My Add

Wednesday 19 December 2012

Skim tanam semula, baja percuma ditingkatkan

*MOHD. Shafie Apdal (kiri) bercakap kepada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Cara-Cara Bagi Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil Komoditi Industri, di Putrajaya, semalam. Turut hadir, Wan Mohamad Zuki Mohamad (dua dari kiri) dan Yussoff Dohab (kanan). - BERNAMA

PUTRAJAYA, SELASA, 18 Disember, 2012: Peruntukan skim tanam semula dan pemberian baja secara percuma kepada pekebun kecil di seluruh negara akan ditingkatkan untuk membantu kegiatan pertanian yang diusahakan golongan tersebut.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, skim yang diwujudkan tahun lalu itu bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, kelapa sawit dan tanaman industri lain.

"Kita memperuntukkan sejumlah RM130 juta untuk skim tanaman semula dan RM80 juta untuk program pemberian baja kepada seramai 20,000 pekebun kecil.

"Peruntukan itu bagi meningkatkan pendapatan per kapita mereka daripada RM20,000 sehektar kepada RM48,000 seperti yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Cara-Cara Bagi Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil Komoditi Industri di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Yussoff Dohab dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad.

Menurut Mohd. Shafie, mesyuarat juga bersetuju supaya RISDA bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Katanya, pihaknya mencadangkan sebahagian kecil tanah milik pekebun kecil dilibatkan dengan aktiviti pertanian dan penternakan berskala kecil untuk menambah pendapatan sampingan.

"Cadangan ini memandangkan harga komoditi ada naik dan turun, jadi bila ada aktiviti lain seperti tanam cili dan ternak ayam mampu menampung pendapatan ketika harga komoditi tidak menentu," katanya.

Katanya, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga akan ditingkatkan di masa hadapan bagi meningkatkan hasil pengeluaran bahan komoditi tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment