My Add

Thursday 13 December 2012

SPAD beri lampu hijau pembinaan trem di Melaka

MELAKA:, RABU, 12 Disember, 2012: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi lampu hijau bagi projek trem di Melaka walaupun undang-undang berkaitan penggunaannya masih belum wujud di negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kerja teknikal seperti pembinaan landasan dan depoh boleh dimulakan sementara menunggu undang-undang pengangkutan trem digubal.

"Undang-undang jalan raya sedia ada tidak merangkumi penggunaan trem dan belum ada peraturan yang mentadbir pergerakannya. Namun kita benarkan projek ini diteruskan kerana kita masih ada masa untuk mewujudkan undang-undang itu selagi operasi trem belum dimulakan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di sini, hari ini.

Beliau berkata, SPAD mengadakan perbincangan dengan pihak Peguam Negara dalam merangka undang-undang tersebut sebelum ia dibawa ke Parlimen untuk digazet.

Dalam pada itu, katanya, SPAD akan meminta laporan terperinci mengenai aspek keselamatan dan penyelenggaraan sistem trem daripada pihak pemaju bagi memastikan kelancaran pengangkutan tersebut.

Projek pembinaan trem di Melaka dilaksanakan oleh Syarikat Mrails International Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Ketua Menteri (CMI) membabitkan kos RM272 juta yang akan bermula dari depot bersebelahan Plaza Tol Ayer Keroh ke Bandaraya Melaka meliputi jarak 40 kilometer merangkumi 11 daripada 14 kawasan tarikan pelancong.

Trem yang bakal beroperasi menggunakan gas cecair asli itu berupaya mengangkut 120 penumpang pada satu-satu masa dengan kelajuan 40 km/j.
Sementara itu, Mohd Ali berkata, kerja awal projek trem dijangka dimulakan pada Februari tahun depan.

"Kerja-kerja teknikal bagi pembinaan infrastruktur seperti depoh akan dilakukan tertakluk kepada kelulusan peringkat akhir rekabentuk sistem kenderaan ini oleh SPAD," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment