My Add

Friday 7 December 2012

Tiada rakyat dipinggirkan

Oleh LUQMAN HAZIQ dan NOR AZAN FITRI
 *ABDUL Ghani Othman yang mewakili Najib Tun Razak, diiringi Tunku Ahmad Burhanuddin (dua kiri) semasa merasmikan Taman Tema Keluarga Puteri Harbour di Nusajaya, Johor, semalam. - UTUSAN/NASIRRUDDIN YAZID

NUSAJAYA, KHAMIS, 06 Disember, 20122: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaksanaan projek di seluruh negara harus memberikan hasil serta faedah secara terus kepada rakyat dan dinikmati secara sama rata oleh segenap lapisan masyarakat.

Perdana Menteri berkata, perkara itu penting dan kerajaan akan memastikan dalam usaha mengejar pembangunan, tidak ada rakyat yang ditinggal dan dipinggirkan.

Beliau berkata, Iskandar Malaysia yang dibangunkan sejak enam tahun lalu kini sedang pesat membangun dan menyediakan kehidupan serba selesa, peluang perniagaan dan aktiviti hiburan yang menarik serta menjadi penjana dan pemangkin dalam proses transformasi negara.

"Perkembangan pesat yang kita dapat lihat hari ini adalah bukti yang projek berimpak tinggi dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dirancang benar-benar dibangunkan dan bukan hanya digembar-gemburkan untuk menagih sokongan rakyat.

"Saya berpendapat projek-projek seperti ini perlu diteruskan untuk memastikan cita-cita kita tercapai. Ini adalah komitmen kerajaan dan saya akan memastikan kesinambungan projek ini akan berterusan sehingga membuahkan hasilnya pada 2020 nanti," katanya semasa merasmikan Taman Tema Keluarga Puteri Harbour, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman. Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Azman Mokhtar; Pengurusan Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Themed Attractions and Resorts Sdn. Bhd., Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin.

Perdana Menteri berkata, pembangunan pesat di koridor selatan dalam beberapa sektor termasuk perindustrian, peruncitan, pelancongan serta kemudahan perniagaan menjadikan pelabur asing tertarik untuk ke negara ini dan sehingga September lalu, Iskandar Malaysia menerima pelaburan bernilai hampir RM100 bilion dengan 40 peratus daripadanya adalah hasil pelaburan asing.

"Pembangunan pelbagai projek di wilayah ini menunjukkan para pelabur asing yakin dengan kestabilan dan perkembangan ekonomi di negara ini," katanya.

Najib berkata, pengiktirafan Bank Dunia di dalam laporan 'Doing Business 2013' kepada Malaysia sebagai negara ke-12 paling berdaya saing di dunia untuk menjalankan perniagaan dan ia merupakan pencapaian terbaik berbanding di kedudukan ke-18 pada tahun lalu.

Malaysia juga berjaya mengekalkan kedudukan ketiga sebagai Lokasi Penyumberan Luar berdasarkan kepada hasil kajian A. T Kearney Global Services Location Index 2011 selain menduduki tempat keempat bagi perlindungan pelabur oleh Forum Ekonomi Dunia 2012 dan tempat ke-10 bagi Indeks Keyakinan Pelaburan Asing 2012.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pembukaan Taman Tema Keluarga Puteri Harbour merupakan satu lagi hadiah kepada rakyat Johor dan Malaysia selepas pembukaan Taman Tema Legoland Malaysia dua bulan lalu.

Beliau berkata, pembukaan taman tema itu bukan sahaja inisiatif untuk menyuburkan industri pelancongan negara dengan menyediakan produk pelancongan berjenama antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelancong, malah ia menjadi projek pemangkin yang mampu memacu perkembangan serta peningkatan taraf sosioekonomi negeri Johor dan Malaysia.

"Limpahan manfaat ekonomi dapat dirasai penduduk negeri ini menerusi peluang pekerjaan baru, perkembangan modal insan dengan penambahan tenaga kerja mahir dan separuh mahir serta penglibatan anak-anak tempatan dalam kegiatan ekonomi baru.

"Projek pemangkin ini juga secara langsung akan memberi suntikan kepada sektor pembinaan dan pembangunan hartanah melalui pembinaan kawasan perumaha - n, kondominium, bangunan pejabat, pusat perniagaan dan komersial," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment