My Add

Tuesday 4 December 2012

Tender AES dibuat secara telus, tidak tergesa-gesa

PUTRAJAYA, SELASA, 04 Disember, 2012: Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan menegaskan pemilihan pembekal teknologi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilakukan secara telus dan tidak tergesa-gesa.

Menurutnya keseluruhan proses mengambil masa hampir lapan tahun dan membabitkan banyak pihak sebelum AES dilaksana di 14 lokasi pada 23 September lalu.

Solah yang mengeluarkan kenyataan bagi mengulas dakwaan antaranya pelaksanaan AES dibuat secara tergesa-gesa dan tidak mengikut tender, juga berkata pihaknya dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya telah menghantar pegawai kanan ke beberapa negara yang menggunakan teknologi itu pada 2005.

Antara negara terbabit ialah Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat serta Switzerland dan hasil lawatan dimaklum kepada kerajaan pada Disember 2005, yang kemudiaannya bersetuju melaksanakan AES, katanya.

Kerajaan kemudian menubuhkan satu jawatankuasa pemandu untuk meneliti keperluan pengguna, kaedah perolehan dan pelaksanaan projek dengan dibantu lima jawatankuasa kerja, katanya.

Menurut Solah, hasil laporan lawatan itu juga kerajaan pada 2006 bersetuju mempelawa sembilan syarikat yang menjadi peneraju pelaksanaan sistem AES untuk menyertai tender berkenaan.

Syarikat terbabit ialah Commercial Circle (M) Sdn. Bhd. (ATES Sdn. Bhd.) (dengan robot dari Jerman); Beta Tegap Sdn. Bhd. (dengan Redlex dari Australia); Tess Capital Sdn. Bhd (dengan Poltaich dari Australia); Tricubes Berhad (dengan Sagem dari Perancis); Precision Hawk Eye (M) Sdn. Bhd. (dengan Sianco Traficco dari Sepanyol), Acropolis Avenue Sdn. Bhd. (dari China); Neza teguh Sdn. Bhd. (dengan Sensys dari Sweden); Tenix Solutions Pte. Ltd. (dengan Tenix dari Australia dan Hyundai Information Technology dari Korea).

Solah berkata daripada jumlah itu hanya Tenix Solutions Pte. Ltd. dan Hyundai Information Technology Co. Ltd tidak mengemukakan cadangan teknikal manakala tujuh mengemukakan cadangan teknikal melalui wakil syarikat tempatan masing-masing.

"Selepas penilaian teknikal, hanya enam daripada tujuh syarikat menyertai ujian live demonstration, manakala satu syarikat menarik diri. Ujian itu mengambil masa lebih sebulan di Putrajaya, Shah Alam dan lebuh raya Guthrie pada Jun hingga Julai 2007. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment