My Add

Tuesday 11 December 2012

SPAD perkenal MyTeksi, Taxi Monger tingkat kecekapan pemandu teksi

KUALA LUMPUR, SELASA,11 Disember, 2012: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang giat memperkenal kaedah baru bagi membolehkan pemandu teksi negara ini meningkatkan kecekapan mereka, Dewan Negara diberitahu, hari ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata kaedah berkenaan termasuk memperkenal penggunaan aplikasi MyTeksi dan Taxi Monger.

"Aplikasi MyTeksi dan Taxi Monger adalah aplikasi telefon pintar yang membolehkan pengguna untuk membuat tempahan teksi dengan lebih mudah," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Pau Chiong Ung yang mahu tahu mengenai usaha SPAD memulihkan reputasi pemandu teksi Kuala Lumpur yang didakwa (hasil kaji selidik sebuah syarikat teksi London) sebagai pemandu teksi paling teruk di dunia.

Ahmad berkata, dua aplikasi berkenaan juga memberi peluang kepada pemandu teksi untuk mendapatkan penumpang dengan lebih cekap dan berkesan kerana ia akan memberikan maklumat seperti jarak penumpang terdekat dan destinasi yang hendak dituju.

Katanya, SPAD akan turut mempertingkat tindakan penguatkuasaan bagi membanteras amalan negatif yang dilakukan pemandu teksi dan memastikan mereka menjalankan operasi mengikut peraturan dan syarat ditetapkan.

"SPAD sudah melancarkan saluran aduan pengguna pada 10 November lalu yang mana orang ramai boleh membuat aduan mengenai pemandu teksi melalui empat kaedah," katanya.

Empat kaedah berkenaan ialah melalui nombor hotline 1-800-88-SPAD (7723), atau e-mel kepada aduan@spad.gov.my, Twitter melalui @aduanTwitter dan melalui laman sesawang www.spad.gov.my.

Beliau berkata, jika didapati ada pemandu teksi yang melanggar peraturan, termasuk tidak menggunakan meter atau menyewakan teksi pada orang asing serta membabitkan tata etika pemandu, tindakan tegas sehinggalah membatalkan lesen dan permit akan diambil.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Pau, Ahmad berkata, SPAD akan mewajibkan kursus yang lebih ketat kepada pemandu dan pengusaha teksi sebelum lesen atau permit teksi dikeluarkan.

"Pada awal tahun depan juga, SPAD akan melancarkan Akademi SPAD untuk memberi latihan kepada pemandu bas dan teksi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment