My Add

Friday 14 December 2012

Tiga anggota kumpulan pecah rumah diberkas

KOTA KINABALU, KHAMIS, 13 Disember, 2012: Polis Sabah memberkas tiga anggota kumpulan pecah rumah, termasuk sepasang kekasih, yang aktif di sekitar bandar raya ini dalam satu serbuan di Taman Maya, Tanjung Aru di sini pada 5 Disember lepas.

Suspek yang berusia lingkungan 25 hingga 32 tahun itu turut dipercayai menjadi buruan polis di Tawau, Johor dan Kuala Lumpur kerana kegiatan sama.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu mula aktif sejak 23 November lepas, yang membabitkan jumlah kerugian RM180,000.

"Dalam serbuan itu, polis merampas sejumlah barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah, termasuk rantai dan cincin emas, alat muzik, pelbagai jenis jam tangan, pelbagai barangan elektrik dan kereta pacuan empat roda yang digunakan kumpulan itu untuk menjalankan aktiviti mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu hari ini.

Beliau percaya modus operandi kumpulan itu ialah mengumpil pintu rumah sasaran sebelum melarikan barangan berharga dari kediaman terbabit menggunakan pacuan empat roda yang disewa.

Sementara itu, Jauteh berkata pihaknya kini mengesan dua lagi suspek yang dipercayai masih berada di sekitar Kota Kinabalu. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment