My Add

Tuesday 11 December 2012

Sindiket penipuan internet didalangi warga Nigeria tumpas

CHERAS, SELASA, 11 Disember, 2012: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan internet yang didalangi warga Afrika selepas menahan 19 individu termasuk seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Thailand membabitkan kerugian hampir RM400,000, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, berkata dalam serbuan yang dilakukan pada 4 dan 5 Disember lalu, pihaknya menahan 17 warga Nigeria yang dipercayai menjadi agen penghantaran barang dari luar negara.

Beliau berkata, kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 22 hingga 44 tahun dipercayai mengunakan pas pelajar bagi menjalankan aktiviti penipuan itu di sekitar Taman Maluri, Kepong dan Pandan Perdana.

"Siasatan dijalankan berdasarkan laporan yang diterima daripada seorang lelaki Kadazan Dusun yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur selepas didakwa ditipu sindiket berkenaan, Julai lalu.

"Mangsa diminta untuk memasukkan wang tunai sebanyak RM2,800 ke dalam akaun bank milik seorang lelaki warganegara Nigeria bagi tujuan penerimaan hadiah daripada kenalan Facebook iaitu seorang wanita yang menetap di United Kingdom.

"Selepas memasukkan wang berkenaan ejen berkenaan meminta mangsa menambah duit kerana ia perlu dibayar dalam nilai AS$2,800 dam mangsa memasukkan RM3,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis Cheras di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Izany berkata, selepas memasukkan wang terbabit mangsa menerima panggilan telefon daripada pegawai Kastam supaya memasukan wang berjumlah RM10,500 untuk pelepasan barangan kerana bungkusan dipercayai mengandungi mata wang asing.
 
Izany berkata, suspek wanita tempatan yang ditahan adalah salah seorang pemilik akaun yang digunakan sebagai keldai akaun oleh sindiket berkenaan untuk memperdaya mangsa memasukkan wang bagi tujuan penipuan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 14 komputer riba, 27 telefon mudah alih, tujuh cop syarikat, empat buku akaun simpanan bank, empat buku cek bank dan dua unit pendrive. - BH

No comments:

Post a Comment