My Add

Monday 10 December 2012

Wang ihsan: Kerajaan Pas Kelantan ditempelak

KOTA BHARU, AHAF, 09 Disember, 2012: Kerajaan Pas Kelantan ditempelak kerana terus mempolitikkan isu pemberian wang ihsan meskipun Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mengkaji perkara tersebut dan kerajaan negeri juga bersetuju menghantar wakil mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan Pas Kelantan seharusnya menggunakan saluran yang ada bagi membincangkan sebarang perkara berbangkit mengenai perkara tersebut dan bukannya bertindak menjaja fitnah ke seluruh negara.

Beliau turut menolak tuduhan wang ihsan terbabit hanya disalurkan kepada puak tertentu atau kroni dalam kalangan anggota UMNO di negeri ini.

"Kerajaan Pusat sudah menubuhkan jawatankuasa dan kerajaan negeri juga sudah mengemukakan nama wakil mereka ke jawatankuasa berkenaan, maka apabila sudah ada wakil, ia menunjukkan kerajaan Pas Kelantan mengiktiraf (penubuhan jawatankuasa khas itu).

"Maka, tidak payah gege (bising) ke hulu ke hilir membuat pelbagai tuduhan serta fitnah, sepatutnya kita pakat molek (baik-baik), kena tunjuk akhlak Islam," katanya.

Beliau berucap merasmikan Hari Terbuka Wisma Persekutuan, Karnival Koperasi Peringkat Negeri 2012 dan Sambutan Maal Hijrah 1434 di pekarangan Wisma Persekutuan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Ketua Sektor Operasi dan Kawal Selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Md. Deris Jusoh; Pengerusi Majlis Perunding Koperasi Negeri, Datuk Noor Zahidi Omar dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohamed Fatmi Che Salleh.

Kerajaan pada 4 Ogos lalu menyatakan persetujuannya menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, Jawatankuasa Khas itu akan mengkaji serta mengenal pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam reaksinya memberitahu, beliau akan menghadap Sultan Kelantan bagi mendapat perkenan baginda mengenai wakil negeri itu yang akan menganggotai Jawatankuasa Khas berkenaan.

Dalam sidang media kemudiannya, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pihaknya tidak ada masalah dengan gesaan pemimpin Pas Kelantan supaya pengagihan wang ihsan di negeri itu diaudit Jabatan Audit Negara.

"Tak ada masalah, memang semua akaun kerajaan diaudit oleh Jabatan Audit Negara tanpa terkecuali wang ihsan.

"Yang penting wang ihsan itu digunakan untuk membantu pelajar masuk universiti, cumanya kena pohon sebab kita tidak tahu siapa dapat masuk universiti. Bagi pelajar, kita ada senarai daripada Jabatan Pelajaran Negeri, itulah yang kita bagi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment