My Add

Wednesday 12 December 2012

Usah tamatkan kontrak - CUEPACS

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA

 *OMAROsman dan barisan Ahli Majlis Tertinggi CUEPACS pada sidang akhbar di Wisma CUEPACS di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, SELASA,11 Disember, 2012: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta agar 50,000 kakitangan berstatus kontrak di seluruh negara yang bakal tamat perkhidmatan mereka pada 31 Disember ini disambung semula.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ketika ini nasib kesemua kakitangan kontrak di pelbagai agensi dan jabatan masih terumbang-ambing berikutan perkhidmatan mereka yang akan tamat akhir tahun ini tidak disambung.

"Sehubungan itu, CUEPACS meminta semua agensi kerajaan sama ada di peringkat negeri, Persekutuan, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun supaya menyambung semula kakitangan kontrak mereka yang tamat tempoh pada 31 Disember ini.

"Ini penting dan perlu diberikan perhatian terutama bagi kesemua mereka untuk meneruskan kehidupan dan menanggung keluarga masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi CUEPACS di sini hari ini.

Menurut Omar, lebih mendukacitakan pihaknya apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) turut akan mengurangkan sebanyak 10 peratus pengambilan pekerja dalam sektor awam pada tahun hadapan.

"Kita ada 50,000 kakitangan kontrak yang masih terumbang-ambing nasib mereka tetapi pada masa yang sama, kita hendak mengurangkan pengambilan kakitangan dalam sektor awam.

"CUEPACS membantah dan tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan. Penyambungan kontrak kakitangan perlu diadakan dan kami juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meneliti perkara ini," katanya.

Omar menjelaskan, kesemua kakitangan kontrak terlibat adalah yang menjawat jawatan kumpulan bawahan sehingga ke peringkat pengurusan.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya turut meminta agar kontrak seramai 3,000 guru dan penolong guru tabika perpaduan di seluruh negara yang akan tamat pada 31 Disember ini disambung.

"Sebelum ini ada ura-ura untuk memberikan jawatan tetap kepada guru dan penolong guru tabika perpaduan ini, namun, sehingga kini hasrat tersebut belum menjadi kenyataan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment