My Add

Tuesday 4 December 2012

Semak fakta sebelum keluar kenyataan - Zahid

KUALA LUMPUR, SELASA, 04 Disember, 2012: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta para pemimpin pembangkang menyemak fakta sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai sesuatu isu terutama membabitkan soal keselamatan dan pertahanan.

Beliau berkata perkara itu penting, bagi mengelakkan kenyataan itu menjadi bahan ketawa pihak yang lebih mengetahui.

"Saya fikir sektor keselamatan dan pertahanan ini janganlah disentuh biarlah ahli profesional dalam kalangan tentera dan polis yang jalankan tugas mereka," katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar Sabtu lepas yang membuat andaian sekiranya pakatan pembangkang memerintah, mereka akan membekukan pengambilan baharu anggota polis kerana mendakwa nisbah anggota polis dengan penduduk di negara ini melebihi statistik piawaian antarabangsa.

Reaksi daripada kenyataan itu, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Datuk Mortadza Nazarene menafikannya dengan menyatakan bahawa nisbah anggota polis kepada penduduk di negara ini adalah seorang untuk 500 dan ini menjadikan beban tanggungjawab polis tinggi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment