My Add

Saturday 22 December 2012

Turun padang bantu kerajaan selesaikan masalah rakyat

KUALA LUMPUR JUMAAT, 21 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha mendengar denyut nadi rakyat menerusi pendekatan turun padang membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap permasalahan semasa rakyat.

Menurut Perdana Menteri, meskipun pendekatan itu dilabel sesetengah pihak sebagai tradisional, beliau yakin beberapa perkara adalah lebih baik jika dilakukan secara bersemuka.

Jelasnya, di sebalik penggunaan media sosial yang mempengaruhi kehidupan rakyat kini, program turun padang dan bertemu rakyat secara peribadi yang diusahakannya serta kerajaan adalah perlu.

"Saya lebih gemar mendengar sendiri daripada ahli perniagaan sehinggalah kepada suri rumah mengenai masalah kesihatan mahupun kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Laporan yang diterima juga sudah pasti tidak sama sekiranya saya sendiri turun padang dan melihat apa yang sedang dilalui rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi entri terbaharu bertajuk 'Menggabungkan Teknologi dan Komitmen Untuk Mencapai Prestasi Cemerlang' di blognya, http://1malaysia.com.my hari ini.

Najib memberitahu, segala masalah yang diluahkan rakyat kebiasaannya akan diserahkan kepada agensi kerajaan bertanggungjawab untuk diambil tindakan selanjutnya supaya rakyat dapat mengubah kehidupan menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.

Sebagai contoh, ujarnya, selepas mendengar keluhan golongan wanita mengenai kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat.

"Bagi memastikan semua rakyat mendapat rawatan perubatan, Klinik 1Malaysia pula diperkenalkan. Segala pandangan serta maklum balas rakyat akan terus didengari secara dalam talian. Pada Bajet 2013 lalu, saya menerima banyak pandangan bernas daripada rakyat yang memberi maklum balas mengenainya," jelas beliau.

Katanya, teknologi hari ini telah membawa negara ke satu tahap yang lebih tinggi sekali gus membolehkan kerajaan terus membangunkan negara.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini telah bekerja keras untuk menepati setiap janji yang telah memberi manfaat kepada setiap rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment