My Add

Sunday 30 September 2012

Polis tahan lima lelaki culik remaja di Alor Setar

ALOR SETAR, AHAD, 30 September, 2012: Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga Myanmar yang disyaki terbabit menculik seorang remaja lelaki berumur 13 tahun di Jalan Kampung Pisang di sini, pada Selasa lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, dua suspek diberkas di sini pada malam Khamis dan tiga lagi ditahan di sebuah kuil di Sungai Petani, dua malam lepas.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek berumur 20-an hingga 50-an itu menculik remaja tersebut di Jalan Kampung Pisang ketika mangsa pulang dari pusat tuisyen kira-kira pukul 10 malam.

"Selepas menculik, suspek menghubungi keluarga remaja itu kira-kira pukul 11 malam hari yang sama menuntut wang tebusan sebanyak RM500,000.

"Penculik bagaimanapun bersetuju menerima RM350,000 setelah berunding dengan keluarga remaja tersebut dan membebaskannya pada Khamis lepas setelah menerima wang tebusan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya, hasil laporan yang dibuat keluarga remaja berkenaan, polis berjaya menahan kesemua suspek dan menemui wang tebusan sebanyak RM349,700.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman mulai semalam sehingga Khamis ini.

Katanya, polis masih menyiasat sama ada kelima-lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan menganggap kes itu selesai dengan penahanan kesemua lelaki terbabit. — BERNAMA
Kelab Agrosiswa mampu bantu mahasiswa

SINTOK, AHAD, 30 September, 2012: Kelab Agrosiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) dilancarkan hari ini menjadi saluran untuk mahasiswa yang meminati bidang pertanian menceburi selok-belok keusahawan.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Abdul Rahim Salleh berkata, kelab tersebut merupakan kerjasama pintar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Di bawah program ini, semua agensi MOA seperti Jabatan Perikanan bagi ternakan akuakultur, haiwan (ternakan) dan Fama (pemasaran) akan membantu Kelab Agrosiswa dari segi teknikal, pemasaran dan bantuan mendapat pinjaman.

"Kerjasama MOA dan KPT bertujuan melahirkan graduan yang mahu menjadikan bidang pertanian sebagai kerjaya mereka berdasarkan Strategi Lautan Biru,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kelab Agrosis UUM di sini hari ini.

Abdul Rahim yang mewakili Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Tan Sri Badrudin Amiruldin merasmikan majlis tersebut berkata, program seumpama ini memberi pendedahan realistik mengenai potensi bidang pertanian. — BERNAMA
Graduan UniMAP laris di pasaran industri

KANGAR, AHAD, 30 September, 2012: Graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) begitu laris di pasaran industri dengan sebahagian besarnya dilamar pihak industri sebelum majlis konvokesyen berlangsung, kata Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Menurut beliau, 55 peratus daripada 1,830 graduan yang menerima ijazah dan diploma pada konvokesyen ke-7 universiti yang berakhir hari ini sudah berjaya memperoleh pekerjaan.

"Ramai di kalangan mereka bekerja di syarikat-syarikat antarabangsa yang terkemuka,” katanya pada sidang media sempena konvokesyen universiti berkenaan, di sini hari ini.

Beliau gembira kerana jaringan strategik UniMAP dengan sektor industri selama ini, membolehkan graduan UniMAP diberi kepercayaan menjalankan kerja meskipun baru tamat pengajian.

Katanya, terdapat graduan menerima lamaran kerja sejak Jun lalu, sekali gus membuktikan pihak industri begitu yakin dengan mahawsiwa UniMAP yang melahirkan jurutera berwibawa.

Malah, beliau percaya lebih ramai graduan menerima lamaran kerja daripada pihak industri namun, terpaksa menolaknya atas alasan melanjutkan pelajaran. — BERNAMA
Che Mat tidak akan berundur sebagai Presiden PBSNT
 * Che Mat Jusoh

KUALA TERENGGANU, AHAD, 30 September, 2012: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh hari ini menegaskan beliau tidak akan berundur walaupun didesak melepaskan jawatan.

Malah, beliau akan tetap meneruskan tanggungjawabnya sebagai presiden persatuan itu dan akan berusaha melakukan penambahbaikkan kepada persatuan itu dan pasukan bola sepak Terengganu, demi kemajuan sukan itu.

"Saya tidak mahu berkelahi dengan sesiapa, yang penting macam mana kita hendak naik semua pasukan dalam Liga Super musim depan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam, kira-kira 500 orang penyokong setia Sang Penyu mengadakan perhimpunan secara aman di Dataran Pantai Batu Buruk bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap PBSNT.

Dalam perhimpunan hampir sejam itu mereka mendesak kepimpinan PBSNT dirombak dan ditukar dengan muka baharu.

Sebelum ini, penyokong itu turut mengadakan kempen bagi mendesak pengunduran Che Mat dengan menampal poster gambar beliau di merata-rata tempat, yang ditulis perkataan ABC yang membawa maksud, 'Asal Bukan Che Mat'.

Menurut Che Mat usaha penambahbaikan dalam PBSNT memerlukan masa dan desakan tidak akan membantu memulihkan prestasi pasukan negeri.

"Sekarang ini pun, pimpinan PBSNT terutamanya pengurusan pasukan tahun depan akan diterajui muka-muka baru dan kita akan bawa masuk mereka yang mampu membantu kita.

"Siapa yang tidak mahu menang, tetapi adat permainan, ada ketika berada di atas dan ada ketika berada di bawah .. itulah bola sepak," katanya sambil menambah beliau memberi kepercayaan penuh terhadap pengurusan baharu skuad itu demi kemajuan skuad Penyu. - BERNAMA
100 penyelam bantu lindungi khazanah taman laut

BACHOK, AHAD, 30 September, 2012: Jabatan Taman Laut Malaysia menempatkan 100 anggota unit skuba dalam pasukan rondanya untuk melindungi khazanah marin di 38 lokasi taman laut di Semenanjung dan empat lokasi di Labuan.

Ketua Pengarahnya, Dr. Sukarno Wagiman berkata, pasukan ronda itu akan mengesan mereka yang melakukan pencerobohan sama ada menangkap ikan atau memungut hidupan marin yang berharga.

Usaha mengesan pencerobohan sebelum ini didapati sukar kerana aktiviti itu dilakukan di dasar laut dengan menggunakan peralatan skuba, katanya kepada pemberita di sini semalam. - BERNAMA
15 pereka busana Muslim serta Kembara Nazneen

KANGAR, AHAD, 30 September, 2012: Sebanyak 15 pereka busana Muslim terkemuka tempatan bakal berkampung di Perlis pada 10 Oktober ini bagi memperagakan busana ciptaan mereka pada Kembara Nazneen yang julung kali berlangsung di negeri ini.

Kembara itu dianjurkan Persatuan Usahawan dan Pereka Busana Muslim Malaysia (AMAED) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Kolej Komuniti sempena berlangsungnya Festival Busana Muslim (IFF) Kangar 2012.

Ketua Jabatan Kejuruteraan dan Kemahiran Kolej Komuniti Arau, Nor Azira Md Yusof berkata, antara pereka yang akan menyertai kembara itu ialah Datuk Radzuan Radziwill, Calvin Thoo, Dian Pelangi dan dari Kolej Komuniti.

Menurutnya, kembara yang bertemakan Nazneen (bahasa Arab yang bermaksud Terindah" itu akan mengundang kira-kira 2,500 tetamu wanita terutama yang terbabit dalam kegiatan reka cipta fesyen. - BERNAMA
100 penyelam bantu lindungi khazanah taman laut

BACHOK, AHAD, 30 September, 2012: Jabatan Taman Laut Malaysia menempatkan 100 anggota unit skuba dalam pasukan rondanya untuk melindungi khazanah marin di 38 lokasi taman laut di Semenanjung dan empat lokasi di Labuan.

Ketua Pengarahnya, Dr. Sukarno Wagiman berkata, pasukan ronda itu akan mengesan mereka yang melakukan pencerobohan sama ada menangkap ikan atau memungut hidupan marin yang berharga.

Usaha mengesan pencerobohan sebelum ini didapati sukar kerana aktiviti itu dilakukan di dasar laut dengan menggunakan peralatan skuba, katanya kepada pemberita di sini semalam. - BERNAMA
Suspek tembak dua anggota polis maut ditembak

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 September, 2012: Polis hari ini menembak mati salah seorang daripada tiga suspek yang disyaki terbabit menembak dua anggota polis peronda di Jalan Kuchai Lama, di sini, Rabu lalu.

Dalam insiden kira-kira jam 3 pagi tadi, suspek berusia 32 tahun itu melarikan diri apabila kereta jenis Proton Waja yang dipandunya cuba ditahan polis berhampiran pusat membeli-belah Mid Valley di sini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek yang menaiki kereta itu seorang diri enggan berhenti lalu dikejar anggota polis sehingga kenderaan suspek terbabas di kawasan parkir Taman Desa Water Park.

"Apabila anggota polis menghampiri kenderaan tersebut untuk membuat pemeriksaan, suspek keluar daripada keretanya dan melepaskan beberapa das tembakan," katanya pada sidang media di sini.

Ku berkata, sebagai langkah mempertahankan diri, anggota polis terpaksa membalas tembakan sehingga suspek terbunuh di tempat kejadian.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol semi automatik berwarna silver mengandungi sebutir peluru hidup, satu kelopak mengandungi sebutir peluru hidup 9mm jenis Luger, dua butir kelongsong peluru jenis Luger dan sebuah kapak dalam kereta terbabit.

Beliau berkata, kenderaan yang digunakan suspek dilaporkan hilang di Kelana Jaya pada Ogos lalu.
Katanya, mayat suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Ku berkata pihak polis sedang mengesan dua lagi individu iaitu Wan Fadrulzaman Wan Mohamad Fadil, 30, berasal dari Lanchang Mentakab, Pahang dan seorang remaja berusia 17 tahun untuk membantu siasatan kes itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang Rabu lalu, Koperal R. Subramanian, 52, dan Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, ditembak ketika cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki di persimpangan lampu isyarat di kawasan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya berdekatan Kuchai Lama di sini.

Subramaniam cedera di bahagian perut dan rakan setugasnya Nor Azlan cedera di leher dan keadaan mereka dilaporkan stabil di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya. - BERNAMA
Penuntut IPT juga layak dapat BR1M 2.0

KOTA BHARU, AHAD, 30 September, 2012: Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 21 tahun ke atas turut layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) bernilai RM250, dengan pembayaran bermula Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata golongan berkenaan layak kerana tidak mempunyai pendapatan bawah RM2,000 sebulan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra anjuran Majlis NGO Kelantan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kelantan, di Tanjung Chat.- BH
Kikis budaya meminta, mentaliti subsidi: Sultan Terengganu

KUALA TERENGGANU, AHAD, 30 September, 2012: Budaya meminta dan mentaliti subsidi dalam kalangan rakyat perlu dikikis bagi membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai daya saing tinggi, titah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Baginda bertitah untuk berubah, rakyat perlu berusaha dengan gigih dan jangan berharap kepada bantuan semata-mata. 

"Bila dapat bantuan pula manfaatkanlah sepenuhnya dan janganlah disalahguna. Di samping itu, rakyat perlu memupuk budaya berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan dan usaha yang dilakukan untuk mereka.

"Beta menghargai usaha kerajaan Beta yang menitikberatkan kebajikan dan keperluan rakyat ke arah melahirkan persekitaran yang lebih sempurna dan memperbaiki taraf hidup mereka," titah Baginda.

Sultan Mizan bertitah pada Istiadat Penghadapan dan Pengurniaan Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran negeri di Singgahsana Istana Maziah di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Seramai 294 orang menerima pingat dan darjah kebesaran sempena ulang tahun ke-50 keputeraan Sultan Mizan termasuk Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang menerima Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu.

Sultan Mizan bertitah perpaduan merupakan keutamaan tertinggi dalam membentuk negara bangsa yang aman dan harmoni. 

"Sejak akhir-akhir ini Beta perhatikan banyak isu-isu yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat diperkatakan secara meluas oleh pelbagai lapisan masyarakat.

"Adalah menjadi kewajipan semua pihak memelihara dan mengekalkan perpaduan dan kesatuan ummah yang sedia terjalin di negeri ini. Tanpa perpaduan kukuh, adalah sukar untuk rakyat menghadapi cabaran masa ini," titah baginda.

Sultan Mizan turut bertitah usaha strategik perlu dirangka bagi memastikan Terengganu menjadi destinasi pelancongan pilihan utama dan mahukan usaha menarik pelancong dipergiat selaras dengan Tahun Melawat Terengganu tahun depan.

Di samping itu, baginda mahu kerajaan negeri meningkatkan keberkesanan mekanisme perlaksanaan dan tahap teknologi untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian. - BERNAMA
MADA perlu RM200 juta buat lencongan di dua sungai elak banjir

PENDANG, AHAD, 30 September, 2012: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memerlukan RM200 juta untuk membuat beberapa lencongan di Sungai Pendang dan Sungai Tiang Gerap di sini bagi mengalirkan air keluar dalam usaha mengelak banjir.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, lencongan akan dibuat ke beberapa anak sungai memandangkan setiap kali musim hujan, kedua-dua sungai itu sering melimpah. 

"MADA sudah mengkaji masalah ini dengan teliti dan akan mengemukakan justifikasi permintaan itu kepada kerajaan persekutuan untuk mendapatkan wang sebanyak RM200 juta bagi melaksana rancangan itu," katanya kepada pemberita semasa melawat sawah padi yang ditenggelami banjir di Kampung Panchor, Kuar Kepayang, di sini hari ini.

Mohd Johari berkata, hujan lebat yang turun sejak 25 September hingga 27 September lepas merosakkan 827 hektar sawah padi dalam kawasan MADA dengan 376 kawasan ialah di Pendang melibatkan anggaran kerugian RM4 juta.

Beliau berkata, MADA akan membuat bancian menyeluruh untuk mendapat maklumat lengkap kerosakan yang dialami bagi membolehkan bantuan sewajarnya disalur kepada petani berkenaan. - BERNAMA
Mangsa banjir di Pendang meningkat kepada 206 orang

ALOR SETAR, AHAD, 30 September, 2012: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Pendang petang ini meningkat kepada 206 orang berbanding 182 orang sebelum ini.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Pendang, Mohd Izudin Inusneah berkata, mereka yang dipindahkan sehingga jam 4 petang ini membabitkan 57 keluarga dari 10 kampung. 

"Semua mangsa dipindahkan ke Pusat Rakan Sukan, Tanah Merah dekat sini, dan mereka adalah penduduk di Kampung Bonggol Kambing, Hampar Kanan, Pondok Hampar, Bonggol Besi, Sukamari, Alor Punti, Pondok Haji Husin, Tanjung Radin, Tanah Merah Dalam dan Lubuk Gajah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, walaupun cuaca semakin baik, air di kawasan tinggi turun ke kawasan rendah menyebabkan kampung yang berada di kawasan rendah dinaiki air.

"Paras air Sungai Pendang sudah menunjukkan penurunan iaitu daripada tiga meter kepada 2.85 meter tetapi masih melepasi paras amaran," katanya.- BERNAMA
Kadar hutang negara masih ditahap rendah: Pengerusi UDA 

JOHOR BAHRU, AHAD, 30 September, 2012: Rakyat tidak perlu berasa bimbang dengan kadar hutang negara kerana ia masih berada pada tahap yang rendah berbanding negara Eropah, Amerika Syarikat dan negara membangun.

Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kadar hutang negara 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini berada pada tahap yang masih selamat.

"Kadar hutang itu (53.7 peratus) adalah suatu kadar yang masih boleh ditanggung oleh kerajaan dan dianggap rendah berbanding negara Eropah dan Amerika Syarikat itu sendiri."

"Berbanding dengan negara membangun juga, (hutang) kita masih pada paras lebih rendah dan selesa. Asal kita boleh membayar keperluan kadar faedah dengan segera, kita masih selama," katanya di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Pulai yang juga seorang akauntan bertauliah itu juga meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan pembangkang yang mendakwa kadar hutang negara adalah tinggi.

Katanya, negara juga tidak mempunyai masalah untuk membentangkan belanjawan yang defisit, berikutan kepelbagaian kekayaan negara yang boleh digunakan untuk menampung defisit itu.

"Tidak ada negara di dunia yang membuat belanjawan lebihan, semuanya membentangkan belanjawan defisit dan pinjaman, cuma yang bezanya dengan Malaysia adalah kita mempunyai ruang untuk melaksana belanjawan defisit kerana kita mempunyai pelbagai kekayaan untuk menampung defisit itu," katanya.

Malaysia katanya, boleh menggunakan hasil komoditi dan minyak serta aset negara yang dicairkan untuk menampung defisit terbabit.

Belanjawan 2013 yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu menyasarkan defisit negara akan turun kepada 4.0 peratus tahun depan berbanding 4.5 peratus tahun ini.

Selain itu, kata Nur Jazlan negara masih mempunyai ruang yang luas untuk memperbaiki sistem percukaiannya bagi membolehkannya mengutip lebih banyak pendapatan menerusi hasil-hasil percukaian.

Sistem percukaian negara ketika ini, menurutnya, masih berada pada tahap rendah berbanding negara-negara lain.

Adalah salah pada ketika ini untuk memperkenalkan suatu belanjawan yang anti-pertumbuhan ekonomi atau belajawan berjimat cermat kerana ia akan memberikan kesan terhadap keyakinan pelabur serta prestasi ekonomi negara.

"Belanjawan yang mengecilkan ekonomi negara akan mendatangkan kesan yang buruk kepada prestasi ekonomi negara dan menjejaskan keseluruhan rakyat," kata Nur Jazlan.

Beliau juga memuji langkah kerajaan memperuntukan dana yang besar untuk memastikan golongan muda yang tinggal di bandar-bandar besar seluruh negara serta yang baru memasuki alam pekerjaan berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Ia, katanya membuktikan keprihatinan kerajaan di dalam membela nasib dan masa depan golongan muda negara ini. - BERNAMA
Musa minta wanita UMNO Sabah sokong semua calon BN

KOTA KINABALU, AHAD, 30 September, 2012: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman meminta semua pemimpin wanita UMNO Sabah memberi sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, walaupun calon itu bukan dari UMNO.

Beliau yang juga pengerusia BN negeri berkata, ini bagi memastikan BN meraih kemenangan besar pada pilihan raya umum itu. 

"Apa yang penting ialah semua kawasan yang ditandingi oleh calon BN menang. InsyaAllah kami mahu pastikan kemenangan besar untuk perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kerajaan BN," katanya berucap pada majlis pelancaran Program Salam Sayang Wanita UMNO Sabah di Bangunan Umno, di sini, hari ini.

Pada pilihan raya umum lalu, BN hampir menyapu bersih 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 25 kerusi Parlimen apabila hanya kalah kerusi DUN Sri Tanjung (Tawau) dan Parlimen Kota Kinabalu.

Musa berkata, rakyat Sabah wajar memberi sokongan padu kepada kerajaan BN pimpinan Najib yang begitu bertanggungjawab dan prihatin terhadap keperluan rakyat.

Sambil memberi contoh pembentangan Belanjawan 2013 oleh perdana menteri di Dewan Rakyat, Jumaat lalu, beliau berkata belanjawan itu adalah yang terbaik untuk negara.

"Tiada yang tertinggal, ia melintasi seluruh rakyat termasuk golongan tua, muda, petani, nelayan, wanita dan penjawat awam," katanya. 

Musa berkata, dalam Belanjawan itu, perdana menteri turut mengumumkan peruntukan sekitar RM386 juta untuk membuka 57 lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi membolehkan lebih ramai rakyat di kawasan itu membeli barangan keperluan dengan harga lebih rendah.

"Ini adalah bukti Perdana Menteri mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat Sabah. Sekarang ini kita boleh membeli barang (keperluan) di mana-mana (Kedai 1Malaysia) yang harganya sama saja dengan harga yang ditawarkan di Semenanjung," katanya.

Terdahulu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang juga Pengerusi Wanita BN berharap lebih ramai pemimpin wanita BN Sabah dapat diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga menyatakan komitmen wanita BN untuk memberi sokongan penuh kepada perdana menteri pada pilihan raya umum ke-13 akan datang. - BERNAMA
Ulama disaran berhati-hati keluarkan pendapat mereka

GEORGETOWN, AHAD, 30 September, 2012: Golongan ulama disaran supaya berhati-hati mengeluarkan pendapat berhubung sesuatu perkara agar buah fikiran mereka itu tidak mengelirukan masyarakat.

Pensyarah Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ulama yang tidak cukup pengetahuan untuk menyelesaikan permasalahan membabitkan hukum boleh melembabkan masyarakat dengan fatwa mereka yang salah. 

"Ulama adalah orang yang berpengaruh, pandangan mereka diambil kira sebagai 'divine conclusion' oleh masyarakat. Jadi, golongan ulama harus beri pandangan yang boleh meningkatkan mentaliti umat," katanya ketika berucap pada seminar Ulama dan Kebangkitan Rakyat anjuran Yayasan Islam Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mohd Asri berkata, sejarah membuktikan kebangkitan atau kejatuhan sesebuah masyarakat bergantung pada kekukuhan institusi ulama dan golongan itu harus memperkasa barisan mereka jika mahu menjadi pembela rakyat.

Beliau bagaimanapun berpendapat golongan ulama tidak semestinya menjadi pemerintah atau membentuk kerajaan sendiri untuk memandu rakyat sebaliknya harus berani menasihati pemerintah, jika wujud kepincangan dalam pentadbiran kerajaan.

"Pemimpin dan ulama adalah dua golongan yang memegang kepimpinan, ada pengaruh tersendiri dalam masyarakat," katanya.

Justeru, Mohd Asri berkata, jika kedua-dua golongan itu bergabung dan tidak memanipulasi antara satu sama lain maka kerjasama itu dilihat mampu melahirkan masyarakat intelektual dan dapat mewujudkan sebuah negara yang teguh. - BERNAMA
Pemimpin BN harus berani "turun ke gelanggang" berjuang demi rakyat

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 September, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) harus berani "turun ke gelanggang" untuk berjuang demi rakyat walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

"Jangan takut...jangan takut lagi, masuk ke gelanggang, inilah semangat yang kita mesti ada," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-41 GERAKAN di sini, hari ini. 

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, bahawa keberanian seperti itu menjadi lambang semangat juang yang sebenar.

"Tunjuk kekuatan kita, kita ada semangat untuk berjuang, lawan apabila anda dalam keadaan terdesak," tegasnya pada majlis yang turut dihadiri Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Perdana Menteri berkata, berbekalkan semangat juang yang tinggi, kerja keras, semangat berpasukan dan perancangan stategik, BN dapat memastikan segala usaha untuk menawan hati rakyat berjaya.

Selain itu, Najib berkata masanya sudah tiba untuk Parti GERAKAN menjadi lebih ofensif dan tidak takut untuk membuat perubahan terutama dalam usaha merampas semula Pulau Pinang daripada DAP, sekali gus memastikan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan untuk rakyat.

"Jangan takut, kita ada kes yang kuat. Pembangunan di Pulau Pinang sangat baik. Sebab apa? Sebab adanya kerjasama daripada UMNO, MCA, MIC dan juga kerajaan. 

"Oleh itu dalam perhimpunan ini, saya minta diperbaharui semangat, jadi rakan yang baik dan berharga kepada BN. Hanya dengan itu, anda akan mencapai kejayaan yang diimpikan," kata Najib.

Dalam pada itu, beliau turut memuji Koh berhubung hasratnya untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang selain menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai seorang pemimpin yang menyumbang banyak kepada parti dan negara.

"Saya nak ucap terima kasih. Banyak yang telah beliau lakukan bukan sahaja kepada Pemandu (Unit Pelaksanaan dan Pengurusan Prestasi), tapi juga dalam soal perpaduan dan Rukun Tetangga.

"Beliau seorang pemimpin yang boleh diharap yang sentiasa memberikan nasihat bernas. Macam inilah yang kita nak untuk masa depan kita," kata Najib. - BERNAMA
Agong, Permaisuri mulakan lawatan negara ke Jepun esok

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 September, 2012: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah akan berangkat memulakan lawatan negara ke Jepun esok.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata, lawatan lima hari itu adalah atas undangan Maharaja Jepun, Maharaja Akihito. 

Seri Paduka berdua akan diiringi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai menteri pengiring serta pegawai kanan Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual berangkat mengunjungi Maharaja Akihito dan Maharani Michiko serta menghadiri majlis santapan negara bagi meraikan Seri Paduka berdua.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah juga dijadual berangkat menemui komuniti rakyat Malaysia di Jepun sempena majlis jamuan makan malam yang diatur Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo.

Menurut kenyataan terbabit, lawatan negara itu memberi peluang kepada kedua-dua ketua negara mengeratkan lagi hubungan peribadi dan persahabatan yang terjalin sejak lawatan Maharaja Akihito ke Malaysia pada 1970 sebagai Putera Mahkota Jepun.

Ketika itu, Tuanku Abdul Halim memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Maharaja Akihito dan Maharani Michiko pernah melawat Malaysia pada 1991 dan 2006.

"Lawatan negara ini dijangka meningkatkan hubungan dua hala yang kukuh dan akrab antara Malaysia dan Jepun ke tahap lebih tinggi," kata kenyataan itu. - BERNAMA
KPT mahu universiti penyelidikan lahir ramai pelajar pasca siswazah

JOHOR BAHRU, AHAD, 30 September, 2012: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu universiti penyelidikan melahirkan lebih ramai pelajar pasca siswazah selari dengan peruntukan diberikan kepada kementerian berkenaan dalam Belanjawan 2013.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menyarankan universiti terbabit menerbitkan lebih banyak penulisan ilmu baru yang boleh menjadi rujukan serta menghasil dan mendaftar lebih banyak harta intelek daripada hasil penyelidikan walaupun ia mengambil masa lama.

"Dengan adanya peruntukan penyelidikan yang besar, universiti boleh melahirkan ramai pelajar pasca siswazah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persatuan Pengusaha Lori Bahan Batuan Johor di Johor Jaya, di sini hari ini.

Sehingga kini, beliau berkata, terdapat 30,000 penyelidik termasuk pelajar pasca siswazah di seluruh negara yang terlibat dalam pelbagai penyelidikan.

Khaled berharap dengan memberi penekanan kepada modal insan dan penyelidikan, ia akan membantu negara dalam empat perkara iaitu persaingan, inovasi, produktiviti dan taraf hidup.

KPT menerima peruntukan lebih RM13 bilion dalam Belanjawan 2013 iaitu peruntukan keenam terbesar selepas Kementerian Pelajaran, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan. - BERNAMA
PM mahu rakyat waspada senjata pembangkang

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 September, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mahu rakyat berwaspada dengan tiga "senjata" iaitu kutuk, hasut dan janji yang digunakan pembangkang untuk memenangi hati mereka.

"Dia mesti kutuk (kerajaan), mereka mesti tentang (kerajaan). Selepas itu, mereka mesti hasut dan kemudian mereka menabur janji. Seperti yang saya katakan, mereka akan menjanjikan bulan, bintang dan waima cakerawala," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-41 Gerakan di sini, hari ini.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, rakyat perlu berfikir tentang janji-janji manis yang ditabur oleh pakatan pembangkang yang akhirnya terserlah sebagai racun berbisa buat mereka.

"Adakah ia benar-benar baik untuk rakyat atau akan membawa musibah kepada negara. Inilah rakyat mesti fikir, sebab nak jadi pembangkang senjatanya ada tiga -- kutuk, hasut, janji," tegas Perdana Menteri.

Najib berkata, untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dalam sistem Parlimen, mereka perlu memenuhi beberapa syarat asas, satu daripadanya ialah menggunakan satu simbol sahaja. - BERNAMA
SPNB akan bina 1,850 rumah mampu milik tahun depan

MELAKA, AHAD, 30 September, 2012: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina 1,850 unit rumah mampu milik di seluruh negara pada tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Idris Haron berkata ia hasil peruntukan RM320 juta yang disalurkan kerajaan melalui SPNB dalam pembentangan Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lepas.

"Pengumuman itu menunjukkan perdana menteri mendengar keluhan golongan muda dan kumpulan pertengahan yang ingin memiliki kediaman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Kepimpinan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden SBM Mohammed Nazari Othman.

Dalam pembentangan Belanjawan itu, Najib berkata SPNB juga akan membina 21,000 unit rumah Mesra Rakyat untuk tahun 2013 yang berharga RM65,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak dua peratus.

Dalam perkembangan lain, Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melantik Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai seorang daripada ahli jawatankuasa teknikal di PBT masing-masing supaya kehendak dan keperluan golongan itu tidak diabaikan.

Beliau berkata, PBT perlu menyediakan infrastruktur yang baik kepada OKU terutama dalam sektor perkhidmatan seperti pengangkutan awam, tempat letak kereta dan tandas awam. 

Penguatkuasaan dalam sektor perkhidmatan itu juga perlu lebih tegas agar kemudahan yang disediakan tidak dieksploitasi oleh golongan normal, katanya. - BERNAMA
Suspek tembak dua anggota polis mati ditembak

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 September, 2012: Polis hari ini menembak mati seorang daripada tiga suspek yang dipercayai terlibat menembak dua anggota polis peronda di Jalan Kuchai Lama di sini Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi, suspek berusia 32 tahun cuba meloloskan diri apabila kereta Proton Waja dipandunya ditahan untuk pemeriksaan berhampiran Pusat Beli-belah Mid Valley.

Suspek yang menaiki kereta itu seorang diri enggan berhenti sebaliknya memecut sebelum dikejar anggota pasukan itu sehingga terbabas.

Lelaki tersebut kemudian keluar dan melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan anggota polis membalas sehingga suspek terbunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, polis kini memburu dua lagi individu termasuk adik kepada suspek yang mati ditembak. - UTUSAN
Hukuman adat dicadang banteras maksiat di Padang

JAKARTA, AHAD, 30 September, 2012: Hukuman adat yang telah lama digunakan dalam masyarakat Padang di Sumatera Barat, akan turut diguna pakai dalam Peraturan Daerah tentang Pembanterasan Perzinaan dan Pelacuran, yang drafnya sedang dibahaskan di Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kota Padang.

Bagi mengelakkan kekaburan dalam pelaksanaannya nanti, hukuman adat itu akan ditentukan oleh Kerapatan Adat Nagari (KAN) di tempat kejadian, kata Pengerusi Badan Perundangan DPRD Padang untuk perbahasan draf peraturan itu, Jhon Roza Syaukani sebagaimana dipetik agensi berita Antara dalam laporannya pada Ahad.

Kerapatan Adat Nagari adalah sebuah lembaga adat Minangkabau di peringkat daerah kecil di Sumatera Barat yang bertugas sebagai penjaga dan pelestarian adat dan budaya Minangkabau.

Laporan itu tidak pula menyebut secara jelas bentuk hukuman adat yang akan diguna pakai dalam peraturan pembanterasan perzinaan dan pelacuran Kota Padang itu.

Ia bagaimanapun menyebut bahawa bentuk hukuman yang diatur dalam peraturan itu adalah berupa denda dan penjara, misalnya bagi orang yang terbukti melakukan perzinaan, mereka boleh dipenjara antara dua bulan hingga lima bulan atau denda sekurang-kurangnya Rp15 juta sehingga Rp40 juta.

Hukuman itu boleh dikenakan kepada pesalah individu dan pihak lain yang bersama-sama mengusahakan atau menyediakan tempat atau kemudahan untuk melakukan perzinaan atau perbuatan yang mengarah kepada perzinaan.

Perbuatan perzinaan yang dimaksud dalam ancaman hukuman itu adalah hubungan seksual di luar pernikahan manakala perbuatan yang mengarah kepada perzinaan adalah perbuatan yang mendorong dan membuka peluang besar berlakunya perzinaan, kata laporan itu. - BERNAMA
PM mahu rakyat waspada "senjata" pembangkang

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 September, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mahu rakyat berwaspada dengan tiga "senjata" iaitu kutuk, hasut dan janji yang digunakan pembangkang untuk memenangi hati mereka.

"Dia mesti kutuk (kerajaan), mereka mesti tentang (kerajaan). Selepas itu, mereka mesti hasut dan kemudian mereka menabur janji. Seperti yang saya katakan, mereka akan menjanjikan bulan, bintang dan waima cakerawala," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-41 Gerakan di sini, hari ini.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, rakyat perlu berfikir tentang janji-janji manis yang ditabur oleh pakatan pembangkang yang akhirnya terserlah sebagai racun berbisa buat mereka.

"Adakah ia benar-benar baik untuk rakyat atau akan membawa musibah kepada negara. Inilah rakyat mesti fikir, sebab nak jadi pembangkang senjatanya ada tiga -- kutuk, hasut, janji," tegas Perdana Menteri.

Najib berkata, untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dalam sistem Parlimen, mereka perlu memenuhi beberapa syarat asas, satu daripadanya ialah menggunakan satu simbol sahaja. - BERNAMA
Dr Mahathir tak berminat jadi pengantara antarabangsa

NEW YORK,AHAD, 30 September, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak berminat memainkan peranan sebagai pengantara antarabangsa seperti bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair atau bekas Presiden Amerika, Jimmy Carter.

Beliau menyatakan perkara ini pada perjumpaan tidak rasmi dengan pelajar Malaysia di pejabat wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, hari ini. 

Selepas menerima Anugerah Peringatan Rafik Hariri PBB-Habitat pada Jumaat malam, beberapa hadirin bertanya Dr Mahathir sama ada beliau ingin memainkan peranan sebagai orang tengah untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa berdasarkan pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa dan kedudukan beliau sebagai negarawan terkemuka.

"Saya rasa saya tidak layak memainkan peranan itu," katanya kepada Bernama sambil memberi alasan dalam nada berjenaka bahawa "dunia tidak akan mendengar cakap saya dan orang akan tetap melakukan apa yang mereka suka...Jadi, saya menolak kemungkinan itu."

Pada majlis berkenaan, Dr Mahathir kelihatan tenang dan santai ketika menjawab soalan para pelajar tentang pelbagai isu, daripada keadaan politik di Malaysia dan langkah Malaysia untuk beralih menjadi sebuah negara maju, hinggalah kepada sengketa China-Jepun.

"Untuk mengurus sebuah negara pelbagai kaum, pelbagai budaya dan pelbagai agama seperti Malaysia, anda memerlukan kerajaan yang kuat," katanya.

Dr Mahathir menasihati pelajar supaya tidak meninggalkan budaya serta nilai yang mereka bawa dari tanah air ketika menuntut di Barat.
"Ramai yang mula berubah dari segi nilai dan budaya sendiri setelah tinggal di negara maju. Malah, ada yang sanggup berkata kami (di Malaysia) tidak seprogresif seperti orang di negara tempat anda belajar.

"Apabila anda membandingkan sesuatu yang baik dengan sesuatu yang lebh baik, maka negara anda akan kelihatan tidak begitu baik. Tapi, sekiranya anda bandingkan negara anda dengan sesuatu yang tidak begitu baik, maka perkara yang tidak berapa baik ini akan mula kelihatan baik," katanya.

Beliau menggesa pelajar Malaysia supaya pulang ke tanah air setelah menamatkan pengajian masing-masing untuk menyumbangkan pengetahuan mereka dalam membangunkan negara.

"Bantulah Malaysia mencapai matlamatnya untuk menjadi negara maju menjelang 2020," kata Dr Mahathir sambil menegaskan bahawa walaupun berdepan dengan kemelesetan global, Malaysia terus berkembang dan "mampu melepaskan diri daripada graviti", seperti yang disebut Financial Times baru-baru ini.

Dr Mahathir, yang kelihatan masih cergas dan berfikiran tajam, walaupun sudah mencapai usia 87 tahun, berkata ketika mula mencapai kemerdekaan daripada pentadbiran penjajah Inggeris, Malaysia dipandang rendah dan malah, ada pengkritik berkata ia tidak akan sampai ke mana kerana mempunyai rakyat yang berbilang etnik dan kaum.

"Kami mengambil keputusan untuk berkongsi kekayaan sesama masyarakat kita -- Melayu, Cina dan India. Tidak mengapalah mendapat bahagian yang lebih kecil, daripada membolot semuanya.

"Dengan berkongsi kek yang ada dengan masyarakat lain, ini bermakna kami memberi peluang kepada masyarakat lain juga," katanya sambil menjelaskan bahawa sehingga kini, Malaysia berjaya memastikan pertumbuhan ekonomi dan kemakmurannya.

Beliau berkata Malaysia dianugerahi kekayaan alam semula jadi dan berbeza dengan jirannya, Malaysia tidak dilanda bencana alam.

Mengenai rasuah, Dr Mahathir berkata orang yang memberi rasuah, juga bersalah seperti orang yang menerimanya.

Menyentuh tentang kekacauan yang berlaku di beberapa negara Islam baru-baru ini berkaitan sebuah filem anti-Islam yang dihasilkan seorang individu di Amerika, Dr Mahathir berkata beliau menyokong kebebasan menyuarakan pendapat, tetapi ia mestilah ada hadnya, terutama tidak melukakan persaan orang lain.

Mengenai ketegangan yang semakin memuncak antara China dan Jepun serta peranan Amerika dalam konflik itu, beliau berkata: "...Perlu ada kesediaan untuk bertolak ansur dan mencapai keseimbangan."

Beliau memberi contoh bagaimana Malaysia berjaya mencapai persetujuan dengan jirannya hasil daripada 'pendirian sewajarnya' yang diambil dalam menangani sesuatu konflik atau isu.

Ketibaan Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ke pejabat perwakilan Malaysia itu disambut duta Malaysia di Washington Datuk Othman Hashim.

Muhammad Afiq Hassan, pelajar dari Stevens Institute of Technology di New Jersey, menyampaikan ucapan alu-aluan bagi pihak pelajar Malaysia. - BERNAMA
GERAKAN masih parti relevan: Tsu Koon

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 September, 2012: Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, GERAKAN masih lagi parti relevan kepada rakyat dan negara walaupun mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu.

Presiden parti itu berkata, GERAKAN menerusi slogan "Satu Hati" perlu meneruskan perjuangan dan berkhidmat untuk rakyat, menyuarakan harapan dan kebimbangan serta menyokong setiap tuntutan mereka yang berasas.

"Apa saja yang wujud di antara kita, marilah kita sama-sama menggerakkan jentera di peringkat akar umbi untuk mendekati rakyat dan meyakinkan mereka untuk mengundi calon GERAKAN dan parti komponen BN yang lain," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Nasional ke-44 Parti Gerakan, di Menara PGRM di sini, pagi tadi.

Sementara itu, Tsu Koon berkata, Pulau Pinang tetap menjadi jantung hati GERAKAN dan akan tetap bekerjasama dengan rakyat di negeri itu dalam mengubah nasib dan hala tuju mereka ke arah yang lebih harmoni.

Beliau berkata, GERAKAN juga menggalakkan penyertaan muka baru yang mempunyai ideologi bernas untuk membawa parti terbabit terus mara ke hadapan di samping menyuntik perubahan besar di kalangan ahli dan parti.
"Jika kita benar-benar bersatu hati, rakyat tentu akan memberi peluang kepada kita untuk memecah angka kosong, malah lebih daripada itu," katanya. - BH
Bajet 2013 seimbang, ambilkira kepentingan semua golongan: Taib

KUCHING, AHAD, 30 September, 2012:: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan Belanjawan 2013 sebagai seimbang dengan mengambil perhatian dan kepentingan semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, Belanjawan itu turut melibatkan golongan yang kurang mendapat
perhatian kerajaan sebelum ini khasnya generasi baru dan muda selain masyarakat perniagaan, sejajar dengan perubahan dalam negara.

Belanjawan kali ini bukan sahaja memberi banyak manfaat kepada rakyat malah juga golongan usahawan serta korporat melalui beberapa inisiatif baru, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Jantung Sedunia di Taman Sahabat di sini, hari ini.

Taib berkata, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan kerana berjaya membentangkan Belanjawan yang selari dengan keperluan rakyat hari ini.

Sementara, ketika berucap pada majlis itu, Taib yang berkongsi amalannya setiap hari iaitu berjalan kaki untuk kekal sihat dan cergas, berkata gaya hidup sihat perlu dijadikan amalan masyarakat hari ini khasnya generasi muda.

"Hari ini saya lihat anak muda hanya banyak mengerakkan hujung jari mereka, jadi mula hari ini kita boleh mulakan amalan dengan berjalan kaki setiap hari untuk kekal cergas," katanya.
Kira-kira 2,000 orang menyertai program Hari Jantung Sedunia itu yang turut membabitkan acara berjalan kaki mengelilingi Taman Sahabat bersama Ketua Menteri dan isteri. - BERNAMA
Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

DUNGUN, AHAD, 30 September, 2012: - Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Paya, Balai Besar dekat sini, hangus dalam kebakaran petang semalam.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun, Penolong Penguasa Bomba Norazizi Che Noh berkata, ketika kejadian pada 3.30 petang, pemilik rumah Abd Jabar Abdullah, 43, seorang kontraktor pendawaian elektrik, sedang bekerja di Paka manakala isteri serta empat anaknya, yang berusia sembilan hingga 15 tahun, berada di rumah nenek mereka di Kampung Batu 5.

"Bomba yang menerima panggilan orang ramai kira-kira jam 3.43 petang bergegas ke tempat kejadian bersama 11 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba Paka. Empat anggota Jabatan Pertahanan Awam turut bergegas ke tempat kejadian.

"Pasukan bomba tiba lapan minit selepas menerima panggilan dan mendapati keseluruhan rumah terbabit telah musnah terbakar, namun mereka berjaya memadamkan kebakaran kira-kira 20 minit selepas itu,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. - BERNAMA

Kukuhkan perpaduansebelum PRU-13 - Hasan
*DRHassan Ali (kiri) dan Mohammad Fairus Khairudin (kanan) serta moderator Sekretariat Orang Muda Selangor, Budiman Zohdi pada majlis Himpunan ke Arah Penyatuan Ummah sesi ke-2 di Auditorium SIRIM Berhad, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM, SABTU, 29 September, 2012: Orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini diminta menggunakan sepenuhnya tempoh yang ada sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) untuk melaksanakan segala usaha bagi mengukuhkan perpaduan di antara mereka.

Permintaan itu disuarakan oleh Presiden Jalur tiga (JATI), Datuk Dr. Hasan Ali ekoran kedudukan orang Melayu yang dilihat semakin berpecah ketika ini terutamanya dari sudut politik kepartian.

Merujuk keadaan Pas ketika ini, beliau berkata, parti pembangkang itu gagal membawa orang Melayu ke arah penyatuan kerana ia telah menjadi seperti 'lembu dicucuk hidung' dan menjadi 'kuda tunggangan' pihak lain apabila menghalalkan apa juga perkara termasuklah membiarkan Islam diperlekehkan oleh orang bukan Islam. - UTUSAN
Sokongan rakyat meningkat

Oleh KASTHURI JEEVENDRAN
KUALA LUMPUR, SABTU, 29 September, 2012: Sokongan yang ditunjukkan rakyat Pulau Pinang terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) semakin positif berdasarkan sokongan serta maklum balas semasa yang diterima parti itu.

Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon berkata, rakyat Pulau Pinang semakin celik selepas melihat corak pemerintahan pembangkang yang hanya memberi kelebihan kepada kelompok tertentu sahaja.

"Sebagai contoh, pemimpin pembangkang sering lantang mendakwa mereka juara dalam memperjuangkan kebebasan media. Yang peliknya, mereka jugalah yang mengamalkan sikap pilih bulu dengan 'mengharamkan' beberapa media arus perdana yang mengkritik kepimpinan mereka.

"Selama 18 tahun saya menjadi Ketua Menteri, saya tidak pernah mengharamkan mana-mana media sama ada kerajaan atau propembangkang. Mereka juga mengancam menyaman media dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-41 di sini hari ini. - UTUSAN
Wanita Gerakan mahu lebih calon wanita tanding PRU-13

KUALA LUMPUR, SABTU, 29 September, 2012: Sayap Wanita Gerakan merayu pucuk pimpinan tertinggi parti itu mempertimbangkan lebih banyak calon wanita bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, ia berikutan pengundi wanita lebih menggemari calon daripada golongan itu sendiri sekali gus menjadi antara faktor kemenangan yang harus diambil kira.

"Dengan meletakan lebih ramai calon wanita, kemungkinan untuk Gerakan menang adalah lebih besar.

"Ini juga untuk memastikan survival Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang," katanya pada sidang akhbar majlis perasmian Persidangan Perwakilan Wanita Nasional ke-25 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Yun.

Terdahulu, dalam ucapannya, Lian Hoe yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengingatkan ahli Wanita parti itu memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon yang dipilih pucuk pimpinan parti. - UTUSAN
Menteri Pertanian cabar FAMA

Oleh MOHD. AZRAIE MD. YUSOF
KUALA LUMPUR, SABTU, 29 September, 2012: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dicabar menghapuskan peranan orang tengah dalam memasarkan hasil pertanian bagi memastikan golongan petani mendapat 60 peratus daripada hasil jualan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, konsep pasaran dari ladang terus ke pasar tanpa melalui orang tengah itu perlu dilaksanakan agar golongan petani mendapat bahagian yang sepatutnya daripada hasil pertanian mereka.

"Sebagai contoh harga sayur bendi, jika di pasaran sekilo harganya RM5, maka petani mesti dapat RM3.

"Sekarang apa yang berlaku jika harganya RM5, petani hanya dapat RM1. Sudah tentu ia mengecewakan golongan petani," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Sambutan 47 Tahun FAMA di sini hari ini.

Hadir sama, isteri beliau Datin Seri Dr. Aishah Salleh, Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Ketua Pengarah FAMA, Ahmad Ishak.

Menurut Noh, hasrat itu boleh dicapai menerusi matlamat FAMA meningkatkan keupayaan infrastruktur pemasaran dengan mewujudkan 1,000 buah Pasar Tani, 1,000 buah Agrobazar Kedai Rakyat, 1,000 buah Gerai Buah-Buahan dan 1,000 usahawan motosikal tiga roda.

"Saya lihat jika perkara ini menjadi kenyataan dalam tempoh dua tahun ini, peranan FAMA dalam memastikan konsep pasaran dari ladang terus ke pasar tanpa melalui orang tengah akan tercapai," katanya.

Dengan konsep tersebut juga, kata beliau, ia akan menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian terutama golongan siswazah.

Lebih-lebih lagi, tambahnya, dengan kewujudan Kelab Siswazah Tani (MyAgrosis) pelbagai faedah dan kemudahan yang disediakan kerajaan dapat membantu golongan tersebut membina kerjaya dalam bidang pertanian.

Noh turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperuntukkan insentif dan subsidi kepada golongan petani, penternak dan nelayan sebanyak RM2.4 bilion melalui Bajet 2013 yang dibentangkan semalam.

"Kali ini, kumpulan penanam padi juga mendapat perhatian kerajaan apabila Najib mengumumkan pemberian skim insurans takaful kepada mereka.

"Sebelum ini, jika penanam padi menghadapi masalah seperti padi diserang penyakit atau banjir, kerajaan hanya membayar sagu hati, namun dengan insurans tersebut, mereka akan mendapat ganti rugi sehingga RM13,000," katanya. - UTUSAN
Peluang kerja generasi muda
*Khairy Jamaluddin (kanan), Mohamad Hasan (kiri) memerhatikan Mohd. Azrul Ahmad mengisi butiran peribadi untuk mencari peluang kerja pada program BN Youth Job Fair peringkat Negeri Sembilan di Senawang, Rasah, semalam. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID
Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
RASAH, SABTU, 29 September, 2012: Pemuda Barisan Nasional (BN) yakin program BN Youth Job Fair yang diadakan di beberapa tempat sebelum ini mampu menjadi platform terbaik menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda terutama yang baru menamatkan pengajian.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, program itu yang sebelum ini diadakan di ibu negara dan di Sabah juga membuka peluang kepada semua golongan masyarakat mencari pekerjaan lebih baik dalam meningkatkan sosioekonomi mereka.

"Ini adalah salah satu usaha Pemuda BN yang bergerak terus mendekati golongan sasar dalam yang mana menerusi program di negeri ini sahaja sebanyak 5,620 peluang pekerjaan ditawarkan kepada mereka," katanya. - UTUSAN 
30 tahun tidak pernah nikmati air bersih

MACHANG, SABTU, 29 September, 2012: Sangat menyedihkan. Namun itulah hakikat yang terpaksa ditelan kira-kira 4,000 penduduk di tujuh buah kampung di sini yang tidak pernah menikmati bekalan air bersih sejak 30 tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut, penduduk kampung terlibat terpaksa mengunakan air takungan semula jadi dari bukit Lubuk Lesung di sini untuk hidup dan kegunaan harian.

