My Add

Tuesday 18 December 2012

Tindakan Karpal pertahan Anwar terus dipersoal

KUALA LUMPUR, ISNIN, 17 Disember, 2012: Tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh terus mempertahankan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang membuktikan sikap pemimpin itu yang tidak berpendirian dan tidak bermoral.

Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, perkara itu berikutan tindakan Karpal tersebut bercanggah dengan kenyataan yang pernah dibuatnya di Dewan Rakyat pada 1997 menuduh Anwar, yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri terlibat dengan kegiatan homoseksual dan menggesa agar siasatan segera dilakukan.

Mohamad Ezam memberitahu, berdasarkan Penyataan Rasmi Parlimen, Dewan Rakyat pada 18 Disember 1997, jelas menunjukkan Karpal berkata bahawa beliau mempunyai bukti penglibatan Anwar dalam kegiatan tidak bermoral itu dan boleh mengemukakan saksi iaitu Azizan Abu Bakar bagi membuktikan keseriusan tuduhan itu.

"Bagaimanapun setelah Anwar dipecat daripada UMNO, Karpal menjadi antara individu yang menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri itu dan sanggup mengenepikan prinsip moralnya semata-mata mahu menjatuhkan UMNO. Kalau Anwar tidak ada moral, Karpal Singh pun tidak ada moral.

"Saya cakap ini dengan fakta, saya cabar Karpal Singh datang ke dewan yang mulia ini dan tarik balik kenyataan yang pernah dibuat pada 1997. Saya nyatakan hari ini bahawa Karpal sama dengan Anwar, ahli politik yang tidak bermoral, mereka membuat keputusan dan berhujah bukan berasaskan prinsip moral tetapi kerana dendam kesumat untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Ezam memberitahu, sekiranya Karpal tidak mahu menarik balik kenyataan itu, beliau boleh mengemukakan bukti baharu bahawa Anwar bukan seorang peliwat kerana keputusan kes mahkamah pada 2004 tidak membersihkan nama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu daripada pertuduhan liwat.

Menurut Mohamad Ezam, berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 2004 dalam kes membabitkan pertuduhan liwat Anwar, dalam kenyataan bertulis beberapa bulan selepas keputusan kes itu dengan jelas menyebutkan Anwar mengamalkan aktiviti homoseksual yang dipersetujui oleh ketiga-tiga hakim yang bersidang.

"Maknanya, dalam soal liwat ini Anwar masih belum membersihkan namanya lagi. Saya masih ingat ketika menjadi Ketua Angkatan Muda Keadilan dulu, saya berjumpa Anwar untuk menuntut penjelasan dan beliau memberi komitmen kepada saya akan mengarahkan peguamnya membawa perkara itu ke mahkamah untuk mengeluarkan pernyataan mengatakan beliau terlibat dengan kegiatan tersebut.

"Perkara itu penting kerana sebagai seorang yang beragama Islam, saya tidak boleh menyokong ketua yang terlibat dengan kegiatan itu. Saya tunggu pada 2004, sampai 2005 saya periksa dengan mahkamah sama ada Anwar ada melakukan tuntutan untuk mengeluarkan kenyatan itu, tetapi beliau tidak melakukannya, jadi saya bertindak meninggalkan beliau," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment