My Add

Tuesday 31 July 2012

Bayar saman trafik serta-merta dicadang

PUTRAJAYA, selasa, 31 Julai, 2012: Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam hari ini mencadangkan agar pengguna jalan raya yang dikenakan saman perlu membayar saman berkenaan pada masa yang sama ia dikeluarkan.

Pengerusinya Tun Zaki Azmi berkata jika pesalah berkenaan gagal berbuat demikian, kenderaan mereka dicadangkan agar ditahan pihak berkuasa terbabit.

Bagi kesalahan yang membabitkan kesalahan meletak kenderaan pula katanya, kenderaan berkenaan akan dikunci dan ditarik.

"Sehingga kini berjuta-juta saman seluruh negara yang tidak dibayar, tetapi hanya diketepikan sahaja seperti tak menghormati undang-undang negara. Jadi kita kena paksa dia hormat undang-undang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya khas berkenaan bersama agensi-agensi penguatkuasaan pengangkutan jalan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Kuantan dan Majlis Bandaraya Kuching.

Zaki berkata antara jumlah tunggakan saman yang diketahui pada masa ini adalah RM5 juta bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), RM2.5 juta bagi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPPJ), RM5 juta untuk Majlis Bandaraya Kuching dan RM600,000 bagi Majlis Perbandaran Kuantan, tidak termasuk bagi PDRM.

Zaki berkata cadangan itu juga terpakai untuk semua agensi penguatkuasaan kesalahan jalan raya, dan untuk semua jenis kesalahan jalan raya termasuk tidak mematuhi had laju, melanggar lampu isyarat dan memotong di garisan berkembar, dan ia telah pun dilaksana di negara-negara lain termasuk Singapura dan London.

Beliau berkata soal membebankan pengguna jalan raya tidak timbul kerana yang perlu berbuat demikian hanya mereka yang melakukan kesalahan jalan raya. - BERNAMA

Mayat bayi lelaki ditemui di Taman Salak Jaya

KUALA LUMPUR, SE;ASA, 31 Julai, 2012: Mayat seorang bayi lelaki yang baharu dilahirkan dan cukup sifat ditemui di tepi sebuah longkang besar di Taman Salak Jaya di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata mayat itu ditemui kira-kira 10 pagi oleh orang awam yang lalu di kawasan itu. 


"Bayi tidak berpakaian itu masih mempunyai tali pusat dan ditemui dalam keadaan mengiring di tebing longkang itu," katanya ketika ditemui.

Mohan berkata, mayat bayi berkulit cerah itu dipercayai diletakkan di lokasi itu dalam tempoh 24 jam lalu dan bukan akibat dihanyutkan arus sungai berdekatan.

"Kami meminta sesiapa yang tahu atau melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan," katanya.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat. - BERNAMA

Majikan dinasihat periksa ijazah pekerja

PETALING JAYA, SELASA, 31 Julai, 2012: Majikan dinasihat membuat pemeriksaan terhadap latar belakang bakal pekerja mereka bagi mengelak daripada mengambil kerja mereka yang memiliki ijazah palsu. 

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung, menegaskan terdapat laporan mengenai kes penjualan ijazah palsu termasuk yang dikeluarkan oleh universiti asing yang tidak wujud serta ijazah palsu yang kononnya dikeluarkan oleh universiti tempatan. 

"Saya nasihatkan majikan supaya melakukan pemeriksaan terhadap latar belakang pekerja jika mempunyai alasan kukuh yang mereka mungkin memiliki ijazah palsu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Bandar Sunway di sini hari ini. 

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Unit Perhubungan Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Abdullah, berkata universiti itu sentiasa menjalin hubungan baik dengan majikan. 

"Terdapat majikan yang menghubungi kami untuk mendapatkan maklumat mengenai bakal pekerja mereka tetapi kebanyakannya ialah syarikat Singapura. Syarikat tempatan ada berbuat demikian tetapi tidak banyak," katanya. 

Katanya, majikan boleh menghubunginya di talian 04-6532193 atau menerusi e-mel di pro@usm.my untuk bertanyakan mengenai ketulenan ijazah yang dikeluarkan oleh universiti. 

Mohamad berkata, proses pengesahan akan mengambil masa kurang seminggu. - BERNAMA

Pengurus ladang getah maut ditembak

KOTA BHARU, SELASA, 31 Julai, 2012: Seorang pengurus ladang getah mati ditembak di luar rumah kongsi yang didiaminya di Ladang Gemang 5, Jeli, awal hari ini. 

Mayat Tuan Asmadi Tuan Ya, 38, ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh empat Orang Asli yang bekerja di ladang itu pada jam 1 pagi. 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata dalam kejadian antara 11.30 malam dan 12 tengah malam itu, mangsa maut selepas tembakan yang dilepaskan seorang suspek mengenai bawah mata sebelah kiri hingga menembusi ke belakang kepalanya. 

"Ketika kejadian, mangsa bersama isteri kedua dan seorang anaknya berada di rumah kongsi berkenaan. Ketika mangsa keluar mahu mengambil telefon di luar rumah, isteri mangsa yang berada dalam bilik terdengar satu bunyi letupan. 

"Selepas keluar daripada bilik dan melihat suaminya terbaring berlumuran darah, isteri mangsa bersama anaknya yang ketakutan terus melarikan diri untuk bersembunyi dalam hutan sehingga empat pekerja mereka pulang ke rumah kongsi itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini. 

Jalaluddin berkata, polis menerima aduan berhubung kes itu daripada abang ipar mangsa pada 3.15 pagi berikutan kesukaran mendapatkan talian telefon bimbit serta ladang berkenaan yang terletak kira-kira lima kilometer daripada jalan besar. 

"Hasil siasatan turut menjumpai satu kelongsong peluru yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa dalam semak berhampiran rumah kongsi itu. Tembakan itu juga menembusi tiga buah bilik rumah kongsi berkenaan. 

"Setakat ini, kami mengenalpasti dua suspek rakyat tempatan dan usaha mengesan mereka terus dijalankan. Kami percaya mangsa turut mengenali kedua-dua suspek," katanya. 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi bilik gerakan IPK Kelantan di talian 09-7450999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Waran tangkap terhadap lelaki menyamar pegawai

TAWAU, SELASA, 31 Julai, 2012: Polis mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun selepas dia gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan menipu warga emas. 

Lelaki itu didakwa menyamar kakitangan Jabatan Kebajikan untuk menawarkan khidmat membantu orang tua memperoleh bantuan kebajikan.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin, berkata suspek, Basri Saifudin, yang berasal dari Kampung Berungis, Tuaran, sepatutnya hadir ke mahkamah di sini pada 19 Julai lalu bagi menghadapi tuduhan berkenaan. 

Katanya, Saifudin dan beberapa lagi rakannya yang masih bebas disyaki terbabit dalam tujuh kes memperdaya warga tua. 

"Ada tujuh kes seperti itu dilaporkan sejak awal tahun ini. Mangsa-mangsanya ialah warga tua berumur antara 60-an hingga 70-an tahun. Kerugian yang dialami tujuh mangsa itu ialah antara RM15,000 hingga RM20,000," katanya kepada pemberita di sini. 

Warga tua yang mahukan bantuan daripada kumpulan itu diminta menyerahkan barangan berharga seperti emas dan telefon bimbit kononnya untuk digunakan dalam proses permohonan bantuan itu nanti. 

Bagaimanapun, selepas memperoleh barangan itu, kumpulan itu terus menghilangkan diri. - BERNAMA

Hafiz AF disaman bekas pengurus pentas

                             Hafiz AF 
KUALA , SELASA, 31 Julai, 2012: Hafiz AF yang popular dengan lagu 'Awan Nano' hari ini disaman bekas pengurus pentas sebuah rancangan hiburan di Astro atas dakwaan menyebabkan kecederaan kepadanya.

Nur Haniza Mohd Azhar, 25, selaku plaintif menamakan Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 22, yang juga juara Akademi Fantasia ke-7, sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi lebih RM200,000.

Beliau memfail saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di sini, menerusi Tetuan Boestamam Ahmad & Co.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nur Haniza mendakwa beliau didatangi Mohd Hafiz yang menepuk bahunya dari belakang dan menyatakan hasrat untuk berjumpa dengannya secara paksa ketika beliau menjalankan tugas sebagai pengurus pentas untuk rancangan Salih Yaacob Show di Studio Filem Negara pada 3.15 petang, 17 Mei tahun lepas.

*Nur Haniza Mohd Azhar, 25, menunjukkan pernyataan tuntutannya terhadap penyanyi Mohd Hafiz Mohd Suip atau lebih dikenali Hafiz AF. - Foto BERNAMA

Nur Haniza mendakwa beliau menolak pelawaan itu dengan baik kerana sedang sibuk melakukan tugasannya tetapi beliau tetap didesak Mohd Hafiz untuk berbincang mengenai suatu perkara.

Nur Haniza, yang kini bekerja sebagai penasihat jualan di syarikat permotoran, mendakwa ketika beliau menuruni tangga studio untuk meneruskan tugasnya, Mohd Hafiz bertindak agresif dengan menolaknya sehingga terjatuh ke bawah dan tersungkur di hadapan rakan sekerjanya.

Beliau mendakwa tindakan Mohd Hafiz itu menyebabkannya mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan beliau juga mendakwa penyanyi itu tidak membantunya.

Nur Haniza mendakwa beliau telah menyerahkan notis tuntutan bertarikh 25 Jun lepas supaya Mohd Hafiz memohon maaf dan membayar ganti rugi tetapi Mohd Hafiz menafikan ada mencederakannya.

Nur Haniza mendakwa akibat kejadian itu, beliau kini masih merasa sakit pada

bahagian kaki kanannya akibat kecederaan yang dialami dan hilang mata pencarian kerana disenarai hitam daripada bekerja untuk rancangan terbitan Astro serta terpaksa menanggung malu selepas kejadian itu yang turut disiarkan media.

Oleh itu, Nur Haniza menuntut gantirugi am, gantirugi khas, gantirugi teruk, gantirugi kehilangan aminiti, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA 


Sambutan Hari Pahlawan 2012

*Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan memeriksa barisan kawalan kehormat pada Majlis Istiadat sambutan Hari Pahlawan 2012 di Dataran Merdeka, hari ini. - Foto Bernama
*Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga, kiri) menyambut ketibaan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang berkenan hadir pada Majlis Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2012 di Dataran Merdeka, hari ini. - Foto Bernama






CUEPACS harap bonus khas untuk pesara KWSP

PUTRAJAYA, SELASA, 31 Julai, 2012: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, berharap agar Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan turut dipanjangkan kepada pesara yang memilih untuk mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Beliau berkata, pada masa ini bayaran berkenaan hanya diberi kepada pesara kerajaan yang memilih opsyen pencen, dan kira-kira 300,000 pesara yang memilih opsyen KWSP ini tidak pernah menerima apa-apa imbuhan daripada kerajaan selepas tamat perkhidmatan.

"Ramai yang menelefon saya meminta saya membuat rayuan kepada kerajaan agar mereka juga dapat menerima bayaran ini. 

"Jadi kalau boleh sekali ini kita minta jasa baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk turut memberikan mereka bayaran khas ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. 

Omar berkata, kerajaan turut diminta mempertimbangkan untuk memberi bayaran berkenaan kepada tentera yang berkhidmat 18 tahun ke bawah yang tidak mempunyai pencen, agar mereka tidak merasa tersisih. 

Najib, semasa mengumumkan pembayaran bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam Rabu lalu turut mengumumkan pemberian Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan. 

Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan. - BERNAMA

Keadaan berjerebu di P Pinang bertambah buruk

GEORGE TOWN, SELASA, 31 Julai, 2012: Keadaan berjerebu yang dikesan di beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak semalam dan menjadi bertambah buruk hari ini, adalah berpunca dari aktiviti pembakaran terbuka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh berkata, Pulau Pinang dilanda jerebu tahap sederhana dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sekitar 69 hingga 84 hari ini.

Katanya, bacaan IPU di kawasan Seberang Jaya mencatat 83 pada pukul 7 pagi dan meningkat kepada 84 pada pukul 11 pagi dengan jarak ketampakan dua kilometer.

"IPU di Perai pula mencatatkan bacaan 68 pada pukul 7 pagi dan 72 pada pukul 11 pagi, di USM, 69 pada pukul 7 pagi dan 72 pada pukul 11 pagi, masing-masing merekodkan jarak ketampakan lima dan empat kilometer,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan pihak Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang telah mengadakan perbincangan semalam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan pembakaran terbuka. – BERNAMA


RISDA berhasrat ikut jejak FELDA

 Rahim Tamby Chik

ALOR GAJAH SELASA, 31 Julai, 2012: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berhasrat mengikut jejak Felda Global Ventures Holdings (FGVH) untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Pengerusi Risda Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata pihaknya sedang melakukan kajian berhubung kaedah terbaik bagi tujuan itu.

"Risda berbeza dengan Felda kerana tanah ladang dimiliki pekebun sendiri, dan perancangan ini bergantung kepada kelulusan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dividen peserta Rancangan Tanaman Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersil (TSK) negeri Melaka di Masjid Tanah di sini.

Seramai 2,113 peserta di seluruh negeri itu menerima dividen keseluruhan berjumlah RM26.98 juta.

Rahim berkata bagi tempoh terdekat, Risda bercadang mewujudkan unit amanah melalui Risda Holdings bagi menjaga kepentingan dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta kakitangan Risda.

Sementara itu, menurutnya, Risda menjangkakan pengagihan dividen kepada peserta RTBB dan TSK di seluruh negara akan diselesaikan sebelum Aidilfitri. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lepas mengumumkan pembayaran dividen berjumlah RM314.6 juta kepada 39,306 peserta RTBB dan TSK bagi tahun 2011. - BERNAMA

Kualiti udara di Pelabuhan Klang tidak sihat

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Julai, 2012: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Pelabuhan Klang, Selangor hari ini dicatatkan tidak sihat sejak awal pagi tadi dengan ukuran IPU pada 116, jam 7 pagi tadi. 

Laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS), menunjukkan bacaan IPU lebih rendah di kawasan sama pada jam 11 pagi dengan ukuran IPU pada 105. 
Semalam, Pelabuhan Klang turut mencatatkan ukuran IPU tidak sihat pada 118, jam 11 pagi sebelum ia meningkatkan kepada 122 pada jam 5 pagi. - BH ONLINE


Bayar saman trafik serta-merta dicadang

PUTRAJAYA, SELASA, 31 Julai, 2012: Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam hari ini mencadangkan agar pengguna jalan raya yang dikenakan saman perlu membayar saman berkenaan pada masa yang sama ia dikeluarkan.

Pengerusinya Tun Zaki Azmi berkata jika pesalah berkenaan gagal berbuat demikian, kenderaan mereka dicadangkan agar ditahan pihak berkuasa terbabit.

Bagi kesalahan yang membabitkan kesalahan meletak kenderaan pula katanya, kenderaan berkenaan akan dikunci dan ditarik.

"Sehingga kini berjuta-juta saman seluruh negara yang tidak dibayar, tetapi hanya diketepikan sahaja seperti tak menghormati undang-undang negara. Jadi kita kena paksa dia hormat undang-undang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya khas berkenaan bersama agensi-agensi penguatkuasaan pengangkutan jalan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Kuantan dan Majlis Bandaraya Kuching.

Zaki berkata antara jumlah tunggakan saman yang diketahui pada masa ini adalah RM5 juta bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), RM2.5 juta bagi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPPJ), RM5 juta untuk Majlis Bandaraya Kuching dan RM600,000 bagi Majlis Perbandaran Kuantan, tidak termasuk bagi PDRM.

Zaki berkata cadangan itu juga terpakai untuk semua agensi penguatkuasaan kesalahan jalan raya, dan untuk semua jenis kesalahan jalan raya termasuk tidak mematuhi had laju, melanggar lampu isyarat dan memotong di garisan berkembar, dan ia telah pun dilaksana di negara-negara lain termasuk Singapura dan London.

Beliau berkata soal membebankan pengguna jalan raya tidak timbul kerana yang perlu berbuat demikian hanya mereka yang melakukan kesalahan jalan raya. - BERNAMA

Agong perkenan batal pelantikan Lajim

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Julai, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan membatalkan pelantikan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkuatkuasa serta-merta.

Demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini. - BERNAMA

Suaram tidak ditubuh ikut Akta Perniagaan atau Akta Syarikat

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Julai, 2012: Suara Rakyat Malaysia (Suaram), yang dikaitkan dengan Suara Inisiatif Sdn Bhd, tidak ditubuhkan sama ada di bawah Akta Perniagaan 1956 atau Akta Syarikat 1965, demikian menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Mohd Naim Daruwish berkata, berdasarkan rekod suruhanjaya itu, Suara Inisiatif ditubuhkan sebagai syarikat perbadanan pada 24 Okt 2001 dan dianggotai dua pengarah berdaftar iaitu Kua Kia Soong dan Yeoh Seng Gua.

"Deskripsi perniagaan yang direkodkan adalah penganjuran kempen untuk hak asasi manusia dan lain-lain aktiviti berkaitan, manakala pemegang saham syarikat ini adalah dua individu tersebut dengan modal syer berbayar berjumlah RM2,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, SSM telah menyerahkan notis bertarikh 5 Julai 2012 di bawah Akta Syarikat 1965 kepada pihak syarikat dan menghendaki mereka mengemukakan penyata akaun dan dokumen-dokumen sokongan bagi tempoh empat tahun lepas untuk pemeriksaan rutin.

"Pemeriksaan akaun ini juga adalah untuk memastikan pihak syarikat mematuhi piawaian standard perakaunan yang diterima pakai bagi kategori syarikat tersebut,” katanya.

Mohd Naim berkata, pihaknya sedang meneliti semua dokumen yang telah dikemukakan oleh syarikat berkenaan kira-kira seminggu lepas sebelum sebarang rumusan dan penemuan pemeriksaan dapat dibuat.

Beliau menjelaskan bahawa sebagai badan kawal selia korporat, pemeriksaan sebegitu dijalankan secara rutin apabila aduan diterima atau berbangkitnya isu-isu. — BERNAMA


RM500 juta siapkan lebuh raya Hulu Terengganu-Hulu Besut

BESUT, SELASA, 31 Julai, 2012: Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM500 juta bagi pembinaan lebuh raya menyambungkan Hulu Terengganu dan Hulu Besut, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said. 

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya yang akan bermula tidak lama lagi itu menyambungkan Hulu Terengganu melalui Gunung Bongsu ke Keruak, Hulu Besut dan akan dilaksana secara berperingkat dengan pembinaan fasa pertama membabitkan jarak 40 kilometer dengan kos RM110 juta.

"Pelaksanaan projek lebuh raya yang upacara pecah tanahnya dilakukan pada tahun 2008 itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional mengotakan janji kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek bernilai RM1.4 juta kepada 287 isteri peneroka dan berbuka puasa di Felda Tenang, Hulu Besut di sini, semalam. 

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh, Ahli Dewan Undangan negeri Kawasan Hulu Besut Nawi Mohamad, wakil-wakil rakyat tempatan dan Pegawai Daerah Besut A Rahim Jusoh. 

Ahmad berkata, lebuh raya yang akan turut menyambungkan kawasan Terengganu dengan sempadan Kelantan di Gua Musang itu, dijangka siap dalam tempoh tiga atau empat tahun dari sekarang. 

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata pembinaan dua hospital baru di daerah Kemaman dan Dungun membabitkan perbelanjaan RM330 juta akan dimulakan akhir tahun ini. 

Hospital baru daerah Kemaman itu akan dibina di Kijal kerana kedudukan hospital yang ada sekarang tidak lagi sesuai dengan pembangunan setempat manakala Hospital Dungun pula akan dibangunkan ditapak asal, katanya. - BERNAMA

JKKP Terengganu periksa keselamatan di sekolah

KUALA TERENGGANU, SELASA, 31 Julai, 2012: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu kini giat menjalankan pemeriksaan di semua 481 sekolah di negeri ini bagi memastikan aspek keselamatan di sekolah mematuhi piawaian yang ditetapkan Kementerian Sumber Manusia. 

"Audit JKKP ini dijalankan bermula di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pelajaran Daerah dan seterusnya ke sekolah-sekolah mengikut jadual yang ditetapkan," kata Pengarah JKKP negeri Kornain Mohd Nor. 

Program Kesedaran KKP di sekolah yang dimulakan sejak tahun 1991 oleh Kementerian Pelajaran, bertujuan memastikan persekitaran sekolah selamat dan ceria bagi melancarkan proses pembelajaran. 

Kornain berharap pengurusan sekolah lebih prihatin terhadap aspek keselamatan di sekolah bagi mengelak sebarang kemalangan yang membahayakan guru dan pelajar. 

Kes kemalangan amat merugikan kerana wang yang dikeluarkan bagi menanggung kos rawatan dan bayaran pampasan adalah lebih tinggi berbanding kos penyelenggaraan keselamatan di sekolah, katanya. 

"Penaksiran risiko kemalangan yang boleh berlaku di sekolah juga perlu diambil perhatian oleh pengurusan sekolah supaya langkah pencegahan dapat diambil lebih awal," katanya. 

Bulan lalu semua 481 pengetua dan Guru Besar di Terengganu menghadiri Program Kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan di sekolah anjuran Kementerian Sumber Manusia, JPNT, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH). - BERNAMA

Suara Inisiatif didaftar sebagai syarikat perbadanan: SSM

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Julai, 2012:: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) yang dikaitkan dengan Suara Inisiatif Sdn Bhd, tidak ditubuhkan sama ada di bawah Akta Perniagaan 1956 atau Akta Syarikat 1965, demikian menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Mohd Naim Daruwish, berkata berdasarkan rekod suruhanjaya itu, Suara Inisiatif ditubuhkan sebagai syarikat perbadanan pada 24 Oktober 2001 dan dianggotai dua pengarah berdaftar iaitu Kua Kia Soong dan Yeoh Seng Gua.

"Deskripsi perniagaan yang direkodkan adalah penganjuran kempen untuk hak asasi manusia dan lain-lain aktiviti berkaitan, manakala pemegang saham syarikat ini adalah dua individu tersebut dengan modal syer berbayar berjumlah RM2," katanya dalam kenyataan di sini. 

Beliau berkata, SSM sudah menyerahkan notis bertarikh 5 Julai 2012 di bawah Akta Syarikat 1965 kepada pihak syarikat dan menghendaki mereka mengemukakan penyata akaun dan dokumen-dokumen sokongan bagi tempoh empat tahun lalu untuk pemeriksaan rutin. 

"Pemeriksaan akaun ini juga adalah untuk memastikan pihak syarikat mematuhi piawaian standard perakaunan yang diterima pakai bagi kategori syarikat tersebut," katanya. 

Mohd Naim berkata, pihaknya sedang meneliti semua dokumen yang sudah dikemukakan oleh syarikat berkenaan kira-kira seminggu lalu sebelum sebarang rumusan dan penemuan pemeriksaan dapat dibuat. 

Beliau menjelaskan bahawa sebagai badan kawal selia korporat, pemeriksaan sebegitu dijalankan secara rutin apabila aduan diterima atau berbangkitnya isu-isu. - BERNAMA

Pembayan pencen Perkeso pada 14 Ogos

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Julai, 2012: Pembayaran pencen kepada penerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima pada 14 Ogos sempena sambutan Aidilfitri.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk K. Selvarajah berkata, bagi penerima yang menerima bayaran melalui waran, mereka boleh tunaikannya pada tarikh sama.

Sekiranya penerima belum menerima sebarang bayaran pada tarikh itu, mereka dinasihatkan menghubungi Unit Waran, Bahagian Perbendaharaan Ibu Pejabat Perkeso di talian 03-42645242/5244/5260/5261/5262/5272/5237/5515, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. — BERNAMA


Kartunis Zunar menang kes saman kerajaan

  Zunar
KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Julai, 2012: Kartunis politik Zulkiflee SM Anwar atau dikenali sebagai Zunar, hari ini menang kes saman ke atas kerajaan dan empat yang lain berhubung tindakan pihak berkuasa merampas 66 buku dan satu lukisannya dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan permohonan Zunar.

Pada 15 Jun tahun lalu, Zunar memfailkan saman sivil ke atas kerajaan Malaysia dan empat defenden berhubung penangkapannya dan rampasan terhadap 66 buku Cartoon-O-Phobia serta sebuah lukisan kolaj pada 2010.

Beliau menamakan pegawai yang menahannya ASP Arikrishna Apparau, pegawai penyiasat ASP Marina Hashim, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dipetik oleh The Star hari ini, Zunar berkata, keputusan mahkamah hari ini sebahagian kemenangan bagi kesemua kartunis politik memandangkan Vazeer memutuskan bahawa tindakan menahan buku-buku berkenaan adalah sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang, tetapi penahanan Zunar adalah sah pada waktu itu.

Dalam pada itu, salah seorang peguam Zunar, N. Surendran berkata, kemenangan ini membuktikan kerajaan tidak munasabah dengan merampas dan menyimpan koleksi buku kartun beliau selama lebih dua tahun.

“Kami terima baik keputusan mahkamah. Itu jelas menunjukkan kerajaan berniat jahat sebelum ini berhubung penangkapan dan rampasan buku sewaktu Zunar sedang melancarkannya.

“Mereka cuba menghentikan karya Zunar yang mengandungi kritikan terhadap kerajaan,” kata Surendran.

Zunar turut diwakili oleh Fadiah Nadwa Fikri.

Dipetik Keadilan Daily, Surendran berkata, rayuan akan dibuat berhubung keputusan mahkamah yang memutuskan penangkapan Zunar adalah sah. - SINAR HARIAN

Pelajar maut motosikal langgar kereta

KUANTAN, SELASA, 31 Julai, 2012:: Seorang pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah di sini maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Felda Lepar Hilir 4 dekat sini malam tadi. 

Muhammad Amirul Ermey Anuar, 17, dari Felda Lepar Hilir 4, Gambang mati ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gambang.

Pegawai Turus Trafik Pahang, DSP Mohd Rizal Abdullah, berkata dalam kejadian 11.30 malam itu pemandu kereta terbabit yang datang dari arah Felda Hilir 4 sedang membelok ke kanan untuk masuk ke rumahnya. 

"Ketika membelok ke simpang kanan, keretanya dirempuh motosikal yang ditunggangi mangsa yang datang dari arah bertentangan. 

"Berdasarkan siasatan awal, motosikal mangsa tiada lampu dan kawasan itu juga agak gelap," katanya di sini hari ini. 

Mohd Rizal berkata, mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gambang untuk rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan pada 1.30 pagi tadi. 

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - BERNAMA

Dadah: Nelayan terlepas hukuman gantung

ALOR SETAR, SELASA, 31 Julai, 2012: Seorang nelayan terlepas hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu terhadap Abd Kadir Ismail, 35, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan mengedar dadah.

Abd Kadir bagaimanapun dijatuhi hukuman penjara 16 bulan kerana kesalahan memiliki dadah tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama itu, Abd Kadir didakwa mengedar 7.2 gram dadah jenis heroin dan 8.96g monoacetylmorphine di dalam bot ikan bernombor KHF150 di tebing Sungai Kuala Sala, Yan pada 8 Mac 2011 kira-kira pukul 12 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntuk hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki heroin seberat 0.29g dan 0.22g monoacetylmorphine pada tarikh, tempat dan masa yang sama. Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu. — BERNAMA

Tiga lelaki disyaki pengedar dadah diberkas

KUANTAN, SELASA, 31 Julai, 2012: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang rakyat asing yang disyaki terbabit dalam pengedaran dadah dalam dua serbuan di Pahang.

Semua suspek berusia 35 hingga 45 tahun itu kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt Yap Toon Khuan berkata, polis menahan dua lelaki berusia 35 dan 45 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Chemomoi, Triang dekat Bera Sabtu lepas.

"Dalam serbuan pada pukul 6.45 pagi itu, polis menemui dadah jenis heroin seberat 20 gram bernilai RM3,000, syabu seberat 2.7 gram bernilai RM1,500 dan tiga biji pil eramin 5 bernilai RM45,” katanya di sini, hari ini.

Toon Khuan berkata, seorang lelaki Myanmar berusia 36 tahun pula ditahan di tepi Jalan Haji Ahmad di sini, pada 2.40 petang Ahad lepas.

"Hasil pemeriksaan terhadap lelaki yang bekerja sebagai nelayan itu, polis menemui dua paket dadah jenis heroin seberat 31 gram bernilai RM4,650 di dalam poket seluar suspek,” katanya. – BERNAMA


TEKUN Nasional lahir 220,000 usahawan

KUBANG PASU, SELASA, 31 Julai, 2012: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah berjaya melahirkan 220,000 usahawan dengan dana pinjaman sebanyak RM2.2 bilion sejak penubuhannya kira-kira 14 tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, jumlah tersebut dijangka terus meningkat memandangkan dana pinjaman sebanyak RM300 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan pada tahun ini telah habis diagihkan kepada kira-kira 30,000 usahawan.

"Lebihan sebanyak RM191 juta yang dikeluarkan sebagai pinjaman itu adalah hasil daripada bayaran balik daripada peminjam.

``Kami berharap pada tahun ini mereka dapat membayar mengikut jadual ditetapkan kerana ia penting kepada usahawan-usahawan baru," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan TEKUN Nasional di sini hari ini. - UTUSAN

AES mula dilaksanakan 12 Ogos

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Julai, 2012: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengesan pemandu yang memandu melebihi had laju akan mula dilaksanakan di seluruh negara 12 Ogos ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, AES kini dalam proses percubaan dan menjelang sambutan perayaan Aidilfitri nanti, sistem tersebut akan digunakan sepenuhnya sebagai langkah penguatkuasaan.

Jelasnya, AES menggunakan kamera berteknologi tinggi bukan sahaja bagi mengesan pemandu laju, tetapi juga bagi mengesan pemandu yang melanggar lampu isyarat. - UTUSAN

Perkauman: Serena sokong singkir Morganella

LONDON, SELASA, 31 Julai, 2012: Juara Wimbledon, Serena Williams menyokong tindakan menyingkir pemain bola sepak Switzerland, Michel Morganella daripada Olimpik kerana menghina dan mengeluarkan kata-kata perkauman terhadap pasukan bola sepak Korea Selatan.

Morganella dihantar pulang kerana bertindak mengeluarkan kenyataan perkauman di laman sosial Twitter selepas kekalahan pasukan negaranya, 1-2 dalam perlawanan menentang pasukan Asia tersebut.

Beliau menulis, `I am going to batter the Koreans, burn them all...bunch of trisos` sebelum kenyataan tersebut dipadam tidak lama kemudian.

Trisos merupakan dialek Perancis yang merujuk seseorang individu itu dilahirkan dengan penyakit down syndrome.

“Jawatankuasa Olimpik Switzerland melakukan tindakan tepat dengan menghukum Morganella bagi menunjukkan sifat perkauman tidak diterima di sini.

“Saya rasa itu tindakan yang sewajarnya diambil jika seseorang bertindak menghina pihak lain dengan kata-kata perkauman," kata Serena setelah memenangi acara perseorangan dan beregu wanita.

Beliau turut berkata akan sentiasa berhati-hati dengan penggunaan laman sosial kerana tidak mahu perkara sedemikian berlaku kepadanya.

“Hati saya pasti hancur jika disingkir keluar daripada temasya ini," tambahnya. - AFP

Olimpik: Pelajar sekolah 15 tahun raih emas

LONDON, SELASA, 31 Julai, 2012: Ruta Meilutyte melakar sejarah muncul perenang termuda merangkul pingat emas acara renang Sukan Olimpik dalam tempoh 40 tahun apabila menjuarai saingan 100 meter kuak dada wanita pada usia 15 tahun, awal pagi tadi.

Malah, kemenangan pelajar sekolah dari Plymouth itu turut menghadiahkan pingat pertama buat Lithuania dalam acara renang pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Tambah manis lagi, Meilutyte berjaya mengetepikan cabaran juara dunia dua kali dan pilihan utama dari Amerika Syarikat, Rebecca Soni untuk muncul perenang pertama merangkul emas pada usia seawal 15 tahun selepas jaguh Australia, Shane Gould melakukannya pada Sukan Olimpik 1972. - AFP

UMNO beri masa 14 hari kepada Lajim Ukin

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012; UMNO memberi tempoh 14 hari kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin menjawab surat tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dipecat daripada parti ekoran tindakannya melepaskan semua jawatan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabtu lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansorberkata, surat tunjuk sebab itu bagi membolehkan UMNO mempertimbangkan tindakan seterusnya yang boleh diambil terhadap Lajim seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan parti.

"Perlembagaan UMNO Fasal 20.8 telah menetapkan semua ahlinya hendaklah cintakan parti serta patuh kepada Perlembagaan dan Tataetika Ahli selain sentiasa memelihara nama baik dan maruah parti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Lajim yang meletak jawatan politik dalam UMNO dan BN, namun masih belum membuat keputusan untuk keluar daripada parti itu atau melepaskan jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. - UTUSAN

Pasukan Petugas Khas dibentuk

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi memantau perkembangan serta pembangunan pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) sehingga ia siap dan beroperasi.

Perdana Menteri berkata, pasukan itu akan diketuai Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sementara ahli-ahlinya pula, kata beliau, akan dianggotai oleh para pegawai kanan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta beberapa agensi lain.

Menurutnya, penubuhan pasukan petugas khas itu bertujuan memastikan TRX mendapat perhatian kerajaan yang sewajarnya bermula daripada peringkat perancangan dan pembangunan, sehingga ia memulakan operasi kelak.

"Kerajaan akan memastikan TRX merupakan satu kejayaan dan sebagai langkah permulaan, saya memberi jaminan akan melakukan kajian menyeluruh mengenai peraturan perniagaan.

"Logik di sebalik kajian ini adalah mudah, sebarang perkara yang menyumbang kepada pembangunan akan dikekalkan sementara perkara yang lapuk akan dihapuskan," katanya ketika berucap merasmikan TRX di sini hari ini.

TRX sebelum pelancarannya hari ini dikenali sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD).

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga menawarkan beberapa insentif tambahan kepada para pelabur yang berminat beroperasi di TRX seperti 100 peratus pelepasan cukai pendapatan selama 10 tahun dan pengecualian duti setem ke atas pinjaman serta perjanjian perkhidmatan.

"Kerajaan mempunyai komitmen yang teguh bagi mewujudkan sebuah pusat kewangan yang besar, bertenaga serta berjaya di Kuala Lumpur dan dengan bantuan Bank Negara Malaysia, TRX akan memainkan peranan utama untuk mengubah bandar raya ini menjadi pusat kewangan antarabangsa," katanya. - UTUSAN

* TRX tarik FDI lebih RM3.5 bilion

*NAJIB Tun Razak tertarik melihat replika pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Lodin Wok Kamaruddin (tiga dari kiri), Nor Mohamed Yakcop (tiga dari kanan) dan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (dua dari kanan).
Oleh AZMAN IBRAHIM
KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Daerah kewangan antarabangsa Kuala Lumpur, Tun Razak Exchange (TRX) yang dilancarkan secara rasmi di sini hari ini dijangka menarik pelaburan langsung asing (FDI) melebihi RM3.5 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terdapat pelabur strategik yang boleh membawa masuk lebih FDI ke TRX dan butiran terperincinya akan diumumkan September nanti.

Menurutnya, terdapat rakan pelabur antarabangsa yang menjadi penggerak permulaan untuk mengembangkan ekosistem di pusat kewangan itu dan seterusnya menyokong infrastruktur kewangan di TRX.

"Saya amat gembira mengumumkan bahawa kita telah mendapat rakan pelabur untuk keseluruhan fasa pertama TRX," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran TRX di sini hari ini.

TRX sebelum ini dikenali sebagai Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD).

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Pengerusi 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Tambah Najib, kerajaan berharap dapat melihat pembangunan kewangan Islam iaitu sektor dengan potensi tanpa had melalui TRX.

Katanya, dengan nilai hanya AS$5 bilion (RM15 bilion) pada 1985, sektor kewangan Islam kini bernilai melebihi AS$1 trilion (RM3 trilion).

Menurut Perdana Menteri, sektor kewangan Islam di Malaysia kini bernilai lebih AS$400 bilion (RM1.2 trilion) dan ia dijangka meningkat tiga kali ganda dari segi nilai pada dekad akan datang.

"Saya amat komited untuk melakukan apa sahaja termampu untuk menjadikan ia lebih senang kepada para pelabur menyertai pasaran-pasaran kewangan Islam di Malaysia.

"Ia juga akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat global untuk kewangan Islam,'' ujarnya. - UTUSAN

Keluarga mahu tahu punca sebenar kematian Syaleza

*JAFFAR Bakri bersama isterinya, Rohani Aris dan anak bongsunya Mohamad Afiq menabur bunga di pusara Syaleza di Felda Redong, Segamat, Johor, semalam. - UTUSAN/MOHAMED SA'ARI

SEGAMAT, ISNIN, 30 Julai, 2012: Keluarga Eksekutif Pentadbiran TV9, Syaleza Jaffar, 31, yang ditemui mati di dalam bilik rumahnya di Apartmen Saujana Damansara Damai, Petaling Jaya kelmarin reda dan menganggap kejadian itu sebagai ketentuan Ilahi, namun mahu punca sebenar kematiannya disiasat.

Bapa mangsa, Jaffar Bakri, 60, berkata, keluarganya yang masih diselubungi perasaan sedih dan terkilan kerana punca dan cerita sebenar mengenai kematian mengejut anak keduanya itu masih belum jelas.

"Saya reda dengan ketentuan-Nya yang mahu anak saya pergi dahulu, namun saya terkilan kerana punca dan cerita sebenar meragut nyawanya masih belum jelas hingga kini. - UTUSAN

Polis tahan suami eksekutif TV9

  SUSPEK
Oleh ABDUL YAZID ALIA
SHAH ALAM, ISNIN, 30 Julai, 2012: Polis menahan suami kepada Eksekutif Pentadbiran TV9, Syaleza Jaffar, 31, bagi membantu siasatan kes kematian wanita itu yang mayatnya dikatakan ditemui tergantung di dalam biliknya di Apartmen Saujana, Petaling Jaya, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suami mangsa yang berusia 31 tahun itu ditahan di Segamat, Johor kira-kira pukul 10.15 malam bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan terhadap kes tersebut.

Katanya, pihaknya mengklasifikasikan kes kematian Syaleza di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Kita sudah buat penahanan (suami Syaleza) di Segamat, Johor dan kita bawa beliau ke sini (Selangor). Kita cuma tahan untuk siasatan lanjut dan reman seminggu bermula hari ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini. - UTUSAN

Jawi kemuka bantahan

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini membantah permohonan Berjaya Books Sdn. Bhd. untuk menangguhkan tindakan lanjut oleh pihaknya berhubung rampasan buku karya penulis kontroversi, Irshad Manji di premisnya di Mid Valley di sini.

Bantahan itu dikemukakan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Effandi Nazila Abdullah ketika berhujah di kamar Hakim Datuk Rohana Yusuf di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, Effandi berkata, Jawi mengemukakan bantahan atas alasan permohonan tersebut mencampuri urusan Mahkamah Syariah selain Mahkamah Tinggi tidak berdepan dengan keadaan istimewa untuk membenarkan penangguhan.

Pada 25 Julai lalu, Pengurus Besar (Operasi dan Pembarangan) syarikat berkenaan, Stephen Fung Wye Keong dan Pengurus Stor di kedai Borders Mid Valley, Nik Rainan Nik Abdul Aziz selaku pemohon mengemukakan permohonan itu bagi menangguhkan tindakan lanjut Jawi. - UTUSAN

Inspektor mengaku tidak bersalah

*MOHD. Azuan Yasin diiringi seorang anggota polis keluar dari kamar Mahkamah Majistret Seremban, semalam, selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan memukul, mengugut dan memecah cermin kereta pada 17 Julai lalu.

Oleh NAZARUDIN SHAHARI 
SEREMBAN, ISNIN, 30 Julai, 2012: Seorang pegawai polis yang aksinya memukul pekerja hotel tersebar luas di laman web Youtube baru-baru ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam tuduhan termasuk mendatangkan kecederaan, mengugut dan memecahkan cermin kereta pada pertengahan bulan ini.

Inspektor Mohd. Azuan Yasin, 32, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 324, 506 dan 427 Kanun Keseksaan yang dibacakan kepadanya di hadapan tiga majistret berasingan.

Di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, dia dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan menakutkan Mohamed Nadzeem Zainal Larifin, 25, dengan objek keras berwarna hitam menyerupai pistol di ruang tamu Hotel S2 di sini kira-kira pukul 2.50 pagi, 17 Julai lalu. - UTUSAN

Kejatuhan harga minyak mentah tIDak jejas Bajet 2013

PETALING JAYA, ISNIN, 30 Julai, 2912: Kejatuhan harga minyak mentah di pasaran tidak akan menjejaskan peruntukan Bajet 2013 yang akan diumumkan September ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, negara hanya menggunakan kira-kira satu pertiga daripada hasil minyak untuk diperuntukan di dalam bajet tahun depan.

"Walaupun sumbangan hasil petroleum menyusut akibat penurunan harga di pasaran global namun ia tidak akan menjejaskan peruntukan bajet kali ini, masih ada sumber-sumber lain yang boleh diguna pakai," katanya selepas merasmikan kedai konsep francais pengantin, Adamas Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Pada Bajet 2012 yang lalu, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM232.8 bilion bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan. - UTUSAN

Pasukan Petugas Khas dibentuk

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi memantau perkembangan serta pembangunan pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) sehingga ia siap dan beroperasi.

Perdana Menteri berkata, pasukan itu akan diketuai Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sementara ahli-ahlinya pula, kata beliau, akan dianggotai oleh para pegawai kanan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta beberapa agensi lain.

Menurutnya, penubuhan pasukan petugas khas itu bertujuan memastikan TRX mendapat perhatian kerajaan yang sewajarnya bermula daripada peringkat perancangan dan pembangunan, sehingga ia memulakan operasi kelak.

"Kerajaan akan memastikan TRX merupakan satu kejayaan dan sebagai langkah permulaan, saya memberi jaminan akan melakukan kajian menyeluruh mengenai peraturan perniagaan.

"Logik di sebalik kajian ini adalah mudah, sebarang perkara yang menyumbang kepada pembangunan akan dikekalkan sementara perkara yang lapuk akan dihapuskan," katanya ketika berucap merasmikan TRX di sini hari ini.

TRX sebelum pelancarannya hari ini dikenali sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD).

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga menawarkan beberapa insentif tambahan kepada para pelabur yang berminat beroperasi di TRX seperti 100 peratus pelepasan cukai pendapatan selama 10 tahun dan pengecualian duti setem ke atas pinjaman serta perjanjian perkhidmatan.

"Kerajaan mempunyai komitmen yang teguh bagi mewujudkan sebuah pusat kewangan yang besar, bertenaga serta berjaya di Kuala Lumpur dan dengan bantuan Bank Negara Malaysia, TRX akan memainkan peranan utama untuk mengubah bandar raya ini menjadi pusat kewangan antarabangsa," katanya. - UTUSAN

Demonstrasi: Pakar UK, AS kongsi pengalaman

PUTRAJAYA, ISNIN, 30 Julai, 2012: Pakar keselamatan dari empat negara dipelawa menyertai rundingan meja bulat bagi berkongsi pengalaman menghadapi perhimpunan dan demonstrasi jalanan di negara masing-masing.

Pengerusi Panel Penasihat Bebas, Tun Mohammed Haniff Omar berkata, rundingan yang dijangka diadakan bulan depan itu akan disertai pakar dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Kanada dan Pakistan.

Katanya, pelawaan itu disampaikan melalui wakil-wakil suruhanjaya tinggi dan kedutaan negara berkenaan yang mengadakan perjumpaan dengan pihak panel pada hari ini.

“Mereka akan berusaha dapatkan pakar mengenai kawalan ke atas perhimpunan, protes dan perarakan masing-masing.

“Melalui rundingan itu nanti kita dapat mengetahui undang-undang, falsafah dan metodologi serta kelengkapan yang digunakan untuk mengawal orang ramai ketika demonstrasi berlangsung," katanya. - UTUSAN

Isu air Selangor harus ditangani segera - Kee Sin

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (SMI) Malaysia mendesak kerajaan negeri Selangor bertindak segera mengatasi masalah air yang berada di tahap membimbangkan agar ia tidak menjejaskan perniagaan mereka.

Presidennya, Teh Kee Sin berkata, ini kerana bukan sahaja rakyat yang terseksa dengan krisis air itu malah industri juga akan mengalami kesannya jika masalah tersebut tidak diselesaikan dengan segera.

"Kami amat risau dengan krisis air yang semakin hari dilapor membimbangkan.

"Air sangat penting terutamanya kepada syarikat industri kecil dan sederhana yang menggunakannya sebagai bahan mentah.

"Oleh itu, kami berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang wajar serta dapat mengkaji keperluan rakyat bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk jangka masa pendek dan panjang," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN

Dua pemandu maut, satu parah

Oleh Haniza Hassan
JOHOR BAHRU, ISNIN, 30 Julai, 2012: Dua pemandu maut manakala seorang wanita cedera parah apabila kenderaan mereka bertembung sesama sendiri di Kilometer 4.5 Jalan Labis, Yong Peng, dekat sini semalam.

Dalam kemalangan pukul 2.20 petang itu, mangsa yang maut ialah pemandu kereta Proton Wira, Jailani Yatim, 37, dan pemandu van, seorang warga Indonesia, Matekan Asrum, 43.

Wanita yang cedera parah pula ialah isteri Jailani, Wan Norhayati Wan Ahmad, 36.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Supritendan Din Ahmad berkata, siasatan mendapati Proton Wira itu dipercayai cuba memotong sebuah treler tetapi gagal lalu bertembung dengan van berkenaan.

"Jailani dan isterinya dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Maran, Pahang selepas selesai urusan di bandar raya ini. Akibat pertembungan itu, kereta Jailani terseret beberapa meter," tegasnya. - UTUSAN 

Adi Putra ditipu RM19,000 melalui pelaburan di Internet

KUALA LUMPUR, ISNIN 30 Julai , 2012: Pelakon terkenal kelahiran Singapura, Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim kerugian RM19,000 dipercayai selepas membuat pelaburan dalam satu perniagaan menerusi internet baru-baru ini.

Artis berusia 31 tahun itu berkongsi pelaburan bersama kakak iparnya dalam sebuah syarikat yang membekalkan sistem perisian sejak 5 Julai lalu.

Difahamkan, Adi telah memasukkan wang pelaburan tersebut ke dalam satu akaun milik seorang lelaki warga Afrika yang dipercayai mendakwa pemilik syarikat berkenaan.

Beliau dan kakak iparnya membuat pelaburan itu selepas tertarik dengan komisen yang ditawarkan syarikat berkenaan yang dikatakan mampu memperoleh keuntungan setiap bulan.

Namun, sehingga hari ini mereka tidak memperoleh sebarang komisen yang dijanjikan dan lebih malang, artis berkenaan gagal menghubungi lelaki warga asing itu setelah memasukkan sejumlah wang. - UTUSAN

Mercun bernilai RM180,000 dirampas

RANTAU PANJANG, ISNIN, 30 Julai, 2012: Cubaan pihak tertentu menyeludup pelbagai jenis mercun bernilai hampir RM180,000 dipercayai untuk dijual sempena Hari Raya Aidilfitri berjaya dipatahkan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan.

Kesemua barangan itu dirampas hasil penahanan dua buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kampung Pasung Hantu di sini awal pagi semalam.

Menurut Komander UPP Kelantan, Rusli Karim, sepasukan 15 anggotanya yang membuat intipan, telah mengesan dan mengekori dua kenderaan terbabit, keluar dari salah sebuah pangkalan haram.

Katanya, sebaik sahaja tiba di Kampung Pasung Hantu, pukul 5.15 pagi, kenderaan penguat kuasa memperkenalkan diri dan cuba menahan 4WD tersebut tetapi mereka bertindak memecutkan kenderaan dinaiki.

Kedua-dua 4WD itu bagaimanapun terbabas sebelum mereka yang dipercayai warga tempatan melarikan diri,katanya. - UTUSAN

RM70 juta bantu golongan miskin

Oleh OPAT RATTANACHOT
PADANG SERAI, ISNIN, 30 Julai, 2012: Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan RM70 juta untuk membantu lebih 200,000 golongan berpendapatan rendah menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma melalui program Siri Penjelajahan Kesejahteraan Keluarga Untuk Rakyat (Spekktra) sejak tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kei berkata, langkah berkenaan merupakan komitmen berterusan kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah menjaga kesihatan serta meningkatkan kualiti hidup.

Beliau berkata, antara langkah diambil adalah dengan mengadakan siri jelajah pemeriksaan kesihatan orang ramai melibatkan 200 kawasan komuniti di seluruh negara, setakat ini.

"Daripada jumlah itu, siri jelajah Spekktra telah memasuki 62 kampung baru, 38 ladang dan 100 lagi di kampung tradisional. Program ini dilengkapi dengan sebuah klinik kesihatan keluarga bergerak," katanya. - UTUSAN

Maklumat veteran ATM dalam 1 pangkalan data

KLUANG, ISNIN, 30 Julai, 2012: Maklumat lengkap mengenai veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka dapat dikumpulkan dalam satu pangkalan data menjelang hujung tahun ini bagi menjamin kebajikan golongan itu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, sistem itu dapat memberi maklumat lebih tepat mengenai golongan terbabit termasuk berapa ramai yang tidak berpencen dan berada di bawah paras kemiskinan.

Menurutnya, sistem itu akan menghubungkan data daripada pelbagai sumber termasuk Jabatan Rekod dan Pencen (JRP), Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

"Sebelum ini, data daripada sistem JHEV, JRP dan Perhebat tidak dihubungkan. Bagaimanapun, sekarang kita dalam proses menggunakan satu sistem yang boleh menyatukan semua sumber" ujarnya. - UTUSAN

Dong Zong dikutuk keras politikkan isu pendidikan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) mengugut kerajaan agar memenuhi tuntutan mereka untuk penubuhan sekolah tinggi bebas Cina di Kuantan baru-baru ini.

Pengerusi Biro Politik dan Governans MPM, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail (gambar) menegaskan, tindakan persatuan itu mempolitikkan isu pendidikan Cina demi kepentingan pembangkang sepatutnya tidak diendahkan kerana ia bertentangan dengan kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum sebelum kemerdekaan.

Sehubungan itu, katanya, persepsi yang cuba diwujudkan persatuan berkenaan seolah-olah pendidikan kaum Cina dipandang sepi kerajaan perlu ditangani tegas oleh semua pihak terutama kerajaan serta orang Melayu yang menyokong dasar integrasi kaum di negara ini. - UTUSAN

Banteras kebanjiran pusat urut

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Persatuan-persatuan pengguna mendakwa kebanjiran pusat-pusat urut dan hiburan di Selangor bukti kerajaan negeri itu tidak sensitif terhadap keselamatan dan keselesaan rakyat.

Berikutan itu, mereka mahu kerajaan negeri terbabit menjelaskan rasional tindakan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) meluluskan operasi pusat urut dan hiburan terutama yang bertumpu di kawasan-kawasan komersial berhampiran kediaman penduduk.

Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah (gambar) berkata, kebanjiran pusat urut dan hiburan di Selangor memberi gambaran bahawa kerajaan negeri tersebut menyokong industri berkenaan.

Jika andaian itu salah tegasnya, maka Selangor perlu membuktikannya dengan mengambil tindakan segera agar kebanjiran pelbagai jenis pusat hiburan yang bertumpu di negeri itu dapat dihentikan. - UTUSAN

PBT tiada kuasa tangani pusat judi

SHAH ALAM, ISNIN, 30 Julai, 2012: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tidak berupaya untuk mengambil tindakan tegas termasuk menyekat mana-mana pusat judi, urut atau pub daripada beroperasi secara haram.

Keadaan itu diakui sendiri oleh Exco Kerajaan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu (gambar) yang menyatakan masalah tersebut berpunca daripada bidang kuasa serta perundangan dimiliki oleh PBT adalah terbatas.

Katanya, bidang kuasa PBT untuk mengambil tindakan terhadap pusat urut, judi atau pub hanya boleh dilakukan ke atas premis berlesen sahaja dan bukannya premis beroperasi tanpa lesen.

"Jika ada premis beroperasi tanpa lesen, pihak polis boleh ambil tindakan, kita (kerajaan negeri) amat alu-alukan. Namun, untuk mengarahkan PBT mengambil tindakan terhadap premis seumpama itu, kita tidak ada kuasa," katanya. - UTUSAN

Titik panas meningkat, kualiti udara merosot

KUALA LUMPUR, ISNIN 30 Julai, 2012: Peningkatan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia sejak Khamis lepas menyebabkan kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya hari ini berkata, kawasan Pelabuhan Klang, Selangor berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 118 setakat 11 pagi tadi.

Sebanyak 16 kawasan berada pada tahap baik daripada 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS, manakala 31 lagi berada pada tahap sederhana.

Pengaruh angin monsun barat daya yang bertiup dari kawasan titik panas atau kawasan berlakunya pembakaran terbuka yang tidak terkawal di Sumatera, telah membawa pencemaran merentasi sempadan dan menyebabkan kemerosotan kualiti udara di kawasan pantai barat Semenanjung terutama di Pelabuhan Klang, kata kenyataan itu.

Selain meningkatkan penguatkuasaan terhadap pelepasan asap daripada kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri, JAS juga menegaskan larangan pembakaran terbuka bagi kawasan di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Tudan, Permai Jaya dan Kuala Baram di Miri, Sarawak yang dikeluarkan bulan lepas masih berkuat kuasa. – BERNAMA

Sebahagian selatan Thailand diselubung jerebu

BANGKOK, ISNIN, 30 Julai, 2012: Sebahagian daripada wilayah selatan Thailand dilanda jerebu sejak semalam.

Jarak penglihatan dilapor kurang baik di Pattani, Yala dan Narathiwat, sekali gus menjejaskan pergerakan di darat dan laut.

Ketua Pejabat Kesihatan Pattani, Dr Yong Jiratnakorn berkata, pihaknya bimbang dengan kesan jerebu terhadap kesihatan masyarakat.

Pusat Meteorologi Narathiwat melaporkan kebakaran hutan di Sumatera punca keadaan berjerebu di selatan Thailand sekarang. – BERNAMA

Pusat beli belah digalak guna polis bantuan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggalakkan kompleks beli belah di negara ini menggunakan khidmat polis bantuan bagi meningkatkan tahap keselamatan di premis masing-masing.

Timbalan Menterinya, Datuk Abu Seman Yusop berkata, kuasa polis bantuan yang tertakluk di bawah Akta Polis 1967 lebih berkesan dalam menjaga keselamatan awam berbanding pengawal keselamatan biasa.

"Polis bantuan mempunyai kuasa yang lebih untuk menahan dan menyoal siasat individu yang disyaki sebelum diserah kepada polis berbanding pengawal keselamatan yang hanya boleh melakukan ”citizen”s arrest”,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra lebih sejam di pusat beli belah Mid Valley Megamall di sini hari ini.

Abu Seman berkata, hanya warga Malaysia boleh menjadi anggota polis bantuan dan pusat beli belah yang berminat untuk menubuhkan unit polis bantuan boleh membuat permohonan kepada KDN.

Beliau berkata, Kuala Lumpur City Centre sudah lama menggunakan khidmat polis bantuan, manakala unit polis bantuan untuk gedung Pavilion akan tamat latihan bulan depan, manakala permohonan Mid Valley sedang diproses. – BERNAMA

Felcra agih dividen RM400 juta kepada 85,000 peserta

TEMERLOH, ISNIN, 30 Julai, 2012: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Felcra memperuntukkan sejumlah RM400 juta sebagai bayaran dividen kepada 85,000 peneroka tahun ini. 

Beliau berkata dividen itu akan dibayar mulai minggu depan mengikut keluasan tanah peneroka. 

"Dividen tersebut adalah hasil daripada pengeluaran ladang Felcra sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini bermula daripada Januari hingga Jun lalu. 

"Namun, dividen tersebut kurang sedikit daripada tahun lepas atas faktor harga komoditi sawit yang tidak menentu di pasaran global," katanya pada majlis Ihya Ramadan serta berbuka puasa bersama warga dan peneroka Felcra Pahang di Padang Seri Ketumbit Kerdau hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata pendapatan Felcra dijangka mencecah RM800 juta pada akhir tahun ini berikutan pelaksanaan kaedah pembajaan, penanaman sawit secara moden dan terancang yang dilakukan agensi itu bagi mempertingkat hasil ladang. 

Beliau juga berkata Felcra merancang memperluas kegiatan bagi menambah pendapatan dan mungkin menyertai bidang pelaburan lain. 

"Felcra tidak boleh bergantung kepada hasil ladang secara berterusan kerana ia tidak seperti Felda, yang mempunyai ladang yang luas, tetapi perlu melakukan satu anjakan untuk menambahkan pendapatannya," katanya. - BERNAMA

Edar dadah: Pekerja perbandaran dihukum gantung

IPOH, ISNIN, 30 Julai, 2012: Seorang pekerja am rendah Majlis Perbandaran Kulum, Kedah, hari ini dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah mengedar 655 gram dadah jenis kanabis, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Zainal Azman Abdul Ghani membuat keputusan itu terhadap Norisman Rozali, 34, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Norisman didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan pondok perhentian bas, Sekolah Menengah Kebangsaan Kubu Gajah, Selama, daerah Larut Matang, kira-kira 120km dari sini, pada pukul 1.45 petang, 16 Mei 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Zainal Azam berkata, keterangan tertuduh tidak boleh dipercayai selain keterangan saksi pembelaan juga bercanggah. – BERNAMA

Tertuduh meninggal ketika pertuduhan dibaca

MELAKA, ISNIN, 30 Julai, 2012: Kompleks Mahkamah Melaka gempar apabila seorang tertuduh kes dadah rebah dan meninggal dunia selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di Mahkamah Majistret petang ini.

Sejurus sebelum kejadian yang berlaku kira-kira 3 petang itu, mangsa, Fazlie Khamis, 28, dilihat duduk dalam keadaan lemah di tepi kandang tertuduh dengan air liur meleleh dan tidak menunjukkan sebarang reaksi, menyebabkan jurubahasa mahkamah terpaksa membacakan semula pertuduhan terhadapnya.

"Tertuduh kemudian jatuh melutut sebelum rebah dan disahkan meninggal dunia oleh seorang anggota perubatan yang berada di mahkamah ketika itu,” kata seorang saksi yang enggan dikenali ketika ditemui di kompleks mahkamah di sini.

Fazlie ditahan petang Jumaat lepas di Batu Berendam berhubung kesalahan memiliki 2.5 gram heroin mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibawa dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk pendakwaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan buat masa ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – BERNAMA

Karpal: Hudud bukan inti manifesto Pakatan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Pengerusi DAP Karpal Singh berkata hari ini sebarang cubaan Pas sekarang untuk memperkenalkan hudud di negara ini mencerminkan dengan buruk niat ikhlas di sebalik apa yang diputuskan di Muktamar Pas tahun lepas.

Beliau berkata, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar ke-57 parti itu Jun tahun lepas secara umum menyatakan bahawa tidak ada disebut negara Islam dalam al-Quran tetapi negara kebajikan.

"Ini mencerminkan tanpa sedikit keraguanpun bahawa Pas telah melupakan matlamatnya untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Pas, dengan jelas memilih sebuah negara kebajikan," kata Karpal dalam satu kenyataann di sini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi mengenai pendirian konsisten Karpal menolak hudud.

Karpal berkata, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 8 Jun tahun lepas melaporkan dalam New Straits Times bahawa keputusan Pas mengubah fokus kepada sebuah negara kebajikan dan mengetepikan istilah negara Islam adalah langkah yang betul.

Karpal berkata, hudud tidak termasuk dalam kerangka dasar bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga.

"Begitu juga, ia tidak akan termasuk dalam manifesto bersama Pakatan Rakyat, tidak mungkin," katanya. 

Beliau berkata: "Tidak ada siapa, tidak ada parti, tidak juga organisasi yang boleh mendakwa mempunyai monopoli terhadap Tuhan.

"Saya perlu tegaskan dengan segala kekuatan yang ada pada saya, bahawa saya percaya terhadap Tuhan," ujar Karpal. - BERNAMA

Monday 30 July 2012

PM lancar hab ekonomi Tun Razak Exchange bernilai RM26b

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi melancarkan Tun Razak Exchange dengan nilai pembangunan kasar RM26 bilion di sini.

Perdana Menteri berkata, Tun Razak Exchange yang dibangunkan tapak seluas 28.33 hektar bertujuan membuka peluang pelaburan baru di negara ini dengan menghubungkan komuniti perniagaan dan ekonomi global.

Katanya, ia yang bakal menjadi hab kewangan dan ekonomi baru Malaysia dibangunkan berasaskan rekaan antarabangsa, perancangan progresif, lokasi mesra hijau untuk orang awam dan sistem pengangkutan awam yang mampu menghubungkan antara satu sama lain. - BH ONLINE

Zahid harap UMNO dan BN Sabah tidak pandang ringan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Tindakan Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Lajim Ukin yang keluar dan melepaskan semua jawatan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada keutuhan BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya, pemimpin serta anggota BN di Sabah perlu menjadikan perkara itu sebagai cabaran dalam mempererat dan memperkukuh perpaduan sesama anggota parti.

"Apa yang berlaku pada mereka sudah dijangkakan, di mana pada pandangan saya, ia boleh diselesaikan. 

"Saya harap kepimpinan UMNO dan kepimpinan BN Sabah tidak memandang ringan apa yang berlaku, sebaliknya menjadikan ia sebagai hikmah untuk mengukuhkan parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan (MIDES) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman Bumburing yang juga Anggota Parlimen Tuaran keluar parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) manakala Lajim yang melepaskan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort. 

Mengenai tindakan Lajim yang melepaskan semua jawatan namun tidak sebagai anggota Umno, Ahmad Zahid berkata ia merupakan urusan dan hak peribadi, namun keenganannya melepaskan jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan anggota UMNO dilihat sebagai tindakan tidak matang dari seorang ahli politik berpengalaman.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan tidak menolak kemungkinan perkembangan terbaru itu adalah satu permainan yang dicetuskan pembangkang bagi memecah keharmonian sesama anggota BN. - BERNAMA

Syarikat senjata tempatan mampu hasil 200,000 senapang M4

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Kementerian Pertahanan yakin syarikat persenjataan tempatan berupaya menghasilkan 200,000 senapang jenis M4 yang disasarkan bagi menggantikan senapang M16 yang digunakan ketika ini. 

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu berlandaskan kepada perjanjian pemindahan teknologi dilaksana antara syarikat tempatan dan Amerika Syarikat membolehkan 85 peratus pembuatan senjatanya dihasilkan di negara ini.

"Buat permulaan, sebanyak 11,000 unit telah dihasilkan dan diuji serta mendapat kelulusan untuk kegunaan domestik pada tahun 2013," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan (MIDES) di sini hari ini. 

Beliau berkata, sasaran secara berperingkat penghasilan senapang M4, senjata paling ringan dan berukuran sederhana dengan versi mod tembakan separa automatik dan tembakan tiga semburan itu, tidak terhad kepada kegunaan tentera sebaliknya boleh turut digunakan agensi keselamatan lain di negara ini. 

Berbanding senjata M16 yang mula digunakan di negara ini pada tahun 1976, M4 mempunyai ketebalan maksimum bagi mengurangkan kepanasan semasa menjalankan tembakan semburan dalam jangka masa lebih lama. - BERNAMA

Tindakan Bumburing, Lajim bukan ancaman BN

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Tindakan Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Lajim Ukin yang keluar dan melepaskan semua jawatan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada keutuhan BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya, pemimpin serta anggota BN di Sabah perlu menjadikan perkara itu sebagai cabaran dalam mempererat dan memperkukuh perpaduan sesama anggota parti.

"Apa yang berlaku pada mereka sudah dijangkakan, di mana pada pandangan saya, ia boleh diselesaikan.

"Saya harap kepimpinan Umno dan kepimpinan BN Sabah tidak memandang ringan apa yang berlaku, sebaliknya menjadikan ia sebagai hikmah untuk mengukuhkan parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan (MIDES) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman Bumburing yang juga Anggota Parlimen Tuaran keluar parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) manakala Lajim yang melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort.

Mengenai tindakan Lajim yang melepaskan semua jawatan namun tidak sebagai anggota UMNO, Ahmad Zahid berkata ia merupakan urusan dan hak peribadi, namun keenganannya melepaskan jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan anggota UMNO dilihat sebagai tindakan tidak matang dari seorang ahli politik berpengalaman.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan tidak menolak kemungkinan perkembangan terbaru itu adalah satu permainan yang dicetuskan pembangkang bagi memecah keharmonian sesama anggota BN. - BERNAMA

Hukuman ke atas warga Singapura seludup kanak-kanak kekal

PUTRAJAYA, ISMIM, 30 Julai, 2012: Seorang pemandu teksi warga Singapura dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman empat tahun kerana memperdagang seorang budak lelaki 11 tahun warga China ke Jerman melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Sambil menyifatkan pemerdagangan orang sebagai kesalahan serius, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Md Shariff yang mempengerusikan panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan akhir Ng Gim Teck untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menaikkan tempoh hukuman daripada enam bulan kepada empat tahun penjara. 

Ng dihukum penjara enam bulan dan denda RM20,000 jika gagal enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Sepang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperdagang Zhang Xu di kaunter Imigresen, Balai Berlepas, Aras 4, KLIA, Sepang, Selangor pada 7 malam 29 September, 2011. 

Bagaimanapun, hukuman penjara itu dinaikkan kepada empat tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Nov tahun selepas semakan oleh pihak pendakwaan berhubung ketidakcukupan hukuman penjara. Denda RM20,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan. 

Ng membayar denda itu. Bagaimanapun, dia membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan berhubung peningkatan hukuman penjara. 

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim Datuk K.N.Segara dan Datuk Azhar Ma'ah. 

Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memberitahu mahkamah bahawa siasatan menunjukkan bahawa Ng berniat memperdagang budak itu ke Jerman melalui KLIA. 

Dia ditangkap oleh pegawai Jabatan Imigresen kerana mempunyai pasport palsu Singapura untuk kanak-kanak itu. - BERNAMA

Syria: KPT akan keluar kenyataan rasmi

GEORGETOWN, ISNIN, 30 Julai, 2012: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung mekanisme terbaik bagi penyelesaian masalah 130 penuntut Malaysia di Syria untuk menyambung pengajian mereka dalam tempoh terdekat ini. 

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian juga akan memaklumkan perjumpaan dengan semua pelajar terbabit bagi mengetahui latar belakang dan status tahap pengajian mereka.

"Kementerian akan keluarkan kenyataan rasmi dalam dua atau tiga hari ini, akan dinyatakan di mana dan bila pelajar ini boleh buat permohonan untuk membantu selesaikan cabaran mereka sambung belajar. 

"Semuanya mengambil jurusan agama dengan demikian ia tidak beri masalah untuk bantu ditentukan tempat bagi mereka sambung pengajian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sekretariat Kearifan Tempatan dan Global Fellowship Universiti Sains Malaysia (USM) dan USM Global Fellowship di dewan persidangan USM di sini hari ini. 

Mohamed Khaled berkata demikian ketika ditanya mengenai mekanisme terbaik bagi membolehkan 130 penuntut Malaysia di Syria menyambung pengajian mereka di Jordan atau di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Kerajaan mengambil keputusan memindahkan penuntut Malaysia dari Syria pulang ke tanah air kerana pergolakan yang semakin meruncing di negara itu. 

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kearifan tempatan adalah ilmu berasaskan pengalaman sebenar, diamalkan dalam jangka masa yang sangat panjang dan bertunjang kepada budaya tempatan. "

Ia adalah amalan masyarakat yang sebahagiannya semakin terhakis dan kian dilupakan oleh kita, contohnya dulu tidak ada ubat nyamuk jadi macam mana orang dahulu selesaikan masalah, inilah pengetahuan yang sudah hilang dan perlu dicari balik," katanya. 

Beliau berkata, kearifan tempatan juga adalah khazanah bangsa yang menggambarkan citra, tradisi dan identiti sebenar kekuatan semangat satu bangsa yang besar dan hebat. 

"Oleh itu inisiatif USM ini sangat dialu-alukan bukan sahaja dari aspek pemuliharaan tetapi juga untuk tahu lebih mendalam sejauh mana ia boleh digunakan untuk selesaikan cabaran pada masa kini," katanya. 

Selain itu, katanya, USM Global Fellowship pula adalah insentif berprestij yang kompetitif bagi menarik calon siswazah berkualiti untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) mod penyelidikan secara sepenuh masa. 

Beliau berkata, inisiatif USM itu merupakan langkah ke hadapan yang benar dan progresif serta mampu untuk memperkasa jenama USM dan negara di peringkat global. 

"Ini juga akan memberi peluang untuk kita mendapatkan calon siswazah yang berbakat dan pintar," katanya. - BERNAMA