My Add

Friday 21 December 2012

Temasya AUG: Jangan terlalu bergantung kepada atlit elit

VIENTIANE, JUMAAT, 21 Disember, 2012: Temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012 yang melabuhkan tirainya di ibu negara Laos semalam, menyaksikan hampir kesemua acara yang disasar kontinjen Malaysia menyumbangkan pingat emas sekali gus menempatkan negara sebagai juara keseluruhan kejohanan itu.

Renang, terjun dan olahraga yang menjadi antara sandaran utama negara tidak
menghampakan apabila menjadi penyumbang terbanyak pingat emas buat kontinjen universiti Malaysia.

Mereka mempamerkan prestasi cemerlang untuk membantu kontinjen Malaysia yang
dibarisi 306 atlit untuk mengungguli carta pungutan pingat pada temasya tersebut
dengan membawa pulang 60 pingat emas, 47 perak dan 72 gangsa.

Kejayaan itu, sekali gus menobatkan Malaysia buat pertama kalinya sebagai
juara keseluruhan dan lebih manis kejayaan itu diraih di luar negara.
Kali terakhir Malaysia bergelar juara keseluruhan ialah ketika menjadi tuan
rumah pada edisi ke-14, empat tahun lalu.

Pada temasya kali ini, skuad renang paling menyerlah apabila menyumbangkan
pingat terbanyak buat kontinjen Malaysia iaitu 21 emas.

Acara terjun juga tidak menghampakan apabila menyapu bersih kesemua empat
pingat emas yang ditawarkan dalam acara tersebut.

Atlit olahraga turut mencuri tumpuan apabila berjaya melepasi sasaran yang
ditetapkan dengan meraih 11 emas, 10 perak dan enam gangsa manakala karate-do
dan memanah, masing-masing meraih tujuh dan enam emas.

Bagaimanapun, kejayaan kontinjen universiti negara pada temasya dwitahunan
itu dilihat masih bergantung kepada sumbangan atlit elit kebangsaan yang
bertaraf dunia serta dalam sukan tertentu.

Membariskan 30 peratus atlit elit kebangsaan dalam kontinjen Malaysia,
kesemua mereka tidak menghampakan apabila menyumbangkan pingat emas kepada negara.

Atlit Olimpik seperti Khoo Cai Lin, Bryan Nickson Lomas, Leong Mun Yee yang
menyumbangkan pingat emas yang mana atlit terbabit menunjukkan prestasi tinggi, bukan saja di peringkat antarabangsa tetapi menempah nama di peringkat Asia serta pentas dunia.

Justeru, bagi memastikan kontinjen universiti Malaysia terus unggul di
peringkat antarabangsa, pembangunan sukan untuk atlit berkenaan perlu
dipertingkat supaya kejayaan itu tidak hanya bergantung kepada atlit elit
kebangsaan dan dalam sukan tertentu, pada temasya akan datang.

Dasar yang diperkenalkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan menubuhkan pusat kecemerlangan sukan di setiap universiti perlu lebih menyeluruh dalam melahirkan atlit kebangsaan bertaraf antarabangsa di peringkat universiti.

Acara sukan lain seperti ping pong, petanque, pencak silat, judo, tenis dan
Muay Thai juga boleh menyerlah, sekiranya atlit itu digilap; kerana pada temasya
kali ini, mereka mampu menyumbangkan sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam
acara masing-masing.

Ketua kontinjen Malaysia, Prof Dr Yahaya Ibrahim, berkata beliau bangga dengan pencapaian atlit yang tidak diletakkan harapan apabila menyumbangkan sekurang-kurangnya satu pingat gangsa dalam acara masing-masing.

"Kita hanya mensasarkan kutipan pingat bagi acara akuatik, memanah, olahraga
dan karate-do. Memang kita tidak letakkan harapan tinggi dalam sukan lain, namun
kebanyakan atlit kita buat kejutan seperti dalam pencak silat, wushu, judo dan
tenis.

"Malah, ada di antara mereka yang pertama kali mewakili negara di peringkat
Asia Tenggara dan mereka menyerlah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment