My Add

Monday 24 December 2012

Syarikat M’sia digalak teroka projek kesihatan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 24 Disember, 2012: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggalakkan syarikat Malaysia meneroka peluang perniagaan bagi projek penjagaan kesihatan di Arab Saudi.

Ia berkata, RM223.71 bilion (US$73 bilion) telah diperuntukkan antara tahun 2010 sehingga 2014 bagi projek termasuk pembinaan 121 hospital, 700 pusat penjagaan kesihatan utama dan 400 pusat kecemasan.

"Projek-projek berpotensi termasuklah pengurusan hospital, operasi pusat perubatan persendirian, latihan profesional perubatan, latihan kakitangan dalam pengurusan dan pentadbiran hospital, pengurusan kemudahan serta penyelenggaraan hospital dan peralatan,” kata Matrade dalam satu kenyataan.

Agensi penggalakan perdagangan itu berkata, pengeksport peralatan dan peranti perubatan, ubatan dan produk farmaseutikal serta produk pakai buang perubatan Malaysia perlu melihat peluang di Arab Saudi untuk mengembangkan eksport mereka.

Selain itu, Matrade berkata, peluang bagi syarikat Malaysia juga termasuk dalam reka bentuk dan pembinaan kemudahan perubatan, perkongsian dan kerjasama dalam menubuhkan hospital pengajaran, kolej kejururawatan dan penyelidikan perubatan.

Kerja-kerja sub kontrak berkaitan dengan kemudahan perubatan dan sektor teknologi maklumat dan komunikasi seperti e-Kesihatan dan prasarana teknologi maklumat lain, dan, peruntukan khidmat runding juga menawarkan bahagian yang menarik untuk diteroka, kata Matrade.

Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Abdullah Al-Rabeea berkata, tanah seluas 4.5 juta meter persegi telah diperuntukkan bagi pengembangan kemudahan kesihatan di Taif dan Jeddah.

"Tanah bersebelahan dengan Hospital King Faisal di Taif telah diperuntukkan bagi pembinaan menara perubatan yang akan menempatkan hospital bersalin dan hospital kanak-kanak. "Program di Taif juga termasuk pembinaan hospital besar dan hospital pemulihan berdekatan Universiti Taif,” kata beliau yang dipetik dalam satu kenyataan.

Syarikat Malaysia yang berminat menyertai projek penjagaan kesihatan Arab Saudi boleh menghubungi Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Jeddah, Amran Yem, untuk mendapatkan nasihat bagi menjalankan perniagaan di negara tersebut. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment