My Add

Tuesday 25 December 2012

Tampil berkongsi harapan - PM

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA



KUALA LUMPUR, ISMIN, 24 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) berkata, beliau sentiasa terbuka untuk menerima pandangan masyarakat Kristian walaupun Malaysia sebuah negara majoriti Islam.

Menurut Perdana Menteri, walaupun kumpulan minoriti, penganut agama Kristian di negara ini memainkan banyak peranan penting dalam masyarakat terutama di Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, beliau berharap, masyarakat Kristian tampil untuk berkongsi harapan serta pandangan agar dapat sama-sama memastikan negara ini terus kekal aman dan harmoni.

"Sesetengah daripada kita tidak menyedari seorang daripada 10 rakyat Malaysia penganut Kristian. Ini semua tercatat dalam sejarah kita yang pelbagai," katanya menerusi laman blog, www.1Malaysia.com.my.

Perdana Menteri berkata demikian dalam perutusan Krismas kepada masyarakat Kristian yang akan menyambut perayaan itu esok.

Dalam pada itu, Najib berkata, sejak mengambil alih pentadbiran, beliau telah menekankan beberapa perkara termasuk konsep perpaduan menerusi semangat 1Malaysia serta Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).

"Konsep ini bukan hanya mengenai dialog tetapi saya mahu ia menjadi kenyataan. Sebab itu, saya melawat Pope Benedict XVI tahun lepas, sekali gus mewujudkan hubungan diplomatik secara rasmi dengan Vatican City.

"Satu lagi pencapaian yang dikecapi adalah apabila kerajaan membenarkan mana-mana penganut agama Kristian ke Jerusalem sekiranya mereka mahu menunaikan ibadat di sana," katanya.

Dalam perutusan serupa, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Malaysia saling kunjung-mengunjungi atas semangat 1Malaysia bagi meneruskan tradisi berbilang kaum dan agama sempena Krismas kali ini.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat negara ini untuk meneruskan keharmonian dengan mengamalkan toleransi sesama kaum.

Ini kerana jelas beliau, keharmonian dan sikap toleransi adalah asas utama yang melonjakkan pencapaian negara baik dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya sejak merdeka.

"Apa yang penting ialah rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita dapat terus mempertahan dan menyemarakkan keharmonian serta keamanan yang kita kecapi selama ini.

"Sebab keharmonian adalah pra syarat utama untuk Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju," katanya dalam satu kenyataan sempena perutusan sambutan Hari Krismas di sini hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Malaysia kini berada di landasan yang betul dalam perjalanan menuju negara maju tetapi pencapaian itu bergantung kepada sejauh mana keharmonian yang dikecapi hari ini dapat terus disemarakkan.

Katanya, hasil perpaduan dalam masyarakat, ekonomi negara kini berkembang pesat dan mencatat pertumbuhan positif walaupun iklim ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu.

"Dengan perkembangan yang amat positif ini, kita yakin harapan dan cita-cita rakyat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan menjadi kenyataan," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment