My Add

Sunday 16 December 2012

Selesaikan masalah Wi-fi di kampus - Najib

Oleh HUSSAINI AMRAN
*NAJIB Tun Razak bersalaman dengan para pemimpin pelajar IPT selepas sesi 
bergambar pada majlis perasmian Konvensyen Pemimpin Pelajar IPT sambil 
diperhatikan oleh Mohamed Khaled Nordin (kanan) di Putrajaya, malam
 tadi.- MINGGUAN/Izham Jaafar

KUALA LUMPUR, SABTU, 15 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi mencari kaedah berkesan bagi memastikan kampus-kampus institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara menerima liputan Wi-fi berkelajuan tinggi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan prihatin terhadap keluhan pelajar-pelajar IPT berhubung masalah liputan Wi-fi di kampus masing-masing.

Beliau turut memberitahu, bilangan asrama di kampus IPT bakal ditambah bergantung kepada peruntukan kewangan kerajaan.

"Bagaimanapun, saya tidak akan menjanjikan perkara yang saya tidak mampu tunaikan semata-mata untuk menjadi popular.

"Saya percaya kepimpinan mesti berasaskan kepada moraliti iaitu apabila saya berjanji, saya akan tepati," katanya ketika berucap menyampaikan amanat dalam majlis Perdana Menteri Bersama Pemimpin Pelajar IPT sempena Konvensyen Pelajar IPT 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengerusi Jemaah Yang Dipertua yang juga Presiden IPT Malaysia, Mohd. Hafiz Arifin.

Terdahulu, Mohd. Hafiz dalam ucapannya memohon pertimbangan kerajaan untuk menambah peruntukan membiayai projek menaik taraf perkhidmatan jalur lebar di kampus-kampus IPT.

Selain itu, Mohd. Hafiz turut menyuarakan kesulitan yang dihadapi kira-kira 60 peratus pelajar IPT di seluruh negara yang terpaksa menyewa kediaman di luar kampus ekoran masalah kekurangan asrama.

Dalam pada itu, Najib menjelaskan, transformasi politik yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) turut memberi ruang kepada pelajar-pelajar IPT menunjukkan kematangan dalam isu-isu yang mencakupi kepentingan rakyat dan negara.

"Kita mahu generasi baharu hari ini di kesemua universiti lebih peka, lebih prihatin, lebih tahu, lebih sedar, lebih bermaklumat tentang apa yang perlu mereka lakukan untuk membawa negara ke tahap yang lebih hebat," ujarnya.

Kata beliau, generasi muda juga perlu diberi kepercayaan dan kerajaan telah membuktikannya menerusi pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membuka ruang kepada pelajar-pelajar IPT melibatkan diri dalam politik kepartian. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment