My Add

Sunday 16 December 2012

Sumber air: Mukhriz tegur Kedah caj Mada

ALOR SETAR, SABTU, 15 Disember, 2012: Kerajaan Kedah semakin kekeringan idea dalam menjana hasil negeri apabila berhasrat mengenakan caj kepada pihak yang menggunakan sumber air dari sungai.

Selepas mengenakan caj air mentah kepada Pulau Pinang, kini kerajaan negeri berhasrat melakukan perkara sama kepada agensi kerajaan pusat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) selain syarikat dan kilang di Kedah, Pulau Pinang serta Perlis yang mengambil air dari sungai.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (gambar) berkata sejak hari pertama pakatan PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP mengambil alih negeri ini, mereka menyatakan akan memperoleh pendapatan melalui sumber air dan balak.

Beliau berkata, ini jelas menunjukkan kerajaan negeri hanya mampu memperoleh pendapatan menerusi sumber sedia ada dan ia satu kerugian kepada rakyat serta negeri kerana tiada penjanaan pendapatan baharu untuk melaksanakan pembangunan.

"Kita kerugian empat tahun, dan rakyat boleh bagi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk lonjakkan negeri ini setanding dengan negeri maju," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Seminar Pendidikan dan Hari Keluarga Sindrom Down Peringkat Kebangsaan 2012 di Hospital Sultanah Bahiyah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri Datuk Phahrolrazi Zawawi baru-baru ini mengumumkan akan mengenakan caj air mentah kepada Mada bermula tahun depan selain mana-mana syarikat dan kilang di negeri ini, Perlis dan Pulau Pinang.

Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata Kedah mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan, antaranya, Kulim Hi-Tech Park serta mewujudkan hab getah yang mampu menarik pelabur asing ke negeri ini.

"Kita boleh bangunkan hab getah di kawasan seluas 16,000 hektar ladang getah. Kita boleh tarik industri yang berkaitan dengan getah untuk beroperasi di Kulim Hi-Tech," katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment