My Add

Wednesday 5 December 2012

Taufan Bopha di Filipina ragut 52 nyawa

 *SEBATANG pokok besar tumbang di tengah-tengah jalan selepas taufan Bophamelanda Tagum City, selatan Filipina, semalam. - Reuters
MANILA, SELASA, 04 Disember, 2012: Sekurang-kurangnya 52 orang maut apabila taufan kuat, Bopha mula membadai di wilayah selatan Filipina hari ini.

Taufan tersebut turut menyebabkan bekalan elektrik terputus, sistem pengangkutan awam terjejas dan bencana banjir di beberapa kawasan berisiko tinggi termasuklah kejadian tanah runtuh.

Pegawai Pembangunan dan Perancangan Wilayah Davao Oriental, Freddie Bendulo berkata, kesemua mangsa yang terbunuh merupakan penduduk kawasan persisiran pantai di Pulau Mindanao.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Pertahanan Awam, Benito Ramos berkata, lebih 40,000 penduduk yang tinggal di kawasan persisiran pantai dan tepi sungai yang berisiko tinggi telah berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Ramos berkata, pihaknya juga masih memantau laporan kematian dan kerosakan ekoran satu kejadian tanah runtuh di sebuah kampung di kawasan pertanian di wilayah Lembah Compostela.

"Kami juga sedang menyiasat untuk mengesahkan laporan kematian di wilayah Leyte Selatan dan Davao Oriental ekoran taufan itu," katanya.

Menurut Ramos, bekalan elektrik dilapor terputus di beberapa kawasan majlis perbandaran di wilayah selatan Surigao del Sur, Surigao del Norte dan Davao Oriental, manakala beberapa kawasan di wilayah Agusan del Sur mengalami banjir.

Sekurang-kurangnya 80 penerbangan domestik terpaksa dibatalkan ekoran taufan itu.

Semalam, Presiden Benigno Aquino III membuat rayuan kepada orang ramai yang disiarkan di televisyen supaya mereka yang tinggal di laluan Taufan Bopha berpindah ke kawasan selamat.

Aquino turut mengerahkan pasukan tentera untuk menggunakan bot mencari dan menyelamat bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Bahaya yang datang dari Taufan Bopha tidak boleh dipandang mudah.

"Kita perlu saling bantu-membantu untuk mengurangkan jumlah kematian dan kerugian akibat taufan itu," jelas beliau.

Pakar ramalan cuaca kerajaan, Jori Loiz berkata, Taufan Bopha merupakan taufan terkuat yang melanda Filipina pada tahun ini dan dilapor mulai lemah selepas melanda wilayah Davao Oriental awal hari ini.

Loiz berkata, taufan berkenaan membawa angin berkelajuan 160 kilometer sejam dan boleh mencapai kelajuan sehingga 195 kilometer sejam.

Katanya, taufan itu juga bergerak perlahan dengan kelajuan 20 kilometer sejam, lebih perlahan berbanding kelajuan yang dikesan sebelum ini di bandar Malaybalay iaitu selaju 50 kilometer sejam. - Agensi

No comments:

Post a Comment