My Add

Wednesday 5 December 2012

Tertuduh kes cubaan bunuh Norizan dibenar ikat jamin

KUALA LUMPUR, RABU, 05 Disember, 2012: Mahkamah Sesyen Ampang hari ini membenarkan permohonan seorang "bouncer" kelab malam yang menghadapi pertuduhan cubaan membunuh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepong, Datuk Norizan Ali, diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan.

Sebelum ini Mohd Haswan Hashim yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Tertuduh membayar wang jaminan tersebut.

Hakim Manira Mohd Nor membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Muhammad Zarif Othman yang mewakili Mohd Haswan supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan atas alasan dia mengalami kecederaan serius di tangannya dan memerlukan rawatan.

Manira juga memerintahkan agar Mohd Haswan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 27 Disember untuk perbincangan praperbicaraan kes itu.

Mohd Haswan, kelihatan menangis selepas mendengar keputusan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment