My Add

Tuesday 18 December 2012

Tambah pengurus wanita di universiti - Rosmah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 17 Disember, 2012: Pihak universiti digesa menambah bilangan wanita dalam pengurusan tertinggi bagi mengelakkan daripada didominasi oleh golongan lelaki.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ini kerana berdasarkan beberapa kajian mendapati penyertaan wanita terutamanya dalam pengurusan kepimpinan tertinggi bidang akademik agak kurang memuaskan.

Katanya, walaupun terdapat kira-kira 60 peratus pendaftaran di universiti awam adalah wanita, namun hanya tiga daripada 20 naib canselor adalah kaum hawa.

"Kita sebenarnya berada pada tahap kritikal untuk mencapai keseimbangan penyertaan wanita dan lelaki dalam pengurusan tertinggi di universiti. Harus wujud penyertaan seimbang.

"Universiti tidak lagi harus dilihat didominasi secara total oleh lelaki dan kelab lelaki, Oleh itu, pihak universiti perlu lebih proaktif dalam menghapuskan sikap memihak jantina yang menghalang wanita memegang jawatan tertinggi dalam bidang akademik," katanya.

Beliau berucap demikian pada Bengkel Pembinaan Kapasiti Kepimpinan Antarabangsa bagi Tokoh-Tokoh Akademik Wanita 2012, di sini hari ini.

Teks ucapan Rosmah dibacakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Turut hadir, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin.

Jelas Rosmah, ketidakseimbangan penyertaan jantina di peringkat pengurusan tertinggi berpotensi menjadi topik hangat pada masa depan dan membawa kepada masalah.

"Sehubungan itu, perkara seumpama itu harus ditangani pada peringkat awal bagi mewujudkan penyertaan seimbang antara lelaki dan wanita," katanya.

Menurut beliau, sektor korporat mendapati bahawa penyertaan wanita dalam pengurusan lembaga syarikat dapat meningkatkan pelaburan, jualan dan produktiviti sesebuah syarikat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment