My Add

Thursday 13 December 2012

Tiada kaitan politik - Peguam Negara

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

 *ABDUL Gani Patail (kanan) memberi penerangan berkaitan penggubalan akta dan undang-undang sambil diperhatikan Mohd. Khair Ngadiron selepas Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Keselamatan Serta Hak Asasi di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR, RABU, 12 Disember, 2012: Kesemua pindaan dan penggubalan akta serta undang-undang seperti Akta Perhimpunan Aman 2012, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pemansuhan Ordinan Darurat tiada kaitan dengan kepentingan politik mana-mana pihak, sebaliknya untuk kesejahteraan rakyat.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, penggubalan itu terutama dalam tempoh beberapa bulan sebelum ini membuktikan Malaysia kini lebih terbuka dalam melaksanakan undang-undang, misalnya berkaitan perhimpunan dan tahanan tanpa bicara berbanding negara-negara lebih maju.

Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak kerajaan akan memperkenalkan undang-undang lebih keras ekoran pemansuhan ISA dan undang-undang berkaitan.

Tambah beliau, negara-negara maju ketika ini dalam proses mengetatkan undang-undang antaranya dalam soal tahanan tetapi Malaysia mengambil pendekatan berbeza apabila bersikap lebih terbuka.

''Ketika dalam proses penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2012, saya ada memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak undang-undang di luar negara memperuntukkan penganjur wajib meletakkan deposit atau membeli insurans sebelum mereka dibenarkan berhimpun.

''Tetapi, Perdana Menteri kata tidak perlu. Atas sebab itu, saya rasa kemajuan kita lebih berbanding negara-negara lain. Di Malaysia, tiada jaminan wang sebelum mengadakan perhimpunan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Keselamatan Serta Hak Asasi bertemakan Hak Dan Tanggungjawab: Antara Harapan Dan Cabaran di sini hari ini.

Persidangan anjuran bersama Jabatan Peguam Negara, Razak School of Government (RSOG) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu akan diadakan pada 14 hingga 16 Januari tahun depan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd. Khair Ngadiron.

Abdul Gani menegaskan, kepentingan politik tidak boleh dijadikan asas kepada perlunya penggubalan sesebuah undang-undang.

Katanya, pengamal undang-undang tidak boleh menghiraukan soal politik tetapi perlu memastikan setiap penggubalan undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan dan dilakukan secara betul.

''Kita tidak boleh turut serta dalam aliran atau mengikut pandangan daripada ahli politik. Kita juga tidak boleh berhujah dalam mahkamah iaitu disebabkan politik, undang-undang jadi begitu, itu tidak betul,'' katanya.

Dalam pada itu, Abdul Gani menyangkal dakwaan penggubalan kesemua undang-undang tersebut bertujuan menyenangkan parti pemerintah, sebaliknya menegaskan penggubalannya untuk kesenangan rakyat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment