My Add

Monday 10 December 2012


Teater muzikal "Ali Baba" di Istana Budaya


KUALA LUMPUR, ISNIN, 10 Disember, 2012: Teater muzikal "Ali Baba" iaitu sebuah karya teater yang diadaptasi daripada filem “Ali Baba Bujang Lapok" arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee bakal dipentaskan di Istana Budaya bermula 21 hingga 29 Disember ini.

Menurut Unit Perhubungan Awam Istana Budaya, teater muzikal yang pernah diangkat pada 2006 itu akan membawa satu kelainan bertujuan menarik lebih ramai penggemar teater muzikal tempatan untuk lebih menghayati karya filem P.Ramlee.

Katanya, pementasan teater itu juga merupakan penutup tirai persembahan di Istana Budaya bagi tahun ini.

"Enam tahun lepas teater muzikal Ali Baba berkonsepkan teater muzikal kanak-kanak melibatkan 80 kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun, selain Aznil Nawawi, selaku teraju utama yang memegang watak ketua penyamun.

"Namun, kali ini ia berkonsepkan remaja di samping beberapa kelainan termasuk menerapkan konsep futuristik dengan menggunakan teknologi canggih ketika pementasan serta mengekalkan elemen muzik Arab yang diberi nafas baharu dalam pelbagai genre termasuk ballet, rock dan tango," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Selain kostum menarik dipakai oleh para penari, katanya, penonton juga bakal dihiburkan dengan pertunjukan silap mata oleh ahli silap mata profesional, Mahdi Mousidi yang dijemput khas dari Iran.

Antara pelakon yang akan menjayakan pementasan kali ini ialah Aznil (masih teraju utama) yang mengekalkan wataknya sebagai ketua penyamun, Fizo Omar, Ebby Yus, Elfira Loy, Najua P. Ramlee, Zarina Raja Lawak, Aziz M. Osman dan Danish Zakwan.

Orang ramai yang ingin menyaksikan pementasan teater muzikal Ali Baba itu boleh mendapatkan tiket melalui www.ticket2u.biz atau di Kaunter Box Office Istana Budaya yang dijual dengan harga RM30, RM50, RM70 dan RM100.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-4147 8600 dan 03-4026 5558. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment