My Add

Tuesday 4 December 2012

Tiga perkara diberi penekanan

Oleh KAMIL MASLIH
KUALA LUMPUR, ISNIN, 03 Disember, 2012: Tiga perkara utama yang perlu diberi penekanan di dalam pindaan undang-undang kebankrapan sedia ada adalah perlindungan terhadap penjamin, kajian terhadap pinjaman sewa beli kenderaan serta peluang kedua kepada ahli perniagaan muda.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, beliau amat mengalu-alukan cadangan pindaan Akta Kebankrapan 1967 yang terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.

Jelas beliau, berdasarkan akta sedia ada, kedudukan penjamin mudah tergugat kerana pihak bank dan institusi kewangan akan menyasarkan tindakan undang-undang secara serentak terhadap peminjam serta penjamin.

"Bagi saya ini tidak adil, mereka patut pergi kepada peminjam terlebih dahulu dan cuba selesaikan di mahkamah sebelum bertindak terhadap penjamin. Ini tidak, mereka pergi serentak kepada peminjam dan penjamin.

"Saya nampak banyak kes seperti ini berlaku, macam suami pinjam duit, isteri menjadi penjamin, akhirnya kedua-dua bankrap sedangkan isteri tidak gunakan duit itu," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Menyentuh tentang pinjaman sewa beli kenderaan, Donald memberitahu, pinjaman tersebut adalah faktor tertinggi kebankrapan di negara ini iaitu 25.21 peratus daripada keseluruhan 241,740 kes kebankrapan sehingga April 2012.

"Kita perlu melakukan kajian dalam perkara ini. Katakan seseorang itu meminjam RM30,000 untuk membeli kereta, tetapi apabila disita kerana gagal membayar, kenderaan itu hanya dijual sekitar RM10,000 dan ini menambahkan lagi hutang peminjam.

"Kita mungkin perlu menubuhkan jawatankuasa untuk mengakses dan memproses harga sebenar kereta-kereta tersebut (di pasaran) supaya jumlah orang yang terbeban dengan hutang dan bankrap ini tidak bertambah," katanya.

Menurut Donald, beliau juga berharap pindaan akta itu dapat memberikan peluang kedua kepada ahli-ahli perniagaan muda yang terbukti jujur.

Katanya, hal ini supaya golongan bankrap itu mendapat peluang pelepasan awal seperti tiga tahun daripada tempoh lima tahun sekarang ini.

"Pihak bank dan institusi kewangan juga sewajarnya memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Insolvensi Malaysia dalam mengeluarkan surat pelepasan kepada individu bankrap yang berdisiplin membuat pembayaran balik,'' katanya.

Berdasarkan maklumat Jabatan Insolvensi Malaysia, sebab-sebab kebankrapan adalah sewa beli kenderaan (25.21 peratus), keberhutangan yang lain (21.5 peratus), pinjaman persendirian (13.15 peratus), pinjaman perumahan (12.31 peratus), pinjaman perniagaan 11.26 peratus.

Statistik itu turut menunjukkan penjamin korporat (5.26 peratus), penjamin sosial (5.3 peratus), kad kredit (4.93 peratus), biasiswa/pinjaman (0.16 peratus) dan cukai pendapatan (0.96 peratus).

Sementara itu, statistik menunjukkan pecahan kebankrapan yang membimbangkan dalam kalangan orang muda iaitu di bawah 25 tahun (1.39 peratus), 25-34 tahun (18.68 peratus), 35-44 tahun (35.02 peratus), 45-54 tahun (29.56 peratus) dan 55 tahun ke atas (15.35 peratus).

Pecahan dari segi jantina menunjukkan 71.04 peratus individu bankrap ialah golongan lelaki manakala dua negeri tertinggi dengan kes berkenaan ialah Selangor (52,917 kes) dan Wilayah Persekutuan (42,843 kes). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment