My Add

Thursday 6 December 2012

Warga Bangladesh beri rasuah dipenjara

ALOR SETAR, KHAMIS, 06 Diseember, 2012: Seorang warga Bangladesh yang mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah kepada seorang Pegawai Imigresen Kedah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000.

Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar, Mohd. Sobri Ismail juga memerintahkan buruh binaan, Abu Hanif Toyah Ali, 24, dipenjara setahun lagi sekiranya gagal membayar denda.

Abu Hanif didakwa secara rasuah memberi wang suapan RM3,000 kepada Nurul Huda Che Khalid sebagai dorongan supaya membebaskan adik iparnya, Md Shohag Miah yang ditahan Jabatan Imigresen pada 26 November lepas kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Buruh itu ditahan pegawai-pegawai SPRM Unit Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah di Bandar Mu”adzam Shah (Anak Bukit), dekat sini kira-kira pukul 4.45 petang, dua hari lepas.

Abu Hanif yang tidak diwakili peguam, sebelum itu dibacakan pertuduhan (dalam Bahasa Malaysia dan Bangladesh) oleh jurubahasa dari Mahkamah Persekutuan Putrajaya, Md Saiful Islam, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan turut mengemukakan wang suapan RM3,000 yang diberikan buruh itu kepada Nurul Huda bagi membebaskan adik ipar Abu Hanif.

Lelaki itu terus mengaku salah dan merayu mahkamah memberi hukuman ringan atas alasan menanggung seorang isteri dan seorang anak lelaki serta ibu dan bapanya yang berada di negaranya.

Semasa memberi penghakimannya, Mohd. Sobri berkata, mahkamah menerima pengakuan bersalah Abu Hanif dan sebelum itu Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fieza Fazlin Fandi memohon agar hukuman sewajarnya dikenakan ke atas Abu Hanif. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment