My Add

Friday 14 December 2012

Wujudkan universiti Jepun, Korea - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 13 Disember, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap lebih banyak universiti dari Jepun dan Korea Selatan dapat diwujudkan di Malaysia bagi menyemai budaya kerja masyarakat berkenaan di negara ini.

Jelasnya, langkah berkenaan dapat dilakukan kedua-dua negara terbabit memandangkan banyak negara termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom dan Australia telah membuka kampus universiti mereka di Malaysia.

"Saya ingin melihat lebih banyak universiti dari Jepun dan Korea Selatan dibuka di Malaysia memandangkan kos pendidikan di kedua-dua negara berkenaan yang semakin tinggi.

"Saya juga ingin melihat bahasa pengantarnya dalam bahasa Jepun dan Korea Selatan kerana kita mahu mempelajari budaya dan amalan kerja yang telah membawa kedua-dua negara ini lebih maju," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Dasar Pandang Ke Timur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd. Ali, Duta Jepun di Malaysia, Shigeru Nakamura dan Duta Korea Selatan di Malaysia, Lee Yong Joon.

Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Persatuan Alumni Dasar Pandang Ke Timur (ALEPS) dan Persatuan Alumni Graduan Institusi Korea (AGIKO).

Menurut Dr. Mahathir, pelaksanaan Dasar Pandang Ke Timur dibuat atas keyakinan terhadap keazaman dan budaya kerja di Jepun dan Korea Selatan yang berjaya melonjakkan pembangunan serta kemajuan di kedua-dua negara berkenaan.

"Sesetengah pihak mungkin menyifatkan semangat patriotik sesuatu yang ketinggalan zaman tetapi saya percaya keazaman itu yang melonjakkan kemajuan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi kepada komuniti dan negara," katanya.

Menurut beliau, seperti ditunjukkan kedua-dua negara itu, Malaysia juga perlu memberi penekanan kepada aspek kualiti supaya negara terus berdaya maju dalam persaingan di era globalisasi.

"Saya juga berharap syarikat-syarikat dari Jepun dan Korea Selatan dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia memegang jawatan tinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif kerana kepercayaan itu telah ditunjukkan syarikat-syarikat dari negara Barat," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment