My Add

Saturday 15 December 2012

Sokongan pengundi terhadap Najib meningkat

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 14 Disember, 2012: Hasil kaji selidik terbaru oleh Merdeka Center membabitkan pengundi di Semenanjung Malaysia menunjukkan sokongan mereka terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat kepada 65 peratus.

Kedudukan tersebut yang diumumkan hari ini dilihat lebih baik berbanding kajian Mei lalu yang mencatatkan sokongan sebanyak 64 peratus.

Kaji selidik itu turut mendapati tahap kepuasan kalangan pengundi berusia di bawah 30 tahun terhadap kepimpinan Najib meningkat daripada 62 peratus pada Mei lalu kepada 68 peratus dalam kajian sekitar Oktober dan November lepas.

''Peningkatan itu ekoran janji-janji kerajaan antaranya bantuan kewangan, baucar buku, pelaksanaan pemberian rebat telefon pintar termasuk beberapa program seperti pameran kerjaya, aktiviti sosial dan hiburan,'' kata Merdeka Center dalam satu kenyataan di sini.

Kaji selidik yang dijalankan melalui panggilan telefon bermula 22 Oktober hingga 20 November itu membabitkan 1,018 responden di kalangan pengundi berdaftar berusia 21 tahun ke atas di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Menurut Merdeka Center, kaji selidik itu juga menyaksikan sokongan pengundi Cina meningkat sembilan peratus iaitu daripada 37 peratus pada Mei lalu kepada 46 peratus dalam kajian terbaru itu.

Bagaimanapun, kaji selidik mendapati sokongan orang Melayu menurun kepada 75 peratus berbanding 79 peratus dalam tempoh berkenaan.

''Sungguhpun tahap kepuasan terhadap kepimpinan Perdana Menteri adalah tinggi, kaji selidik sama mendapati hanya 48 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati dengan kerajaan dan peratusan itu tidak berubah berbanding kaji selidik Mei lalu.

''Dalam kalangan pengundi Melayu, mereka berpuas hati dengan kerajaan menurun iaitu daripada 65 peratus kepada 63 peratus. Namun responden India, ia mencatatkan peningkatan daripada 46 peratus kepada 52 peratus antara Mei dan November lalu,'' kata badan bebas berkenaan.

Sementara itu, kaji selidik berhubung persepsi pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) mendapati, seramai 47 peratus pengundi berpuas hati dengan parti berkenaan dan 34 peratus sebaliknya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment