My Add

Friday 7 December 2012

Undi masyarakat India sudah kembali kepada BN

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 06 Disember, 2012: Kaum India di negara ini sudah semakin muak dengan agenda pembangkang yang jauh lebih berminat untuk berkuasa daripada membela kebajikan mereka.

Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel berkata, pembangkang boleh melupakan hasrat untuk mendapatkan undi kaum India pada pilihan raya umum akan datang kerana mereka telah berikrar untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

“Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengabaikan kebajikan masyarakat berbilang kaum di negara ini termasuk kaum India.

“Walaupun beberapa negeri berada di bawah tampuk pemerintahan pembangkang, BN yang lebih prihatin dan bersungguh-sungguh dalam menjaga kebajikan masyarakat India," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak membekal mesin fotostat ke sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil di sini hari ini.

Palanivel mengulas seruan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta semua ahli UMNO bersatu memberikan sokongan kepada siapa sahaja calon BN.

Jelas beliau tindakan pembangkang yang sering mengabaikan sensitiviti dan kebajikan kaum India telah benar-benar menyedarkan mereka.

“Baru-baru ini, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak melampau dengan membenarkan projek pembinaan kondominium mewah di sekitar kawasan kuil Batu Caves dan juga merobohkan sebuah kuil dalam rumah di Sepang.

“Nampaknya pembangkang sudah terlupa kemenangan besar pada pilihan raya umum lalu adalah kerana majoriti masyarakat India mengundi mereka. Kali ini, undi itu tidak akan berpihak kepada mereka," tegasnya.

Terdahulu beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi menyediakan mesin fotostat kepada 523 buah SJK Tamil di seluruh negara.

Palanivel yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan, setiap SJK Tamil tersebut akan menerima sebuah mesin fotostat baharu bernilai antara RM3,888 dan RM5,088 bergantung kepada jumlah murid.

“Pengagihan mesin fotostat ini akan dibuat minggu depan dan dijangka diselesaikan dalam tempoh 45 hari memandangkan 60 peratus daripada SJK Tamil berada di luar bandar," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment