My Add

Sunday 9 December 2012

UDA bina 1,200 rumah di Tanjung Tokong

PULAU PINANG, SABTU, 08 Disember, 2012: UDA Holdings Berhad (UDA) akan membina sebanyak 1,200 buah rumah dalam projek pembangunan semula penempatan penduduk di Tanjung Tokong di sini.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, projek berkenaan membabitkan subsidi berjumlah RM160 juta bagi menyediakan penempatan percuma kepada penduduk kawasan berkenaan seperti yang dijanjikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Katanya, pelaksanaan pembangunan semula Tanjung Tokong itu merupakan agenda utama UDA kerana projek tersebut dijadikan indeks penunjuk aras (KPI) yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pelantikan Pengerusi UDA pada 2010.

"Idea pembangunan, pembinaan dan peningkatan taraf kampung Tanjung Tokong ini adalah hasil ilham Tun Abdul Razak yang bertujuan mewujudkan sebuah penempatan Melayu moden di Georgetown dan menyusun semula penempatan orang Melayu di Pulau Pinang.

"Pembangunan projek ini merupakan sesuatu yang amat istimewa dan bersejarah kerana janji itu ditunaikan sendiri oleh Datuk Seri Najib yang merupakan anak kepada Tun Razak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri meluangkan masa melawat projek UDA di Tanjung Tokong sempena lawatan kerja sehari beliau ke Pulau Pinang.

Tambah Nur Jazlan, UDA sebagai syarikat milik penuh Kementerian Kewangan akan sentiasa komited menunaikan janji yang dibuat terhadap penduduk Tanjung Tokong.

Malah katanya, hasil perbincangan positif antara pihak-pihak yang terlibat akhirnya membawa kepada kejayaan pembangunan semula projek tersebut.

"Kejayaan UDA ini pasti akan membuka lebih banyak ruang kepada syarikat untuk meneroka peluang pembangunan rumah mampu milik di negeri ini.

"UDA juga berbangga kerana berjaya membina perumahan awam yang lebih selesa untuk penduduk Tanjung Tokong sekali gus menunaikan janji kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment