kaunseling bagi mengubah gaya hidup pesakit.

“Oleh itu, dengan anggaran 6,589 buah klinik swasta, mereka boleh memainkan peranan dalam membantu meningkatkan tahap kesihatan pesakit kronik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment