My Add

Saturday 15 December 2012

Yang di-Pertuan Agong rasmi Masjid Abdul Rahman Bin Auf

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 14 Disember, 2012: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat merasmikan Masjid Abdul Rahman Bin Auf di Jalan Puchong di sini hari ini.

Seri Paduka yang berbaju Melayu ungu muda berangkat tiba pada jam 12.25 tengah hari dan disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Tuanku Abdul Halim kemudiannya berkenan menyempurnakan upacara perasmian dan menandatangani plak khas di masjid itu sebelum menunaikan solat Jumaat bersama lebih 4,000 jemaah di masjid yang dibina dengan kos RM8 juta itu.

Selesai menunaikan solat, Seri Paduka bersalaman dan beramah mesra dengan rakyat jelata sebelum berangkat menghadiri majlis santapan bersama tetamu lain.

Sementara itu, Jamil Khir ketika berucap pada majlis perasmian berkenaan menggesa anggota jawatankuasa masjid memainkan peranan aktif dalam menghidupkan aktiviti masjid dan masyarakat setempat.

"Jawatankuasa masjid perlu menggerakkan aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan dakwah kepada penduduk sekitar, sekali gus memainkan peranan sebagai tempat penyatuan masyarakat setempat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment