My Add

Monday 3 December 2012

Setuju kaji semula undang-undang berkaitan kebankrapan

KUALA LUMPUR , AHAD, 02 Disember, 2012: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung hasrat kerajaan untuk membuat peraturan baharu berkaitan undang-undang kebankrapan yang terlalu ketat, mendapat sokongan Pergerakan Wanita UMNO.

Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, hukuman itu sendiri perlu dikaji semula terutama terhadap pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung seperti penjamin dan ahli lembaga pengarah sesebuah syarikat yang dikenakan hukuman serupa dengan peminjam yang gagal membayar pinjaman.

"Semua disenaraihitamkan walaupun secara asasnya penjamin dan ahli lembaga pengarah tidak sewajarnya menerima hukuman serupa kerana bukan mereka yang meminjam, ini tidak adil. Jadi, saya fikir definisi kebankrapan serta hukumannya ini perlu dikaji semula.

"Selain itu, saya berpendapat golongan yang telah diisytiharkan bankrap di negara ini perlu diberikan peluang kedua. Kadangkala mereka bukan sengaja tidak mahu membayar pinjaman, mungkin ada beberapa kesulitan menyebabkan mereka tidak dapat membayar, apa salahnya beri peluang kedua kepada mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Najib pada ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2012 bahawa kerajaan akan membuat peraturan baharu berkaitan undang-undang kebankrapan kerana undang-undang sedia ada dilihat terlalu ketat.

Mengulas lanjut, Kamilia turut menempelak pengurusan bank di negara ini yang dilihat mengambil sikap sambil lewa terhadap isu kebankrapan apabila surat yang dihantar sering tidak sampai kepada pihak yang sewajarnya.

"Perkara ini sering berlaku. Kadangkala surat itu tidak sampai kepada peminjam, lepas itu penjamin yang menjadi mangsa dan terpaksa hadir ke mahkamah sebelum diisytiharkan bankrap," jelasnya.

Kamilia pada masa sama mencadangkan supaya golongan yang telah diisytihar muflis hanya membayar 'pokok' pinjaman sahaja, bermakna faedah pinjaman dikecualikan kerana jumlah hanya menekan serta menyukarkan lagi golongan itu.

"Saya berpendapat satu kaedah pemantauan peminjam yang sistematik perlu difikirkan supaya tidak lagi selepas ini memerlukan penjamin untuk membuat pinjaman. Pihak bank telah banyak mengaut keuntungan, syarikat-syarikat perbankan sedia ada tidak adil bukan sahaja kepada peminjam tetapi penjamin," ujarnya.

Dalam pada itu, Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Jamelah A. Bakar yang senada dengan Naib Ketuanya memberitahu, peminjam perlu diberikan tempoh sewajarnya untuk membayar pinjaman mereka.

"Kadangkala mereka dalam proses pembayaran tetapi memandangkan tidak mampu membayar jumlah dikehendaki setiap bulan, mereka diisytiharkan muflis," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment