My Add

Friday 14 December 2012

Tabung Haji sedia bantu Bangsamoro

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 13 Disember, 2012: Tabung Haji bersedia membantu Suruhanjaya Kebangsaan Masyarakat Islam Filipina (NCMF) membangunkan sektor pertanian dan hal ehwal pengurusan ibadat haji penduduk Bangsamoro.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, NCMF telah mengemukakan permohonan supaya kerajaan Malaysia membantu dalam membangunkan tanah di kawasan Mindanao.

Jelasnya, Tabung Haji telah menyatakan kesediaan memberi kerjasama bersesuaian dengan kepakaran dan bidang yang diceburi tetapi perlu dilakukan menerusi kerajaan dengan kerajaan (G2G).

"NCMF memohon bantuan dari segi pengalaman Tabung Haji mengendalikan pelaburan terutama berkaitan sektor perladangan kelapa sawit.

"Mereka turut menyerahkan dokumen berserta maklumat mengenai tanah di Mindanao yang berpotensi dibangunkan sekali gus meminta Tabung Haji meneliti dan mengkaji perkara tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji di sini hari ini.

Menurut Jamil Khir, NCMF berharap Tabung Haji membantu menguruskan jemaah haji penduduk Bangsamoro berdasarkan pengalaman Malaysia sebelum ini.

"Tahun ini bilangan jemaah haji penduduk Bangsamoro adalah sebanyak 11,000 orang, namun mereka tidak mampu menguruskan kesemuanya ekoran pelbagai kekangan,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment