My Add

Saturday 8 December 2012

Usia bersara swasta: Bekas Presiden MTUC kecewa

 Zainal Rampak
 KUALA LUMPUR, SABTU, 08 Disember, 2012: Pelaksanaan umur persaraan sektor swasta kepada 60 tahun mulai 1 Julai 2013 adalah terlalu lambat dan kementerian berkaitan dilihat terlalu berlembut dengan tuntutan majikan, kata bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Tan Sri Zainal Rampak.

Beliau berkata, sikap terlalu bertolak ansur Kementerian Sumber Manusia yang membenarkan majikan swasta memohon penangguhan sebelum 28 Feb 2013 adalah satu tindakan yang mengecewakan.

"Kenapa kementerian melengah-lengahkan pelaksanaan umur persaraan ini, golongan pekerja swasta harus diberi penghargaan untuk tempoh perkhidmatan mereka yang lama.

"Pekerja swasta juga adalah aset kepada sebuah organisasi kerana mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kerjaya mereka," katanya kepada Bernama ketika mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam semalam bahawa keputusan itu dibuat selepas perbincangan tiga hala bersama wakil majikan, pekerja dan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.

Zainal berkata, jangka hayat dan tahap kesihatan warga Malaysia sekarang adalah lebih baik berbanding dahulu dengan lelaki mencapai usia 78 tahun dan wanita sehingga 75 tahun.

Akta Umur Persaraan Minimum 2012 menetapkan umur persaraan minimum pekerja sektor swasta ialah 60 tahun, dan majikan tidak boleh memaksa pekerja bersara sebelum mencapai usia itu.

Pada masa sama, akta itu tidak menghalang seseorang pekerja memilih untuk bersara awal, berdasar apa yang termaktub dalam kontrak perkhidmatan atau perjanjian bersama (CA).

Akta itu diluluskan Parlimen 17 Julai lepas dan diwarta pada 16 Ogos tahun ini.

Zainal, yang kini Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) berkata, pekerja swasta adalah 'wira tak didendang' dan perlu diberi penghargaan oleh kerajaan dengan mengiktiraf kesetiaan serta perkhidmatan mereka seperti amalan di Jepun dan Korea Selatan.

Beliau juga berkata, kebanjiran pekerja warga asing diakui membantu merancakkan pembangunan negara namun gaji mereka akan mengalir ke luar negara.

Justeru, katanya, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap kebajikan pekerja swasta serta tidak mengutamakan kemasukan warga asing manakala majikan swasta tidak harus memberi alasan gaji mereka lebih murah selain prosedur pekerjaannya lebih mudah kerana tidak perlu mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment