My Add

Monday 24 December 2012

Wakafkan aset, GLC - DPIM

BANGI, AHAD, 23 Disember, 2012: Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) mencadangkan agar kerajaan mewakafkan aset berharga dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada institusi wakaf di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Mohamad Sahar Mat Din berkata, cadangan itu bagi memastikan aset berkenaan kekal dimiliki rakyat Malaysia.

Beliau berkata, aset-aset bernilai seperti ekuiti dan tanah yang diwakafkan akan diurus dan dilabur oleh institusi wakaf yang dilantik, seterusnya keuntungan yang didapati boleh disalurkan untuk kegunaan semua rakyat.

“Ini sekali gus mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan kebergantungan kepada kerajaan kerana semua perbelanjaan untuk infrastruktur, sekolah, hospital ditanggung pihak wakaf.

“Ia juga memastikan jumlah pegangan ekuiti Bumiputera dalam sektor perniagaan terjaga," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.

Beliau berkata, kepentingan yang diserahkan kepada institusi wakaf mampu memastikan ia kekal menjadi hak milik awam kerana tiada kepentingan individu atau pihak tertentu wujud dalam syarikat terbabit, dan ini mampu mengelakkan masalah ketirisan.

“Negara seperti Turki telah membuktikan peranan wakaf sebagai penggerak ekonomi negara terbabit kerana sebahagian perbelanjaan negara ditampung oleh badan-badan wakaf yang bersifat korporat," katanya.

Mohamad Sahar berkata, banyak badan wakaf yang berjaya digerak dan dihidupkan di Turki, badan-badan ini bukan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan tetapi komuniti.

“Ini yang berlaku sejak zaman Uthmaniyah lagi, apabila kerajaan cuma membiayai kos keselamatan seperti polis dan tentera manakala yang selebihnya ditanggung oleh badan Wakaf.

“Mereka mampu memberi pendidikan percuma kepada rakyat dan membiayai hospital hanya dengan hasil Wakaf korporat," kata beliau.

Mengambil contoh dengan apa yang berlaku di Turki, Mohamad Sahar berkata, harta wakaf di Malaysia boleh dibangunkan dengan bantuan pihak swasta bagi menambah nilai kepada aset itu.

Institusi wakaf juga disyor mengambil bahagian yang aktif dalam aktiviti pengambilalihan syarikat agar sekaligus mampu menjadi sebuah institusi yang penting dalam ekonomi negara.

“Telah tiba masanya peranan wakaf di negara ini digerakkan secara proaktif dan badan yang bertanggungjawab tidak hanya menguruskan harta wakaf yang umumnya hanya dijadikan sebagai tanah kubur atau masjid," kata beliau.

Beliau juga berharap agar badan seperti Majlis Agama Negeri mula bertindak dengan lebih proaktif bagi mengenal pasti tanah-tanah wakaf yang berpotensi agar dapat dibangunkan segera dan mampu memberi impak jangka panjang kepada negara.

Buat masa ini, kata Mohamad Sahar terdapat kira-kira 7,200 hektar tanah wakaf di seluruh Malaysia namun sebahagian besar tanah berkenaan masih tidak dimajukan.

“Kebanyakan tanah wakaf hanya dikomersialkan secara kecil-kecilan seperti sewa tapak untuk pasar malam dan diharapkan Majlis Agama Negeri dapat bekerjasama dengan sektor korporat bagi meneroka potensi yang lebih luas ke atas tanah yang diwakafkan," tambah beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment