My Add

Thursday 20 December 2012

Waris tidak puas hati syarikat pemaju ceroboh tanah kubur

GEORGETOWN, RABU, 19 Disember, 2012: Lebih 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Boundry, Air Itam, di sini, terjejas dipercayai diceroboh syarikat pemaju swasta yang menjalankan projek perumahan di kawasan bersebelahan.

Kejadian itu disedari seorang waris, Noor Sham Mohd Amin, 54, yang mendapati kubur tiga ahli keluarganya diratakan selain batu nisan dicabut dan dibiar berselerak.

"Saya baru balik dari Kuala Lumpur Isnin lalu dan datang pagi semalam untuk ziarah kubur datuk serta dua nenek. Tiba-tiba tengok pekerja binaan keluar masuk kubur sesuka hati, korek tanah kubur untuk bina tembok pemisah antara tapak projek dan kubur," katanya ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan itu, di sini.

Beliau bersama keluarganya sebelum itu bertemu dengan kontraktor projek itu bagi mendapatkan penjelasan.

Pegawai Jabatan Pembangunan Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Musyarina Idris yang turut berada di tempat kejadian, berkata isu itu akan dibawa kepada pihak atasan dan pihaknya akan meneliti semula pelan projek berkenaan.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri Abdul Malik Abul Kassim ketika dihubungi, berkata beliau sudah menghubungi kontraktor dan keluarga yang terbabit untuk membincangkan masalah berkenaan.

"Kita akan siasat perkara ini dan sedang menunggu laporan yang tepat dari Jabatan Agama Islam negeri sebelum mengambil apa-apa tindakan," katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati wujud tembok batu-bata setinggi dua meter mengelilingi tanah perkuburan yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Air Putih itu, bagi memisahkan projek perumahan dan tanah perkuburan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment