My Add

Monday 30 April 2012

Tak mugkin polis nak rosakkan harta sendiri - Dr. Mahathir

PUTRAJAYA, ISNIN, 30 April, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau percaya polis tidak akan bertindak merosakkan harta benda sendiri seperti yang didakwa pembangkang pada perhimpunan yang bertukar ganas Sabtu lepas.

"Saya tak tahu sama ada anda nak percaya atau tidak...saya tengok orang terbalikkan kereta (polis) dan mereka tidak kelihatan seperti anggota polis.

"Bagi saya mereka nampak macam penunjuk perasaan...lagipun kenapa polis nak terbalikkan kereta sendiri," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dr Mahathir yang ditemui pada pelancaran buku “A Doctor in The House: Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad" versi bahasa Melayu diminta mengulas mengenai dakwaan pembangkang bahawa keganasan pada perhimpunan itu dicetuskan oleh polis.

Pada perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang itu, seramai 13 anggota polis cedera akibat tindakan ganas peserta perhimpunan yang dijanjikan aman oleh penganjur.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir juga berkata tindakan merempuh halangan polis oleh peserta perhimpunan itu adalah modus operandi pembangkang.

Katanya ketua pembangkang mempunyai reputasi menghasut rakyat sebelum melarikan diri agar tidak dipersalahkan rakyat. - BERNAMA

11,000 "Like" Facebook cari mangsa culik, Nayati

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 April, 2012: Seramai 11,000 pengguna laman sosial Facebook menanda "Like" atau memberi maklum balas mengenai makluman kehilangan Nayati Shamelin Moodliar, 12, di Mont Kiara tiga hari lepas.

Dalam laman tersebut, beribu mesej dikirimkan orang ramai untuk menawarkan bantuan mereka menjejaki kanak-kanak itu beserta kata-kata semangat kepada keluarga mangsa.

Salah seorang pengguna laman sosial itu, Lakhveer Kaur dari Petaling Jaya menulis "Saya berdoa kepada tuhan supaya melindungi kanak-kanak kecil ini yang begitu berharga kepada keluarganya. Semoga tuhan melindunginya dan lembutkan hati penculik itu untuk menghantar dia kembali kepada keluarganya."

Manakala di Twitter, masyarakat di seluruh dunia yang menggunakan hashtags #FindNayatiMoodliar, #prayfornayati dan #Nayati untuk menyebarkan mesej.

Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), Jeevan S. Ramamurthy yang dihubungi Bernama pula tidak menolak kemungkinan kejadian yang menimpa kanak-kanak tersebut berpunca daripada aspek keselamatan yang tidak dititikberatkan.

"Pihak polis perlu lebih kerap mengadakan ceramah mengenai keselamatan diri kepada pelajar-pelajar sekolah supaya mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi segala ancaman membabitkan keselamatan.

"Kanak-kanak yang sedang membesar memerlukan pemantauan yang kerap dan kawalan daripada ibu bapa termasuk juga pihak lain agar perkara buruk seperti ini dapat dielakkan," katanya.

Pelajar lelaki warga Belanda itu dikatakan diculik ketika berjalan kaki seorang diri menuju ke sebuah sekolah antarabangsa di sini, kira-kira 300 meter dari rumahnya.

Saksi kejadian mendakwa dia melihat dua lelaki tempatan melarikan kanak-kanak itu dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Gen 2. - BERNAMA

Perusuh pukul polis macam mahu membunuh - Saksi

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 April, 201: Atas dasar kemanusiaan, jurukamera TV Al-Hijrah, Mohd Azri Mohd Salleh mengetepikan keselamatan diri dan membantu seorang anggota polis yang diserang sekumpulan peserta perhimpunan pada Sabtu lepas.

Akibatnya beliau sendiri menjadi mangsa serangan kumpulan “pengganas"

terbabit sehingga terlantar di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur dengan 15 jahitan di kepala, selain lebam di beberapa bahagian badan.

Menceritakan pengalamannya kepada Bernama, di sini hari ini, Mohd Azri berkata, beliau sedang membuat liputan di hadapan kompleks membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman kira-kira 4 petang apabila melihat peserta perhimpunan membaling pelbagai objek ke arah sebuah kereta polis.

"Mereka baling macam-macam termasuk batu menyebabkan kereta terbabas dan langgar tembok Sogo. Mereka kemudian serbu kereta itu dan menyerang anggota polis di dalam kereta tersebut.

"Mereka serang bertubi-tubi. Saya tengok anggota polis itu sudah pengsan jadi saya datang untuk leraikan sebab saya takut mereka akan terus pukul sampai dia mati," katanya.

Akibat tindakannya itu, kumpulan perusuh terbabit menyerang dan memukulnya bertalu-talu sekalipun beliau sudah terjatuh termasuk ada yang menggunakan topi keledar.

Mohd Azri berkata beliau akan membuat laporan polis selepas ini dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.

Ini kerana katanya, rakaman wajah individu berkenaan berjaya diperolehinya.

Mohd Azri juga berkata kejadian tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus memberi liputan terbaik dalam sebarang situasi termasuk ketika keganasan pada hari berkenaan. - BERNAMA

Lelaki bebas tuduhan bunuh rakan kerana hidap skizofrenia

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 30 April, 2012: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan seorang lelaki daripada tuduhan membunuh rakannya dua tahun lalu selepas dia didapati tidak waras semasa melakukan perbuatan itu. 

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa sebaliknya memerintahkan tertuduh, Mohd Fauzu Muda, 31, yang didapati menghidap skizofrenia, menjalani rawatan di Hospital Permai, Johor Baharu sehingga tempoh yang diperkenan oleh Sultan Terengganu, mengikut Seksyen 348 Kanun Acara Jenayah.

Semasa hakim menyampaikan keputusan itu, Mohd Fauzu yang berada dalam kandang tertuduh hanya menunjukkan wajah selamba. 

Mohd Fauzu didakwa membunuh Ismazi Ismail, 31, di tepi hutan peringkat satu Bandar Cheneh Baharu, Kemaman, antara 1 tengah hari 20 September, 2010 hingga 6.30 petang esoknya. 

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 

Hakim Mohd Yazid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan tertuduh tidak waras ketika melakukan jenayah tersebut. 

Dalam penghakimannya, beliau berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh tetapi mahkamah mendapati masa tertuduh melakukan perbuatan itu, dia tidak waras dan tidak tahu perbuatan itu salah dan bertentangan dengan undang-undang. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Jazamuddin Ahmad Nawawi, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Aziz Hasan. - BERNAMA

TNB belanja RM9.7 bilion tambah kapasiti penjanaan

HULU TERENGGANU, ISNIN, 30 April, 2012: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membelanjakan kira-kira RM9.7 bilion bagi menambah kapasiti penjanaan elektrik di negara ini bagi tempoh lima tahun akan datang. 

Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata antara pelaburan besar sehingga 2017 ialah bagi
membina beberapa stesen janakuasa elektrik yang dikenalpasti lokasinya. 

Beliau berkata antara stesen yang sedang dalam pembinaan ialah Stesen Jana
Kuasa Elektrik Sultan Azlan Shah Manjung, Perak, melibatkan peruntukan RM6 
bilion, janakuasa hidro elektrik di Hulu Terengganu (RM1.6 bilion) dan Hulu 
Jelai di Pahang (RM2.1 bilion). 

Satu lagi projek janakuasa elektrik arang batu yang dirancang oleh 
penjana tenaga bebas untuk disiapkan pada 2016 iaitu di Tanjung Bin di Johor melibatkan peruntukan RM6 bilion.
 
"Ini bermakna bagi tempoh lima tahun akan datang, jumlah projek baru yang akan memberi penambahan janakuasa kepada TNB iaitu sebanyak 2,000 megawatt 
dengan menggunakan arang batu manakala 630 megawatt menggunakan hidro yang jumlah keseluruhan berjumlah 2,630 megawatt. 

"Purata TNB membelanjakan hampir RM2 bilion setahun untuk penjanaan 
elektrik negara dan ia tidak termasuk projek lain seperti penghantaran dan sebagainya," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Pelencongan Air Sungai Terengganu untuk projek Hidroelektrik Hulu Terengganu di sini hari ini. 

Turut hadir Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi TNB, Datuk Dr Azman 
Mohd, Naib Presiden (Penjanaan) TNB, Datuk Ir Mohd Nazri Shahruddin dan Pengurus 
Besar TNB Negeri Terengganu, Ir Md Yuslan Md Yusof. 

Che Khalib berkata kapasiti semasa tenaga elektrik TNB ialah 20,000 megawatt 
iaitu 12,000 megawatt melalui gas, 7,000 megawatt dari arang batu dan 1,500 
megawatt melalui hidro. 

Mengenai projek hidro Hulu Terengganu itu, Che Khalid berkata, projek yang mampu menjana sehingga 250 megawatt melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.6 bilion dan dijangka siap menjelang akhir 2015. 

Katanya, dengan projek hidro kedua di Hulu Terengganu itu, ia sedikit 
sebanyak dapat membantu mengawal air daripada berlakunya banjir sebagaimana 
kegunaan projek Hidro Elektrik Sultan Mahmud, Kenyir. 

Che Khalid berkata, pembinaan empangan baru ini dilaksanakan dengan sebaik mungkin di mana TNB berusaha mengelak daripada sebarang pembersihan atau 
penebangan kawasan hutan yang tidak perlu. 

"Kita mahu mengelak penebangan hutan seminimum yang mungkin. Kita mahu 
mengekalkan kehijauan kawasan hidro berkenaan supaya alam sekitar masih kekal 
seperti sedia ada," katanya. - BERNAMA

APEC buka jalan ke arah merealisasikan FTA Asia Pasifik

SINGAPURA, ISNIN, 30 April, 2012: APEC telah mengambil langkah yang padu ke arah merealisasikan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP), dengan membuat sumbangan yang penting dan bermakna sebagai inkubator untuk kepimpinan dan idea, kata Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Duta Datuk Muhammad Noor Yacob. 

Beliau berkata APEC atau perkumpulan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik sedang memperhalusi, membentuk dan menangani isu-isu pelaburan dan perdagangan
"generasi akan datang" seperti penyertaan PKS, penambahbaikan rantaian bekalan dan inovasi yang mana seharusnya ada dalam FTAAP.

"Ekonomi APEC memberi penekanan kepada kepentingan strategik integrasi dan 
kerjasama ekonomi serantau sebagai jalan untuk mencapai pertumbuhan mampan dan pembangunan sama rata di rantau ini. 

"Ia bergantung dalam agenda asal APEC untuk menyokong sistem perdagangan 
pelbagai hala," katanya berucap kepada ahli-ahli komuniti perniagaan, sektor awam dan ahli akademik di Singapura pada persidangan yang dianjurkan oleh Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik (PECC) di sini. 

Peserta telah berkumpul untuk membincangkan cara menangani cabaran 
yang baru muncul di rantau ini. 

Walaupun tanpa perjanjian rasmi, Muhammad Noor berkata satu kajian yang 
dikendalikan oleh Unit Sokongan Dasar Apec, mendapati yang ekonomi APEC 
kemungkinan lebih menjurus kepada eksport dan import di kalangan ahli berbanding bukan ahli. 

"Telahpun didapati impak keahlian APEC di kalangan ahli menyamai perjanjian perdagangan bebas walaupun mereka tidak terikat oleh peraturan rasmi atau triti perdagangan," katanya. 

Mohammad Noor, rakyat Malaysia, mendedahkan yang APEC dijangka mengatasi pertumbuhan global dalam tempoh dua tahun ini. 

Menurut Tinjauan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) baru-baru ini yang dikeluarkan minggu lalu, ekonomi global diunjur berkembang 3.5 peratus pada 2012 dan 4.1 peratus pada 2013. 

Keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar di rantau APEC disasarkan meningkat 4.3 peratus pada 2012 dan 4.7 peratus pada 2013 – lebih tinggi berbanding yang diunjurkan untuk pertumbuhan dunia. 

Pertumbuhan ekonomi di APEC diunjurkan meningkat dengan lebih pantas tahun ini berbanding tahun sebelumnya, sebahagiannya mencerminkan proses pemulihan daripada bencana alam yang melanda rantau ini pada 2011. - BERNAMA 

Jangan tuduh polis punca rusuhan - Bekas polis

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 April, 2012: Persatuan Bekas Polis Malaysia mengingatkan pembangkang dan penganjur perhimpunan Sabtu lepas agar tidak mengambil kesempatan menuduh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sengaja mencetuskan rusuhan dan huru-hara.

Ketua penerangan dan perhubungan persatuan itu Mohd Zainan Mohd Yunus berkata, mereka tidak rela PDRM diperkotak-katikkan pembangkang yang hanya mahu menyuntik kebencian rakyat terhadap pasukan keselamatan itu dan meruntuhkan kerajaan sedia ada.

"Jangan cuba ambil kesempatan dengan dakwaan kononnya wujud provokasi serta penyamaran oleh polis yang berpakaian seperti penyokong perhimpunan itu dan sengaja mencetuskan huru-hara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zainan berkata persatuan itu yakin Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S.Ambiga dan pimpinan pembangkang sebenarnya sudah hilang arah dan pengaruh kerana penipuan mereka selama ini telah diketahui rakyat.

Justeru, persatuan itu menggesa Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara agar menggunakan kuasa yang ada menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak yang bertanggungjawab mencetuskan ketegangan pada hari perhimpunan tersebut.

"Persatuan Bekas Polis Malaysia memuji tindakan PDRM yang telah menjalankan tugas secara profesional di mana tahap disiplin pegawai dan anggota ketika menangani insiden rusuhan tersebut amat dikagumi," katanya. - BERNAMA

Permintaan perabot Malaysia meningkat di Puerto Rico

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 April, 201: Meskipun kelembapan ekonomi di Puerto Rico dari 2007 hingga 2011, jualan runcit perabotnya menyaksikan peningkatan keseluruhan sebanyak enam peratus, demikian menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Puerto Rico mempunyai satu daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita tertinggi dalam kalangan negara Caribbean berikutan sebahagian besar corak penggunaannya mengikut Amerika Syarikat.

Pada 2011, jumlah import perabot kayu ke Puerto Rico berjumlah US$109.41 juta.

"Pengeksport Malaysia dinasihatkan supaya mempertimbangkan wakil tempatan untuk mengelak masalah dalam isu kualiti, prosedur pengimportan dan pulangan barangan," kata Jonathan Rao, Pesuruhjaya Perdagangan Matrade Miami.

"Promosi perabot Malaysia juga boleh dijalankan secara efektif melalui Pameran Perabot Las Vegas di Amerika Syarikat yang dilawati syarikat-syarikat Puerto Rico," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2011, bahagian pasaran Malaysia untuk perabot dapur meningkat dari 0.85 peratus pada 2010 kepada 3.89 peratus (US$0.44 juta), perabot bilik tidur dari 11.29 peratus kepada 12.57 peratus (US$5.63 juta) dan perabot kayu lain dari 3.32 peratus kepada 6.29 peratus (US$2.45 juta).

Matrade berkata prospek bagi pengeksport perabot Malaysia adalah amat baik memandangkan pengeluaran tempatan secara umumnya terhad dan disasarkan pada pasaran murah.

Sebaliknya, ia berkata, persepsi umum perabot Malaysia adalah sangat menggalakkan terutama untuk perabot bilik tidur kayu dan set makan, serta set hiburan dan kabinet TV. - BERNAMA

TM pasar raya dipecah, wang tunai RM190,000 lesap

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 April, 2012: Walaupun ada pengawal keselamatan yang membuat rondaan namun sekumpulan perompak dapat menyelinap masuk ke sebuah pasar raya di Pandan Indah, Ampang dekat sini, sebelum melarikan wang tunai kira-kira RM190,000 dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di premis itu, awal pagi ini.

Kejadian itu hanya disedari pada pukul 7.50 pagi oleh pengawal keselamatan pasar raya berkenaan semasa mahu bertukar syif bertugas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, polis yang menjalankan siasatan selepas menerima laporan mengenai kejadian itu mendapati perompak memasuki pasar raya tersebut melalui pintu sisi.

“Seorang pengawal keselamatan telah menghubungi Balai Polis Pandan Indah memaklumkan berlaku kejadian samun mesin ATM di Pasar Raya Mid Point (Fajar).

“Dia memaklumkan sebuah mesin ATM RHB yang terletak di tingkat bawah telah diumpil dan dipecahkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Amiruddin berkata, pemeriksaan mendapati semua wang dalam mesin berkenaan dianggarkan berjumlah RM190,000 telah hilang.

Beliau berkata, setakat ini, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pasar raya berkenaan merakamkan kejadian rompakan tersebut. - UTUSAN

Kementerian mahu merakyatkan jazz - Kamaruddin

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 April, 2012: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) akan merakyatkan muzik jazz di negara ini sebagai satu usaha untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata genre muzik jazz dilihat mampu menyatupadukan masyarakat majmuk di negara ini kerana ia mempunyai ramai peminat yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Oleh kerana muzik Jazz ramai peminat, kita harus cuba untuk merakyatkannya selaras dengan matlamat kementerian iaitu mahu merakyatkan seni dan budaya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program sambutan UNESCO: Hari Jazz Antarabangsa di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini, hari ini.

Katanya bagi memastikan hasrat untuk merakyatkan muzik jazz dalam kalangan rakyat dapat dicapai, Bahagian Muzik KPKK telah diminta menyediakan satu kertas kerja untuk dipertimbangkan.

Terdahulu dalam ucapannya Kamaruddin mencadangkan supaya Festival Muzik Jazz Kuala Lumpur diadakan sebagai satu langkah untuk merakyatkan irama muzik itu dan pada masa sama menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke Malaysia.

"Sebagai contoh, Pesta Jazz Borneo yang dianjurkan sejak tujuh tahun lalu di Sarawak merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh ramai peminat Jazz di seluruh dunia," katanya.

Katanya acara tersebut yang akan berlangsung pada 12 dan 15 Mei depan mampu menjana pendapatan sampingan terkumpul sebanyak RM15 juta kepada penduduk Sarawak khususnya di Miri. - BERNAMA

Pasukan khas ditubuh siasat kenyataan Nizar

TAPAH, ISNIN, 30 April, 201: - Polis akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kenyataan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mendakwa kononnya Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi tentera dan meminta mereka berbuat sesuatu jika Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata pasukan khas itu akan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Dzuraidi Ibrahim kerana kenyataan yang dibuat oleh Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Panjang itu boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara.

Setakat ini, polis menerima enam laporan daripada individu dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berhubung dakwaan yang dibuat oleh Mohammad Nizar, katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penutupan perkhemahan dan perbarisan sambutan ulang tahun ke-42 Pasukan Kor Kadet Polis Peringkat Kontinjen Perak 2012 di kem Sentosa PLKN Chenderiang di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata polis juga akan memanggil Mohammad Nizar bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya itu secepat mungkin.

Mohammad Nizar dalam satu ceramah Ahad lepas, mendakwa beliau dikhabarkan kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil semua kepimpinan tentera dan bertanya sama ada mereka akan berbuat sesuatu jika BN tumbang.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Angkatan Tentera Malaysia yang bertegas mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Mohammad Nizar kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap pasukan keselamatan. - BERNAMA

Nelayan bakal dilindungi insurans - Noh Omar

PELABUHAN KLANG, ISNIN, 30 April, 2012: Kira-kira 65,000 nelayan berdaftar di seluruh negara bakal menikmati skim insurans mulai pertengahan tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata insurans itu membolehkan nelayan menikmati perlindungan terhadap kecederaan atau kematian mereka ketika keluar menangkap ikan yang sekaligus dapat meringankan penderitaan mereka dan waris mereka.

"Cadangan mewujudkan skim insurans ini telah diluluskan Kabinet awal tahun ini dan persatuan nelayan di seluruh negara juga telah menyatakan persetujuan penuh terhadap langkah terbabit.

"Kita berharap hasrat itu dapat direalisasikan pertengahan tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang di sini hari ini.

"Nelayan menerima eluan sara hidup sebanyak RM2,400 setahun dan daripada jumlah itu, RM100 (setahun) akan dipotong untuk dicarumkan.

"Sebelum ini, nelayan yang memperoleh elaun hanya menggunakan wang itu untuk tujuan tertentu dan jarang menyimpan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang. Justeru setiap kali berlaku musibah, nelayan akan dihimpit kesusahan," kata Noh.

Beliau berkata skim insurans itu turut meliputi perlindungan lain termasuk kebakaran dan kecacatan anggota badan.

"Kita telah memilih syarikat insurans yang boleh memberi pampasan yang tinggi bagi menjaga kebajikan setiap nelayan," katanya. - BERNAMA

Cadangan bina terowong dasar laut dibantah

GEORGE TOWN, ISNIN, 30 April, 2012: Pengendali pelabuhan Pulau Pinang, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) membantah cadangan kerajaan negeri untuk membina terowong dasar laut sepanjang 6.5 km menghubungkan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam kerana projek itu didakwa merugikan PPSB dalam jangka masa panjang.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata projek itu boleh mengganggu kemasukan kapal kargo sekaligus mempengaruhi urusniaga pelabuhan.

"Pada tahun lepas, PPSB mencatatkan pengendalian kontena sebanyak RM1.1 juta TEU (kontena berukuran 20 kaki). Perolehan ini dicapai kerana 95 peratus kargo yang masuk ke negeri ini melalui pelabuhan dan selebihnya menggunakan laluan udara," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Hilmi turut menyelar sikap kerajaan yang disifatkan terburu-buru membuat keputusan berhubung projek pembinaan terowong berkenaan tanpa mengkaji pelbagai kesan sampingan sekiranya projek itu diteruskan.

Katanya projek itu dikatakan dibiayai melalui pertukaran tanah dengan syarikat yang bakal membangunkan projek itu dan ini bermakna kerajaan negeri akan mengambil lagi tanah rakyat.

Beliau berkata projek itu turut memberi kesan terhadap pembangunan Pulau Pinang pada masa depan di samping terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi.

Baru-baru ini Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan negeri bercadang untuk membina terowong dasar laut berharga RM8 bilion bagi menghubungkan tanah besar dengan pulau sebagai usaha memgurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini. - BERNAMA

Kadar keciciran pelajar Orang Asli turun 15% 2015

BANGI, ISNIN, 30 April, 2012: Kadar keciciran pelajar Orang Asli pada tahun ini menurun kepada 25.9 peratus berbanding 29 peratus tahun lepas, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sehubungan itu beliau berkata menerusi Pelan Strategik Kemajuan Orang Asli 2011-2015, usaha untuk menurunkan kadar keciciran sehingga 15 peratus pada tahun 2015 akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Orang Asli 2011 di sini hari ini, beliau berkata kesungguhan mereka untuk mengubah kehidupan dapat dibuktikan dengan pertambahan bilangan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama pada setiap tahun.

Katanya pada tahun lepas tujuh daripada mereka mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) iaitu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.8 ke atas dan 42 lagi mendapat 6A ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seramai 90 pelajar mendapat 5A ke atas dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 48 lagi mendapat 4A ke atas dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kata Shafie.

"Kementerian turut menimbang untuk menghantar 10 lagi pelajar ke luar negara yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2011. Pada tahun lepas kita pilih lapan orang untuk mengikuti kelas persediaan sebelum dihantar ke luar negara di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat," katanya.

Menurutnya sehingga kini seramai 408 pelajar Orang Asli sedang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dalam pelbagai jurusan.

"Di peringkat menengah pula kita perkenalkan projek rintis iaitu pembukaan Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA) untuk menempatkan pelajar Orang Asli kategori sederhana cemerlang UPSR supaya kecemerlangan mereka dapat dipertingkatkan," katanya. - BERNAMA

Bunuh: Pasangan kekasih kekal dihukum gantung

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA, ISNIN, 30 April, 2012: Seorang bekas pelajar sebuah kolej dan teman lelakinya kekal menjalani hukuman mati kerana membunuh rakan karib perempuan tersebut di sebuah bilik hotel, lima tahun lalu, selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya hari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Syed Helmy Syed Ahmad yang bersidang bersama Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian terhadap Noralina Ahmad Dasuki, 25, dan Muhammad Khairul Anuar Abdullah, 30.

Pada 14 Julai 2009, bekas pelajar kolej itu dan teman lelakinya yang merupakan bekas jurujual sebuah stesen televisyen satelit berbayar dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh Juliana Md. Fuzi, 20. - UTUSAN

Sirul Azhar dibenar fail petisyen rayuan tambahan

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA, ISNIN, 30 April, 2012: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Koperal Sirul Azhar Umar memfailkan petisyen rayuan tambahan sebelum prosiding rayuannya atas sabitan dan hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, didengar pada 27 Ogos depan.

Kebenaran itu diberikan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang bersidang bersama Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Wira Mohtarudin Baki.

Pada 9 Mac lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan rayuan Cif Inspektor Azilah Hadri, 34, dan Sirul Azhar, 38, atas sabitan dan hukuman mati kerana membunuh Altantuya, didengar selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 Ogos depan.

Kedua-duanya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mensabitkan mereka pada 9 April 2009 terhadap tuduhan membunuh model sambilan itu yang ketika kejadian berusia 28 tahun. - UTUSAN

JPAM sasar daftar 200,000 sukarelawan tahun ini

MELAKA, ISNIN, 30 April, 2012: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyasarkan sekurang-kurangnya 200,000 sukarelawan menyertai agensi itu di seluruh negara pada tahun ini. 

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPAM, Zainun Salleh, berkata sehingga
April ini JPAM menerima penyertaan seramai 50,000 anggota sukarela dengan kira-kira 20,000 daripadanya didaftarkan di Melaka.

"Kita sentiasa merekrut anggota sukarelawan baru dan mereka ini akan 
diberikan pendedahan dan kemahiran asas teknik menyelamat yang betul sebelum 
dibenarkan menyertai tugas menyelamat," katanya kepada pemberita selepas 
melancaran Program Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Negeri 

Melaka di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Ayer Keroh, di sini. 

Beliau berkata, anggota sukarela JPAM yang terpilih turut berperanan melatih orang awam menghadapi kejadian bencana atau kecemasan. 

Zainun berkata, JPAM juga menyasar mewujudkan sekurang-kurangnya satu pejabat agensi itu di setiap daerah supaya proses penyampaian latihan kepada masyarakat berjalan lancar. 

Sementara itu, beliau berkata, JPAM mengalu-alukan penyertaan masyarakat awam menyertai CDERT yang bertindak memberi bantuan kecemasan awal dalam situasi kecemasan atau kemalangan sebelum bantuan daripada agensi penyelamat tiba. 

Katanya, CDERT yang diwujudkan di kilang, taman perumahan, syarikat atau 
agensi swasta bertujuan mengurangkan risiko kemalangan atau kemalangan jiwa. 

Beliau berkata, CDERT mempunyai keahlian seramai 2,500 ahli dengan 391 
pasukan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sejak ia mula ditubuhkan 
pada 2006. - BERNAMA

Kebanjiran artis luar negara perlu dikawal - Zed Zaidi

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 April, 2012: Kebanjiran artis luar yang mencari nafkah dalam industri hiburan tempatan kini pada tahap yang serius dan memerlukan kawalan menyeluruh, kata Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi.

Beliau berkata, langkah tersebut penting memandangkan kegagalan pihak berwajib untuk berbuat demikian boleh menyebabkan industri hiburan negara ini satu hari nanti menjadi milik artis-artis luar.

Menurut Zed, pendirian tersebut tidak bermakna beliau menentang keras kemasukan artis luar ke dalam industri hiburan tanah air tetapi kemasukan mereka (artis-artis luar) perlu dikawal.

"Tidak dinafikan kemasukan artis-artis luar ke negara kita bukan sahaja banyak membantu merancakkan industri hiburan tanah air bahkan juga menggalakkan persaingan antara artis luar dan tempatan. Persaingan sememangnya bagus.

"Cumanya, jika trend kemasukan mereka tidak dikawal melalui persatuan, apakah akan terjadi kepada industri hiburan tanah air kita dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang? Bagaimana pula dengan nasib artis-artis tempatan negara yang ingin mencari sesuap nasi di buminya sendiri?" kata beliau dalam program “Dalam Radar", terbitan Bernama Radio24, baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zed turut melahirkan rasa kecewanya dengan aspek pengawalan kemasukan artis-artis luar ke dalam industri hiburan tanah air ketika ini, yang dilihatnya cukup longgar.

Katanya, keadaan sedemikian pula jarang berlaku di negara-negara lain kerana mereka telah melakukan pengawalan yang ketat terhadap kemasukan artis-artis luar.

Malaysia, tegasnya, turut mempunyai peraturan berkenaan namun ia tidak ditekankan secara menyeluruh.

Zed turut menyelar segelintir pihak yang cenderung mengagung-agungkan artis-artis luar dalam produksi mereka dan menyifatkan tindakan itu sebagai satu cara untuk meraih keuntungan dan kepentingan diri mereka sendiri.

"Malaysia memiliki penggiat seni yang hebat. Kenapa artis-artis tempatan tidak diangkat hinggakan perlu menggunakan artis-artis luar? Hakikatnya, kita mempunyai bakat yang cukup profesional dan bertaraf antarabangsa," katanya. - BERNAMA

Nalla, Utusan fail pernyataan pembelaan 15 Mei

Oleh AMIRUDDIN HARUN

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 April, 2012: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 15 Mei untuk Datuk S. Nallakaruppan dan Utusan Melayu (M) Bhd. memfailkan pernyataan pembelaan masing-masing berhubung kes saman RM100 juta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap mereka berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan aktiviti biseksual.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera semasa pengurusan kes tersebut buat kali pertama hari ini.

Beliau turut menetapkan tarikh yang sama bagi lanjutan pengurusan kes.

Dalam saman yang difailkan pada 26 Mac lalu, Anwar menamakan bekas rakan baiknya, Nallakaruppan yang juga bekas Pengarah Eksekutif Magnum Corporation Bhd. (Magnum), Utusan Melayu dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Saman itu berhubung petikan ringkas yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 20 Mac lalu di muka hadapan bertajuk "Anwar biseksual, tak boleh jadi pembangkang - Nalla" dan berita penuh di muka surat enam bertajuk "Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual". - UTUSAN

Rita Rudaini tidak setuju permohonan cerai Aidil

Oleh SITI NOORALINA AHMAD

PETALING JAYA, ISNIN, 30 April, 2012: Pelakon, Rita Rudaini tidak bersetuju dengan permohonan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohammad Aidil Zafuan Abd. Razak untuk bercerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Rita yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain memberitahu mahkamah dia tidak bersetuju dengan permohonan itu berikutan dia dan Aidil tidak pernah berbincang secara bersemuka sejak suaminya itu keluar dari rumah mereka empat bulan lalu.

Sehubungan dengan itu, mahkamah menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan semula kes tersebut bagi melantik Jawatankuasa Pendamai yang dianggotai seorang wakil keluarga terdekat kedua-dua pihak. - UTUSAN

Pathmanabhan, tiga pekerja ladang diperintah bela diri

SHAH ALAM, ISNIN, 30 April, 2012: Bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, R. Matan serta R. Kathavarayan hari ini diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian di akhir kes pendakwaan selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh. - UTUSAN

Tahniah kepada semua anggota polis kawal perhimpunan

SAYA berasa lega dan senang hati membaca kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini, bahawa polis dan Peguam Negara akan meneliti kertas siasatan untuk menentukan tindakan terhadap penganjur perhimpunan BERSIH 3.0 yang disertai ramai pemimpin pembangkang sehingga bertukar kepada keganasan serta rusuhan penyokong mereka di sekitar Dataran Merdeka, di Kuala Lumpur, Sabtu, kelmarin.

Siasatan berkenaan, menurut Menteri Dalam Negeri, akan menentukan bentuk tindakan yang bakal diambil terhadap penganjurnya, Datuk S Ambiga serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin lain yang dilihat berucap kepada penyokong mereka sebelum rusuhan dan keganasan berlaku.

Tepat sekali, selain meneliti hasil siasatan, pihak berkuasa perlu mengkaji secara mendalaam semua laporan, terutama punca rusuhan dan keganasan yang dicetuskan penyokong perhimpunan haram itu..

Pada saya jelas sekali, seperti kata Hishammuddin, secara keseluruhan, penganjur, pembangkang dan peserta perhimpunan sudah melanggar undang-undang dan tindakan mengikut undang-undang sedia ada perlu diambil terhadap mereka.

Kita lihat, selain Anwar, pemimpin lain yang dilihat di lokasi perhimpunan adalah Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Azmin Ali; Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar; AJK PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dan Dr Dzulkefly Ahmad serta Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Kelihatan juga bersama peserta perhimpunan bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir; Pengerusi DAP, Karpal Singh; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Abdul Aziz Bari.

Sata yakin majoriti rakyat mahu pihak yang menjalankan siasatan meneliti rakaman video oleh PDRM mengenai pelbagai insiden sehingga mendatangkan kecederaan kepada anggota polis, kerosakan harta awam dan kenderaan polis

Penganjur, SUHAKAM dan Majlis Peguam yang asyik menyalahkan polis bertindak ganas, perlu buka mata melihat tindakan peserta perhimpunan melakukan provokasi terhadap polis yang bertugas mengawasi keselamatan dan ketenteraman awam.

Penganjur, SUHAKAM dan Majlis Peguam jangan hanya melihat video yang mereka rakam sahaja. Polis sendiri mempunyai rakaman dari pelbagai dan setiap sudut bagi memperjelaskan gambaran situasi sebenar ketika perhimpunan.

Taahniah diucapkan kepada semua anggota polis kerana berupaya dan mampu mengawal perhimpunan dngan sebaik-baiknya. Syabas!

Polis akan tayang rakaman video perhimpunan - Najib

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 April,  2012: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihak polis akan memaparkan rakaman video mengenai apa sebenarnya berlaku semasa perhimpunan anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan disokong oleh pembangkang di ibu negara semalam.

Najib, yang juga Presiden UMNO berkata, langkah itu bagi mengelak insiden itu daripada dieksploitasi oleh pihak tertentu yang cuba mempengaruhi pendapat awam berhubung perhimpunan itu yang mana kebanyakannya dipaparkan melalui media sosial.

"Penting bagi polis untuk paparkan apa sebenarnya berlaku. Polis tidak akan tutup ada apa-apa termasuk jika ada salah laku yang dilakukan oleh anggota polis sendiri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar akan mengadakan sidang media hari ini bagi menerangkan lebih lanjut berhubung penyiaran rakaman video tersebut.

Najib yang kesal dengan tindakan liar peserta semasa perhimpunan itu turut menyifatkan penganjur gagal menepati janji untuk mengadakan perhimpunan yang aman dalam tempoh yang singkat. - BERNAMA

Siasatan polis adil, objektif - Najib

 *NAJIB diiringi Muhyiddin Yassin, menyampaikan bendera kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pada majlis Larian Bendera UMNO ke-66 di lobi Menara Dato' Onn, PWTC, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, siasatan polis terhadap perhimpunan haram Bersih 3.0 akan dijalankan secara adil dan objektif.

Menurut Perdana Menteri, laporan siasatan itu seterusnya akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Jelas beliau, bagi pihak kerajaan dan polis, video mengenai apa sebenarnya berlaku pada perhimpunan tersebut akan didedahkan kepada umum bagi membolehkan rakyat dan masyarakat antarabangsa menilai kesahihan apa jua dakwaan yang dilemparkan.

“Amat penting bagi kerajaan dan polis memaparkan apa yang berlaku sebenarnya. Pihak tertentu cuba memenangi isu ini dengan menghuraikan tanggapan mereka sama ada benar atau separuh benar.

‘‘Paparan dalam Internet dan media sosial boleh mempengaruhi rakyat dan media antarabangsa. Oleh itu, penting bagi kerajaan dan polis papar apa yang sebenarnya berlaku.

“Pada umumnya polis menjadi mangsa, namun jika ada tindakan polis yang keterlaluan, kita akan siasat dan ambil tindakan sewajarnya. Kita tidak akan tutup apa-apa," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Najib berkata, kerajaan kesal dengan pihak penganjur yang menjanjikan satu perhimpunan aman tetapi janji itu tidak ditunaikan.

“Kita kesal kerana kekasaran telah berlaku. Mereka jelas tidak menghormati keputusan mahkamah termasuk merempuh halangan yang didirikan dan menampilkan budaya keterlaluan atau ganas.

“Kesudahannya ia sendiri telah mencemar perhimpunan termasuk mencalar imej negara.

“Apabila ada demonstrasi jalanan, yang jelas ia dipengaruhi dua unsur iaitu wujudnya anggota yang ekstrem dan mereka yang suka buat kacau. Ambiga (Datuk S. Ambiga) sendiri mengakui gagal mengawal keadaan. Ini pertama kali undang-undang baru diuji selepas pemansuhan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri),’’ katanya.

Mengenai penggunaan meriam air dan gas pemedih mata yang dipertikai sesetengah pihak, katanya, pakar perubatan sendiri mengatakan ia tidak memudaratkan kesihatan, malah, lebih baik daripada pertempuran fizikal. - UTUSAN

Penyertaan kaum Cina tak bererti sokong PKR

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Peningkatan jumlah penyertaan kaum Cina pada perhimpunan Bersih 3.0 semalam tidak bererti mereka akan menyokong pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, penyertaan mereka itu merupakan sebahagian daripada strategi PKR untuk menunjukkan seolah-olah pembangkang memperoleh sokongan kaum Cina.

"PKR sedar bahawa sokongan kaum Cina terhadap pembangkang semakin merosot dan mereka terpaksa menampilkan penyertaan golongan itu dalam Bersih 3.0 bagi menunjukkan bangsa itu masih setia pada parti itu.

"Saya diberitahu oleh rakan-rakan wartawan dari akhbar berbahasa Cina bahawa pengundi kaum itu tidak akan menyokong calon PKR selain DAP pada pilihan raya umum akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, peralihan sokongan itu dapat dilihat sejak kebelakangan ini terutama melibatkan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) apabila kaum Cina menganggap tindakan pemimpin pembangkang membantah pembayaran balik pinjaman itu sebagai memalukan.

"Bantahan pembangkang itu seolah-olah menunjukkan kaum Cina tidak mahu membayar balik semula hutang berkenaan sedangkan mereka sanggup bekerja keras dan berkorban apa sahaja demi membiayai persekolahan anak mereka," ujarnya.

Selain itu, Zainuddin memberitahu, perubahan pentadbiran MCA di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang lebih aktif dalam menyerang sikap perkauman DAP dan mempertahankan dasar-dasar kerajaan telah membantu menaikkan semula imej parti itu serta Barisan Nasional (BN).

Katanya, setakat ini, masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa semua kaum Cina telah kembali menyokong BN, tetapi secara keseluruhannya perubahan sedang berlaku dan kaum itu juga lebih selesa dengan gaya kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kaum Cina melihat Najib sebagai seorang yang berwibawa dan berupaya melakukan transformasi ekonomi, politik dan sosial ke arah kestabilan dan kemakmuran negara," katanya. - UTUSAN

Hadi tempelak Nasharudin

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menempelak Nasharudin Mat Isa dan menyifatkan kebimbangan bekas timbalannya itu berhubung penularan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak harus dilayan.

Abdul Hadi berkata, kebimbangan Nasharudin itu hanyalah suara kecil dalam parti dan Pas hanya akan mendengar suara daripada pihak yang besar seperti parti politik atau kerajaan, bukannya daripada seorang individu.

“Saya mewakili pemimpin-pemimpin Pas merasakan tidak perlu melayan pandangan individu. Saya hanya akan melayan pandangan kerajaan dan pihak-pihak yang kita anggap besar.

“Pandangan yang kecil-kecilan ini kita tidak perlu dengar," katanya kepada pemberita pada Program Santai BBQ Bersama Presiden Pas di sini hari ini.

Nasharudin meluahkan kebimbangan beliau terhadap penularan gejala LGBT dalam wawancara Mingguan Malaysia hari ini dan menyatakan hukuman Allah SWT terhadap perbuatan terkutuk kaum Nabi Lut AS sebelum ini sepatutnya dijadikan iktibar oleh setiap umat Islam. - UTUSAN

Pas nafi beri bayaran kepada peserta

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Pas hari ini menafikan dakwaan bahawa pakatan pembangkang ada memberi bayaran kepada peserta perhimpunan Bersih 3.0 semalam.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebaliknya menuding jari kepada pihak lain termasuk UMNO yang beliau dakwa telah menghantar pemerhati dan penonton menyertai perhimpunan haram tersebut.

“Kita terdiri daripada parti-parti miskin. Apa yang berlaku kita mengutip derma daripada pengikut.

“Kalau hendak membayar orang itu, kami tidak mampu. Itu pihak lain yang membayar mereka.

“Peserta kita datang secara sukarela dan percuma. Mereka memberikan derma dan sumbangan. Semuanya datang dan beri sumbangan," katanya kepada pemberita pada Program Santai BBQ Bersama Presiden Pas di sini hari ini.

Beliau mengulas pengakuan peserta perhimpunan berkenaan bahawa mereka telah dibayar untuk menghadiri perhimpunan tersebut. - UTUSAN

Bersih 3.0: Cermin wajah sebenar sikap pembangkang

*DR.Mahathir menerima cenderamata daripada Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique (dua, kiri) di Sekolah Kebangsaan AU Keramat, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Keganasan yang berlaku pada perhimpunan haram Bersih 3.0 semalam mencerminkan sikap sebenar pembangkang yang tidak senang melihat keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi negara selama ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) berkata, sikap agresif peserta perhimpunan yang bertindak ganas itu jelas menunjukkan acuan yang bakal digunakan pembangkang sekiranya berjaya mentadbir negara kelak.

Katanya, penganjur dan pembangkang melaung-laungkan perhimpunan itu sebagai aman namun, sikap yang ditonjolkan adalah sebaliknya apabila mereka menyerang, membaling, memecah dan menterbalikkan kereta peronda polis.

"Kejadian semalam jelas menunjukkan keadaan negara jika parti pembangkang menjadi pemerintah kerana mereka sudah menunjukkan imej kerajaan yang mahu mereka bangunkan.

"Saya rasa mahu mencadangkan Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga menjadi Perdana Menteri kerana selepas itu kita boleh mengadakan demonstrasi setiap hari di Dataran Merdeka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Jasamu Dikenang dan Ke Manakah Arah Tuju Bangsaku 1Malaysia Pada Tahun 2020 yang adakan di Sekolah Kebangsaan AU Keramat, di sini hari ini.

Mengenai penglibatan golongan muda dalam perhimpunan itu, Dr. Mahathir menambah, golongan berkenaan sebenarnya telah lupa pada sejarah.

"Mereka lupa asal usul dan nikmat yang sedang dinikmati kini kerana Malaysia diiktiraf oleh dunia sebagai sebuah negara membangun yang termaju," katanya.

Selain itu, Dr. Mahathir juga tidak menolak objektif sebenar yang ingin ditunjukkan pembangkang dan penganjur Bersih 3.0 adalah perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, dengan menunjukkan keadaan berpecah-belah itu akan membuka ruang kepada kuasa asing mencampuri urusan pentadbiran negara.

"Sekarang pun sudah ada campur tangan asing, namun, setakat ini penglibatan pihak luar hanya dengan menyalurkan dana kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Selepas ini mungkin mereka akan mula membekalkan senjata sekiranya pemberian dana tidak menunjukkan sebarang hasil yang mampu menjatuhkan kerajaan.

"Apabila negara tidak stabil, kuasa asing ini akan mengambil kesempatan dengan mendakwa kerajaan yang ada gagal mentadbir urus negara," jelasnya.

Justeru, bekas Perdana Menteri itu mengingatkan rakyat terutamanya orang Melayu supaya tidak termakan dengan janji-janji kosong sehingga menjadi 'keldai' yang akan memusnahkan negara.

"Jika semua itu terjadi, kita akan menerima nasib sama seperti negara-negara Arab yang tidak stabil kerana setiap bantuan diterima daripada pihak luar, pasti memerlukan pembalasan," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut menyeru para pengundi atas pagar supaya berfikir terlebih dahulu sebelum membuat pilihan agar tidak tersalah memilih kerajaan kerana ia mampu memberikan kesan buruk terhadap nasib sendiri di masa hadapan. - UTUSAN

Lihat 'wajah sebenar' pembangkang

KLUANG, AHAD, 29 April, 2012: MCA berharap rakyat dapat melihat 'wajah sebenar' pembangkang yang jelas memperalatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu pada perhimpunan haram Bersih 3.0 sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, perhimpunan 'kotor' yang berlangsung dalam keadaan ganas itu hanya dijadikan medan untuk pembangkang mencemar imej Barisan Nasional (BN) dan bukannya menuntut pilihan raya yang adil.

Beliau berkata, dakwaan pembangkang kononnya senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah 'dicemari' juga adalah pembohongan yang nyata.

"Jika benar dakwaan pembangkang, bagaimana mungkin mereka yakin dapat memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Bagaimana pembangkang dapat menang di lima negeri pada pilihan raya umum lepas dan tujuh daripada 16 pilihan raya kecil?," katanya kepada pemberita pada sesi jelajah pemimpin MCA di sini hari ini. - UTUSAN

Ikarar Pesaka jadi benteng pertahanan negara disambut baik

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Kerajaan menyambut baik pendirian serta ikrar Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) untuk menjadi benteng pertahanan ketiga bagi memastikan negara terus kekal aman dan merdeka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana peranan jutaan pesilat di bawah naungan Pesaka penting terutama dalam senario semasa yang menyaksikan cubaan sesetengah pihak mencabar Perlembagaan negara sejak akhir-akhir ini.

Mengambil contoh penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 semalam, jelasnya, matlamat penganjur itu cukup jelas iaitu untuk menggugat keselamatan negara serta kedudukan kerajaan.

''Para pendekar Melayu dahulu mengamalkan seni persilatan bukan sahaja sebagai seni mempertahankan diri tetapi sebagai benteng mempertahankan tanah air. Kehebatan mereka terpahat dalam lembaran sejarah dan menjadi kebanggaan orang Melayu sehingga ke hari ini.

''Oleh itu, kerajaan menyambut baik dan mengalu-alukan pendirian Pesaka yang menaungi pesilat-pesilat untuk menjadi benteng pertahanan ketiga dalam mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara,'' katanya.

Beliau berucap menutup Kejohanan Silat Kebangsaan 2012 yang turut dihadiri Presiden Pesaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Stadium Badminton Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas ucapan aluan Mohd. Ali yang dalam ucapan aluannya melafazkan ikrar serta pendirian Pesaka untuk membantu kerajaan dalam mempertahankan keamanan negara.

Muhyiddin berkata, sebagai satu seni mempertahankan diri yang menjadi warisan budaya Melayu, seni silat wajar disemarakkan dengan penganjuran pelbagai aktiviti persilatan menerusi gabungan persatuan serta perguruan silat di negara ini.

''Usaha sebegini dapat memantapkan seni silat agar ia tidak hilang ditelan zaman, malah terus dipertahan dan dimartabatkan,'' katanya.

Terdahulu beliau mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM150,000 untuk Pesaka bagi tujuan penganjuran aktiviti persilatan.

Muhyiddin turut menjelaskan komitmen kerajaan bagi merealisasikan hasrat Pesaka Kuala Lumpur untuk membina bangunan dan gelanggang latihan persilatan di ibu negara. - UTUSAN

Pembangkang terus salahkan polis

Oleh AZHARI ZAINOODDIN

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyelar dan menyalahkan pihak polis di atas kekecohan serta keganasan yang berlaku semasa perhimpunan haram Bersih 3.0 semalam.

Biarpun dalam perhimpunan itu beberapa anggota polis dan petugas media mengalami kecederaan, Ketua Menteri Pulau Pinang itu tetap angkuh dengan menuding jari menyalahkan pihak berkuasa yang bertugas menjaga keamanan negara.

Katanya, tindakan keras pasukan polis terhadap peserta perhimpunan dan tangkapan rambang yang dilakukan didakwa menjadi punca tercetusnya kekecohan dan keganasan.

“Kami mengecam tindakan pihak polis itu kerana ia tidak sesuai dengan keadaan ketika perhimpunan. Hanya segelintir yang merempuh untuk memasuki kawasan Dataran Merdeka tetapi mengapa ada tangkapan dilakukan di lokasi lain?," katanya. - UTUSAN

Kerajaan wajar tuntut ganti rugi

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Kerajaan wajar menuntut ganti rugi dan pampasan daripada penganjur Bersih 3.0 di Dataran Merdeka semalam ekoran banyak kerosakan harta benda awam yang berlaku kerana keganasan mereka yang menyertai perhimpunan haram itu.

Naib Pengerusi DAP, Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, pihak penganjur sudah pasti mempunyai sumber kewangan yang bukan sedikit apabila mampu menganjurkan perhimpunan yang melibatkan ramai peserta seperti itu.

"Siapa yang mahu bayar semua kerosakan yang berlaku ini? Kenderaan polis dan sebagainya banyak yang rosak. Itu adalah harta rakyat juga.

"Jadi, nampaknya banyak juga wang pihak penganjur Bersih kali ini. Saya pun biasa jadi ketua pertubuhan bukan kerajaan (NGO). NGO bukan selalu ada duit tetapi ini (penganjur Bersih 3.0) nampak mewah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN

DNPN bukan medan tuntutan melampau - Muhyiddin

PUTRAJAYA, AHAD, 29 April, 201: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) yang akan diadakan di seluruh negara tidak harus dijadikan medan mengutarakan tuntutan melampau yang bercanggah dengan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, peserta-peserta dialog sebaliknya diajak menumpukan perhatian kepada hal-hal peningkatan kualiti pendidikan yang memanfaatkan semua pihak.

“Saya ingin menegaskan bahawa kajian semula pendidikan ini bertujuan meningkatkan kualiti semua sekolah termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah mubaligh dan sekolah agama bantuan kerajaan.

“Jangan ada pihak yang merasakan hanya sekolah-sekolah tertentu yang akan menerima manfaat daripada kajian semula ini kerana kualiti semua sekolah mesti ditingkatkan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian DNPN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 12 ahli panel DNPN yang diketuai bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Mohd. Noordin.

DNPN diadakan mulai hari ini sehingga pertengahan Julai di seluruh negara bagi mengumpulkan pandangan semua lapisan masyarakat dalam menyediakan Pelan Hala Tuju Pendidikan Negara.

Muhyiddin berkata, kerajaan mengalu-alukan semua pihak untuk menyampaikan pandangan yang konstruktif, rasional dan bertanggungjawab melalui DNPN.

“Selain daripada siri dialog, pandangan juga boleh disampaikan melalui Twitter, Facebook dan laman web kajian semula pendidikan," katanya. - UTUSAN

Jamin heret penyerang ke pengadilan

                                *LAWAT ANGGOTA POLIS CEDERA

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Peserta perhimpunan Bersih 3.0 yang merusuh dan menyerang anggota polis dan petugas media akan diheret ke muka pengadilan secepat mungkin.

Perkara itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Mohd. Azri Mohd. Salleh, 28, ketika beliau melawat jurukamera televisyen AlHijrah itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, Mohd. Azri terpaksa menerima sembilan jahitan di kepalanya akibat dipukul sekumpulan perusuh ketika cuba meleraikan mereka daripada membelasah seorang anggota polis, Konstabel Mohd. Kamil Paimin, 24, di hadapan kompleks beli-belah Sogo di sini.

Mohd. Azri menjelaskan, semasa kejadian, dia melihat kereta peronda jenis Proton Waja yang dipandu Mohamad Kamil itu diserang sebelum terbabas.

“Saya nampak ada perusuh yang membaling batu ke arah keretanya selain tingkap pecah. Saya juga nampak ada seorang anggota polis di dalamnya telah pengsan.

“Atas rasa belas kasihan, saya cuba bantu anggota tersebut namun telah ditumbuk bertalu-talu," katanya ketika ditemui di wad HKL di sini hari ini. - UTUSAN

Anwar tak layak jadi Perdana Menteri

*AHLI-AHLI Perkasa berdiri di tengah panas memberi sokongan kepada Perhimpunan 'Raja Berdaulat Kasih Dijunjung' di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana sikapnya yang tidak menghormati Perlembagaan dan institusi diraja di negara ini.

Bekas Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Madya (B) Datuk Mat Rabi Abu Samah berkata, selagi Anwar tidak menghormati kedua-duanya aspek berkenaan, beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri.

"Kita adalah orang Melayu dan berdasarkan sejarah, orang Melayu memerlukan raja. Sebab apa? sebab raja-raja Melayu yang memberi jaminan terhadap kuasa yang dimiliki oleh orang Melayu untuk memerintah.

"Kekuasaan dan keistimewaan yang dimiliki oleh raja-raja Melayu telah termaktub di dalam Perlembagaan negara sejak merdeka lagi, justeru kita sebagai rakyat perlu menghormati dan taat setia kepadanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan 'Raja Berdaulat Kasih Dijunjung' anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Kelab Sultan Sulaiman, di sini hari ini.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Bahagian Risikan Pertahanan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Salleh Ismail berkata, formula yang digunakan oleh pihak tertentu dalam usaha menimbulkan kekecohan di negara ini mirip dengan perkara yang berlaku di negara-negara di Asia Barat.

"Kekecohan yang berlaku sejak kebelakangan ini menyerupai dengan kejadian di negara-negara di Asia Barat. Mengapa?, sebab formulanya sama iaitu menggunakan rakyat.

"Cara terbaik untuk membendungnya adalah dengan mempertahan serta mengukuhkan institusi diraja yang kita amalkan. Tanpa sistem beraja, lebih mudah untuk pihak-pihak tidak bertanggungjawab membuat kecoh dan menimbulkan suasana huru-hara," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Salleh menyelar tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung dakwaannya bahawa ATM akan mengambil alih kuasa sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tiada sebab untuk ATM berbuat demikian kerana pasukan keselamatan itu hanya boleh mengambil alih sekiranya negara menerima ancaman hebat dari dalam mahu pun luar negara.

"Beliau (Nizar) tidak faham peranan ATM kerana tidak pernah berkhidmat dan bersama angkatan berkenaan. Ia tidak benar, tiada sebab untuk ATM ambil alih negara hanya kerana BN kalah pilihan raya," ujarnya. - UTUSAN

Bersih 2.0: Peguam Negara digesa perjelas kerugian peniaga

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) hari ini menggesa Pejabat Peguam Negara memberi penjelasan berhubung permohonan pengesahan laporan tuntutan kerugian Bersih 2.0 yang diserahkan sejak tahun lalu.

Laporan setebal 365 muka surat itu adalah tuntutan kerugian sebanyak RM817,205 daripada 317 peniaga yang membuat laporan polis ekoran perhimpunan tersebut.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya menggesa maklum balas segera supaya tindakan undang-undang dapat diambil terhadap penganjur atau pihak bertanggungjawab sehingga menyebabkan peniaga diarahkan tutup kedai tahun lalu.

"Apa yang mengecewakan, sehingga kini Peguam Negara masih tidak memberi sebarang maklum balas. Oleh kerana tiada tindakan undang-undang, kini Bersih 3.0 wujud dan semakin ganas sehingga meninggalkan impak kepada banyak pihak termasuk peniaga," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN

Perkasa mohon menghadap Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam masa terdekat bagi menyembahkan perisytiharan yang dipersetujui bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada perhimpunan 'Raja Berdaulat Kasih Dijunjung' hari ini.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, rombongan NGO itu berharap dapat menyembahkan sendiri perisytiharan tersebut kepada Seri Paduka kerana ia penting demi memastikan institusi raja-raja Melayu terus dihormati semua pihak di negara ini.

"Perkembangan mutakhir ini mendapati ada anasir-anasir yang cuba memporak-perandakan struktur teras Perlembagaan negara yang termaktub di bawah Fasal 153 dan prinsip Rukun Negara.

"Perbuatan menderhaka, biadab dan kurang ajar mereka dalam pelbagai bentuk merupakan sesuatu yang dirancang secara halus bagi menanam sikap memberontak dan kebencian berterusan rakyat terhadap institusi raja-raja Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membacakan perisytiharan perhimpunan 'Raja Berdaulat Kasih Dijunjung'-Ke Titisan Darah Terakhir Demi Raja dan Negara, di sini hari ini.

Perisytiharan itu antara lain memohon Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu supaya menggunakan apa sahaja kuasa yang diizinkan dengan melucutkan taraf kerakyatan serta mengambil tindakan sewajarnya ke atas sesiapa yang menderhaka kepada perkara asas dalam Perlembagaan negara.

Ia turut menyatakan sokongan NGO terlibat kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah berjaya menggerak dan melancarkan pelbagai transformasi kepada negara.

Sementara itu, kata Ibrahim, beliau akan meminta kesemua pimpinan Perkasa negeri untuk memohon menghadap sultan, raja atau gabenor negeri masing-masing bagi menyampaikan perisytiharan tersebut.

"Kita sudah tidak boleh terima, sudah lama kita bersabar dan kita buat banyak kenyataan, hantar mesej, tapi ada lagi pihak yang mempersendakan raja-raja Melayu seperti di Istana Negara sewaktu pertabalan Agong baru-baru ini dan Menteri Besar Selangor pula kata ia remeh," jelasnya. - UTUSAN

Perlu terus pertahan tiga tonggak utama negara

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Rakyat Malaysia khususnya berketurunan Melayu digesa tidak mudah berputus asa dengan cabaran yang semakin getir dalam mempertahankan tiga tonggak utama negara iaitu Islam, Melayu dan raja-raja Melayu.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, ketiga-tiga tonggak yang saling berkaitan dan bersandar antara satu sama lain itu perlu terus dipertahankan daripada serangan pihak tertentu bagi memastikan pembangunan negara tidak menjadi songsang.

Katanya, pada hari ini, Islam bukan sahaja berhadapan dengan cabaran daripada golongan yang bencikan agama itu serta mereka yang tidak tahu dan jauh daripada Islam, tetapi turut terdedah kepada ancaman diliberalisasikan.

"Mereka ingin salurkan kefahaman Islam yang namanya sahaja Islam tetapi langsung tidak berkaitan dengan perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kini, hak asasi manusia juga mahu dijadikan satu agama," katanya. - UTUSAN

Kelemahan pengerusi punca huru-hara

SEREMBAN, AHAD, 29 April, 2012: Perhimpunan haram Bersih 3.0 yang mencetuskan huru-hara selain mendatangkan kecederaan dan kerosakan harta benda memperlihatkan kelemahan Pengerusinya, Datuk S. Ambiga yang gagal mengawal keadaan seperti dijanjikan.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Ambiga seolah-olah lepas tangan sehingga menyebabkan perhimpunan yang disertai penyokong pembangkang itu bertukar ganas.

"Ambiga meminta supaya peserta perhimpunan haram itu bersurai pada pukul 2.30 petang tetapi disebabkan arahan pemimpin pembangkang lain mereka bertindak merempuh sekatan polis.

''Jadi bagi saya kalau Ambiga kata dia boleh mengawal perhimpunan supaya aman, jelas terbukti sebenarnya beliau gagal dan tidak mampu melaksanakannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Gelanggang Futsal dan Lawatan Ke Premis Kemudahan Orang Ramai di Bandar Seremban Selatan Fasa 3B, dekat sini hari ini. - UTUSAN

Tindakan ibu bapa dikecam

*TINDAKAN sesetengah ibu bapa yang sanggup membawa anak-anak mereka menyertai perhimpunan haram Bersih 3.0 di ibu kota semalam mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 201: Tindakan peserta perhimpunan haram Bersih 3.0 yang membawa anak-anak mereka ke perhimpunan itu dikecam sekeras-kerasnya, sekali gus disifatkan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

Yang Dipertua Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM), Tan Sri Zaleha Ismail berkata, ibu bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada kanak-kanak dan bukannya sengaja mendedahkan mereka kepada risiko yang boleh mengancam nyawa.

''Tanggungjawab sebagai ibu bapa bukan sahaja memberi makan minum kepada anak-anak, malah, perlu dipastikan keselamatannya.

''Jika beli rumah sekalipun mereka perlu memastikan persekitarannya selamat, sedangkan tempat perhimpunan semalam sudah diketahui boleh mengundang bahaya seperti rusuhan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN

Peniaga kecewa, tanggung kerugian

KUALA LUMPUR 29 April - Kebanyakan peniaga di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka kecewa dengan perhimpunan haram Bersih 3.0 semalam yang menyebabkan mereka mengalami kerugian besar akibat premis masing-masing tidak dapat beroperasi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata peniaga terpaksa menanggung kerugian berjumlah ribuan ringgit iaitu pendapatan yang lazimnya diperoleh mereka pada hujung minggu.

Mereka turut melahirkan rasa malu apabila perhimpunan itu berakhir dengan keganasan yang menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa.

Seorang pemborong tekstil, Mohd. Hakimie Mohd. Noor, 26, berkata, dia kecewa kerana motif utama perhimpunan itu adalah untuk mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara.

"Perhimpunan itu adalah paling dahsyat yang pernah saya lihat. Akibatnya kami peniaga tekstil terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM30,000 kerana tidak dapat berniaga pada hari tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini. - UTUSAN

Mukhriz kecewa Bersih 3.0 jujas misi pelaburan

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI

KANGAR, AHAD, 29 April, 2012: Perhimpunan haram Bersih 3.0 menjejaskan misi pelaburan Malaysia di luar negara kerana ia memberi gambaran mengenai keadaan negara yang tidak stabil berikutan kekecohan dilakukan peserta perhimpunan tersebut semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, laporan media luar negara mengenai kekecohan perhimpunan Bersih 3.0 menyebabkan pelabur asing mempunyai tanggapan tidak baik terhadap peluang pelaburan di negara ini.

"Saya sangat kecewa, misi pelaburan saya bersama usahawan Malaysia di Jepun agak terjejas di sebalik kekecohan yang diadakan di ibu negara semalam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Pameran Kejuruteraan Reka Cipta dan Inovasi Antarabangsa (i-Envex) 2012 anjuran Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Dewan 2020, di sini hari ini. - UTUSAN

Program pembebasan berlesen

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU, AHAD, 29 April, 2012: Jabatan Penjara akan melaksanakan program pembebasan berlesen mulai tahun ini kepada banduan yang telah lama berada dalam tahanan sebagai sebahagian daripada program pemulihan dalam masyarakat.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar berkata, melalui program itu, banduan yang memohon akan diberi pelepasan sehingga tujuh hari dan pulang ke pangkuan keluarga sekiranya dapat mengemukakan alasan serta tujuan munasabah seperti menjaga ibu yang sakit.

Beliau berkata, peluang mendapatkan pembebasan sementara itu tidak terhad untuk sekali kelulusan sahaja, malah banduan boleh memohonnya beberapa kali bergantung kepada keperluan masing-masing.

"Banduan yang sudah berada 15 atau 20 tahun di penjara dan mungkin hanya mempunyai baki hukuman dua tahun lagi akan diberi keutamaan. Mereka boleh memohon keluar sekejap untuk menjaga ibu yang sakit atau bagi keperluan membuat persediaan mencari pekerjaan baru," katanya. - UTUSAN

Pas tuduh polis, cadang suruhanjaya

IPOH, ahad. 29 April, 2012: Seperti dijangka, Pas menuduh polis melakukan provokasi sehingga menyebabkan perhimpunan haram Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, semalam bertukar menjadi ganas dan menggesa penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kejadian tersebut.

Naib Presiden parti itu, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya tidak pernah memberikan arahan kepada peserta demonstrasi untuk merempuh benteng yang dibina polis sebaliknya mendakwa ia dilakukan ejen provokasi.

Beliau turut menafikan peserta perhimpunan yang memakai baju Unit Amal Pas dan bertopeng merupakan ahli parti itu sebaliknya mendakwa kumpulan tersebut merupakan ejen provokasi.

“Kita akan teliti balik kejadian itu dan kalau ada di kalangan mereka yang rempuh benteng polis, semua itu adalah ejen provokasi.

“Mana-mana perhimpunan akan dicemari ejen-ejen provokasi. Kita duduk di sana dari pukul 12 tengah hari hingga 3 petang dengan aman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Kali Ke-29 Dewan Pemuda Pas Perak, di sini hari ini. - UTUSAN

Tindakan ke atas Anwar, Ambiga

*ANWAR Ibrahim berucap pada perhimpunan Bersih 3.0 sambil diperhatikan oleh S. Ambiga di Kuala Lumpur, kelmarin. - Utusan/Ghazali Basri

Oleh ANGELINA SINYANG

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) meminta polis mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0 terutamanya Datuk S. Ambiga dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gagal mengotakan janji bagi memastikan perhimpunan itu berlangsung secara aman semalam.

Setiausaha Agung Kimma, Harisrajudin Alaudin berkata, Ambiga bersama Anwar yang mengetuai perhimpunan Bersih 3.0 telah gagal mengawal tingkah laku pengikut mereka menyebabkan pelbagai provokasi dan bertindak ganas terhadap anggota polis yang bertugas menjaga keamanan negara.

Beliau berkata, perbuatan peserta perhimpunan itu jelas tidak bertamadun apabila mencedera dan memusnahkan kenderaan polis.

"Sebagai pembayar cukai, kita tidak boleh berkompromi dengan segala perbuatan merosakkan harta benda awam.

"Perbuatan merempuh sekatan di hadapan Dataran Merdeka diketuai oleh Unit Amal Pas juga satu tindakan mencabar pihak berkuasa. Peniaga di sekitar Lembah Klang juga mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit akibat hilang mata pencarian selama sehari semalam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Selain itu, kata Harisrajudin, perhimpunan semalam juga menyebabkan orang ramai terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk dan banyak majlis keramaian di sekitar ibu negara terpaksa ditunda akibat lumpuhnya sistem pengangkutan awam.

Berikutan masalah yang timbul itu, beliau berkata, Ambiga selaku Pengerusi Bersih 3.0 dan Anwar yang mengetuai pembangkang dalam perhimpunan itu wajar dikenakan tindakan kerana tidak patuh kepada undang-undang negara.

Harisrajudin turut mempersoalkan matlamat Bersih 3.0 diadakan kerana kerajaan sudahpun memenuhi tujuh daripada lapan tuntutan mereka sebelum ini.

Pas pula jelas beliau, menggalakkan ahlinya menyertai perhimpunan itu tetapi melarang mereka menghadiri Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) yang diadakan untuk menyelamatkan umat Islam daripada murtad.

Katanya, Majlis Peguam pula menawarkan bantuan guaman kepada peserta perhimpunan yang ditahan sedangkan mereka sepatutnya membela nasib peniaga yang terjejas pendapatan akibat perhimpunan tersebut.

"Kimma akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar diadakan sidang Parlimen khas untuk mewujudkan kembali Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menjaga keselamatan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Kita juga berharap agar masyarakat berketurunan India Muslim di negara ini, tidak terpengaruh dan tidak menyokong perhimpunan yang boleh menjejaskan keamanan negara seperti dianjurkan oleh Bersih," ujarnya. - UTUSAN

Pembangkang, Ambiga derhaka

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012: Rakyat digesa menolak pakatan pembangkang dan Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga kerana menganjurkan perhimpunan haram di Dataran Merdeka semalam kononnya untuk menuntut sistem pilihan raya yang bersih.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana perhimpunan haram semalam jelas mempromosikan budaya keganasan sehingga berlaku serangan ke atas beberapa anggota polis yang bertugas mengawal keadaan.

Katanya, serangan ke atas anggota terlibat amat biadab dan jelas merupakan penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja Melayu yang berperanan sebagai payung negara dan penaung kepada pasukan keselamatan itu.

Menurutnya, tindakan pemimpin pembangkang menggunakan Ambiga sebagai alat dalam perhimpunan haram itu ternyata mempromosikan budaya liar serta ganas yang dimulakan mereka selepas Pilihan Raya Umum 2008. - UTUSAN

Musa kecewa sandiwara abang sertai pentas pembangkang

BALING, AHAD, 29 April, 2012: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir sedih dengan sandiwara politik Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang memilih berada di pentas pembangkang untuk mengkritik kerajaan.

Musa yang juga adik kepada Abdul Kadir menyelar sikap abangnya yang pandai berdolak-dalik semata-mata untuk menyokong pembangkang dan memburukkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam turut menyifatkan abangnya itu sebagai orang yang kecewa dan tidak berpendirian.

"Tidak usahlah bersandiwara, semasa menjadi menteri dahulu kenapa tidak memberi peluang seperti yang beliau cakapkan," katanya ketika berceramah di Kampung Pak Bong Kupang, dekat sini malam tadi.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Musa menegaskan, beliau dan ahli keluarga lain tetap menghormati Abdul Kadir sebagai abang kandung tetapi tidak boleh menerima tindakannya atas alasan politik.

Katanya, abangnya satu ketika dahulu banyak menasihatkan beliau dan adik-adiknya yang lain supaya terus bekerja kuat untuk UMNO tetapi berikutan berlakunya sedikit masalah, beliau bertindak keluar parti.

Jelasnya, semasa Abdul Kadir mahu keluar berceramah juga beliau banyak kali menasihatkan abangnya itu supaya berfikir panjang dan tidak terburu-buru dalam sebarang tindak-tanduknya.

"Mungkin beliau tidak sedar semasa dalam kerajaan dan memegang jawatan, Pas banyak menghentamnya tetapi apabila berada bersama pembangkang beliau bertukar haluan pula," ujarnya.

Sehubungan itu, Musa berharap, rakyat di daerah itu tidak terikut-ikut dengan rentak Abdul Kadir dan tidak terpengaruh dengan ucapan yang tidak benar serta cuba meraih undi semata-mata. - UTUSAN

Bersih 3.0 dikecam, NGO buat laporan polis

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 April, 2012; Pelbagai pihak hari ini terus mengecam tindakan liar peserta perhimpunan yang disokong pembangkang di sekitar Dataran Merdeka di sini semalam, sehingga menyebabkan kecederaan dan kerosakan harta benda di samping mengganggu pencarian rezeki orang lain.

Mereka berpendapat tindakan peserta perhimpunan menimbulkan huru-hara sebagai bercanggah dengan norma sebuah negara demokratik yang diamalkan di Malaysia selama ini.

Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek berharap insiden itu dapat membuka mata rakyat bahawa parti pembangkang telah memperalatkan pertubuhan bukan kerajaan untuk mencapai agenda politik mereka di samping mahu melihat kerajaan digulingkan.

MCA yang kesal dan dukacita dengan tindak-tanduk demonstran itu, memuji kesabaran pasukan polis dalam menghadapi situasi getir semalam, kata Dr Chua kepada pemberita selepas menghadiri jamuan tengah hari bersama masyarakat Cina di Kluang, Johor.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, penganjur perhimpunan, Datuk S.Ambiga mesti bertanggungjawab terhadap keganasan, kerosakan dan kecederaan yang berlaku pada acara yang dijamin aman oleh beliau sebelum ini.

Shahrizat berkata, Ambiga juga mesti bertanggungjawab kerana hilang kawalan terhadap pemimpin pembangkang yang membuat ucapan berbentuk provokasi.

"Pihak berkuasa perlu menggunakan peruntukan undang-undang yang ada untuk menghalang tindakan anarkis seperti yang dilihat pada perhimpunan itu daripada berulang," katanya dalam kenyataan.

Insiden kacau-bilau di ibu negara itu turut menarik perhatian di Sabah dengan Timbalan Ketua Penerangan Umno negeri Datuk Seri Salleh Said Keruak membidas pembangkang kerana mengambil jalan keluar dengan demonstrasi jalanan bagi memenuhi sifat gilakan kuasa.

Bercakap di Kota Belud, katanya perhimpunan disusuli dengan tindakan ganas tidak selaras dengan budaya Malaysia yang mendokong nilai-nilai murni.

"Ia hanya menggalakkan orang muda kita supaya agresif di samping menyebabkan pergeseran dalam masyarakat dan ia tidak baik untuk negara," katanya kepada Bernama selepas merasmikan program ekonomi anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) dan Persatuan Sama Sabah (PSS).

Dalam pada itu, Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, penyokong perhimpunan itu khususnya kaum Melayu masih tidak sedar hakikat mereka diperbodohkan demi cita-cita politik pihak tertentu.

Menurutnya, tindakan tata tertib akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam dari negeri itu yang didapati mengambil bahagian dalam perhimbunan tersebut.

"Dan bila orang luar melihat Malaysia tidak aman, pasti pelabur tidak akan datang melabur. Siapa rugi? Yang mengganggur kebanyakannya orang Melayu juga," katanya di Kuala Terengganu.

Di Gemencheh, Negeri Sembilan, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz menarik perhatian bahawa keganasan yang tercetus pada perhimpunan itu menjejaskan imej negara selain membawa kesan buruk kepada golongan peniaga, pemandu teksi dan orang awam.

Selain itu, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa pilihan raya di negara ini tidak bersih dan tidak adil.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia, Datuk Zainal Rampak yang menyelar tindakan ganas peserta perhimpunan itu berkata demonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan bukan budaya rakyat Malaysia.

"Jika hendak tukar kerajaan, tunggulah ketika pilihan raya diadakan. Itu baru disebut demokrasi," katanya, sambil menambah kata usaha kerajaan seperti menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan mewujudkan Akta Perhimpunan Aman nampaknya tidak dihargai oleh penganjur perhimpunan tersebut.

Bagi bekas Pengerusi Penerangan Parti Keadilan Rakyat Roslan Kasim, perhimpunan itu sengaja diadakan untuk mengalih pandangan umum terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan negeri diterajui pakatan pembangkang.

"Jadi mereka mencari jalan mengalihkan pandangan rakyat kepada isu lain seperti soal ketidakcekapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya di Muar.

Di Kuala Lumpur, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Datuk Ibrahim Ali berkata pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin terdesak sehingga sanggup menggunakan rakyat untuk mencetuskan huru-hara demi kepentingan politik.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata kerajaan perlu berani bertindak terhadap peserta perhimpunan yang bertindak liar itu.

"Kita bimbang kalau kerajaan tidak berbuat demikian, suasana sewaktu pilihan raya umum nanti menjadi lebih teruk dengan unsur-unsur keganasan sehingga rakyat takut keluar mengundi," katanya di Kuala Terengganu.

Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak Malaysia), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya supaya tindakan tegas diambil ekoran keganasan yang berlaku di ibu kota. - BRTNAMA