Penduduk juga bergotong-royong untuk membina paip di kawasan bukit berkenaan untuk memudahkan penyaluran air ke rumah mereka.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Jenerih Bongkok, Pangkal Nering Timur, Kuala Merabang, Bukit, Paradong, Merbau Condong dan Bukit Jong.

Penderitaan mereka selama ini langsung tidak pernah diberi perhatian oleh kerajaan negeri walaupun ia merupakan tanggungjawab mereka. - UTUSAN
Dr. Mahathir menjadi inspirasi - Nazek
*DR. MAHATHIR Mohamad menerima Anugerah Peringatan Rafik Hariri PBB-Habitat
2012 yang disampaikan oleh Nazek Rafik Hariri di New York, malam kelmarin.
NEW YORK, SABTU, 29 September, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima Anugerah Peringatan Rafik Hariri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Habitat 2012 pada satu majlis di Perpustakaan Awam di sini malam tadi.

Anugerah itu disampaikan Nazek Rafik Hariri, balu pemimpin itu yang merupakan Presiden Yayasan Rafik Hariri.

Dr. Mahathir, 87, dinamakan sebagai pemenang anugerah itu pada Jun oleh jawatankuasa pemandu bagi mengiktiraf kepimpinan, kenegarawan dan tadbir urus baik beliau.

Anugerah itu, yang dinamakan sempena Perdana Menteri Lebanon, Rafik Hariri, yang sudah meninggal dunia, diwujudkan oleh keluarga Hariri dengan kerjasama PBB-Habitat menerusi Yayasan Rafik Hariri sejak Mac 2009 dan diberi kepada individu, pertubuhan serta institusi di seluruh dunia bagi mengiktiraf pencapaian penting seperti kepimpinan, kenegarawan dan tadbir urus baik selain aktiviti kebajikan dalam membanteras kemiskinan bandar dan pelaksanaan Agenda Habitat.

Dr. Mahathir merupakan penerima kedua selepas Perdana Menteri, Turki Recep Tayyip Erdogan.

Dr. Mahathir mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Rafik Hariri dan PBB-Habitat kerana memberikan anugerah berprestij itu kepada beliau tahun ini.

"Saya anggap ia satu penghormatan besar khususnya kerana anugerah ini dinamakan sempena seorang yang luar biasa serta memiliki kualiti kepimpinan dan sumbangan yang tiada tandingan," katanya.

Beliau berkata, tanpa budaya perkongsian di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, selain cintakan keamanan serta kestabilan, Malaysia tidak akan mampu mencapai kejayaan yang dikecapinya hari ini.

"Saya kenal Rafik Hariri ketika beliau pertama kali melawat Malaysia. Kami serta-merta menjadi rakan karib dan saya melawat Lebanon atas jemputan beliau bagi melihat sendiri kerosakan yang dialami akibat perang saudara. Rafik berjanji beliau akan membina semula Beirut seperti keadaan asalnya sebelum dilanda peperangan, dan beliau telah mengotakan janjinya.

"Saya melawat Beirut selepas pemulihannya dan yakin masa depan yang gemilang menanti Lebanon di bawah kepimpinan Rafik. Ada banyak sebab saya menyukai beliau. Saya berhasrat memajukan Malaysia seperti keinginan beliau membangunkan Lebanon. Namun, beliau agak malang kerana tidak memiliki negara yang stabil seperti Malaysia. Beliau juga tidak berkesempatan untuk berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Nazek dalam ucapan berkata, Dr. Mahathir merupakan idola dan menjadi inspirasi kepada semua orang, bagaimana tekad serta visi beliau mampu menjadikan impian suatu realiti dan mana-mana negara sekalipun mampu mencapai masa depan yang cerah menerusi keyakinan serta kerja keras.

"Di bawah kepimpinan anda yang bijaksana, Malaysia berjaya memainkan peranan penting dalam peta dunia dan sehubungan itu, PBB-Habitat dan Yayasan Rafik Hariri dengan bangga mengiktiraf pencapaian Malaysia dan bekas Perdana Menterinya yang cemerlang," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha PBB dan Pengarah Eksekutif PBB-Habitat, Dr. Joan Clos berkata, Dr. Mahathir mengelola pembangunan ekonomi dalam tempoh yang luar biasa bagi inovasi sosial dan teknologi bandar.

"Kehidupan dan kerjaya Dr. Mahathir menunjukkan beliau berpegang kepada prinsip berpandangan jauh ke depan. Dengan membuat pelaburan dalam infrastruktur fizikal, teknologi dan pengetahuan, beliau juga lebih banyak mendahului zamannya," katanya.

Clos juga berkata, usaha Dr. Mahathir menghasilkan pembangunan pesat di bandar utama Malaysia, selain mengubah negara yang bergantung terhadap pertanian kepada ekonomi bandar yang memfokuskan industri. - BERNAMA
Rakyat berterima kasih
*PEMINAT CILIK: Datuk Seri Najib Tun Razak mengusap kepala seorang kanak-kanak yang dijulang oleh bapanya pada pada Program Jelajah Janji Ditepati di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Negeri Sembilan, semalam.- MINGGUAN/ MD.SHAHJEHAN MAAMIN
KUALA LUMPUR, SABTU, 29 September, 2012: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan Bajet 2013 kali ini adalah yang terbaik dan komprehensif kerana mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, Bajet 2013 memberi tumpuan kepada semua golongan terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pemberian bantuan kepada golongan bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah menjadi antara contoh keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

“Bajet ini juga membuktikan kerajaan mengambil berat mengenai sektor pendidikan khususnya di kawasan luar bandar. Saya yakin rakyat sudah faham mengenai komitmen kerajaan yang sentiasa menepati janji," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tentang Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam.

Bajet 2013 melibatkan peruntukkan berjumlah RM251.6 bilion iaitu meliputi RM201.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Dalam pada itu, Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berpendapat, bajet kali ini adalah sangat bertanggungjawab dan selaras dengan tema ‘Janji Ditepati’.

“Saya agak terkejut apabila Perdana Menteri mengumumkan projek untuk mengindahkan Sungai Klang berjumlah RM500 juta sedangkan ia berada di bawah tanggungjawab kerajaan pembangkang.

“Ini membuktikan kerajaan hari ini berjiwa besar untuk membangunkan negara. Saya pasti pihak pembangkang terpukul dengan bajet ini kerana ketika mereka terkial-kial mahu menunaikan janji pilihan raya umum lalu, kerajaan dengan segak dan bergaya telah melaksanakan apa yang dijanjikan sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, menurut Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah, Bajet 2013 dapat membantu golongan usahawan dan peniaga kecil khususnya menerusi skim perlindungan insurans berkelompok sehingga RM5,000 kepada golongan tersebut.

“Kami yakin ia memberi banyak manfaat kepada mereka, cuma pelaksanaannya perlulah dipastikan menyeluruh," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, golongan belia merupakan antara kumpulan yang mendapat banyak manfaat daripada pembentangan bajet kali ini.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM738 juta untuk Kementerian Belia dan Sukan," katanya. - UTUSAN
Jangan tertipu dengan DAP - Tunku Aziz
 
MUKADIMAH
KEMESRAAN jelas terpancar pada air muka TUNKU ABDUL AZIZ IBRAHIM semasa menyambut ketibaan kami pada petang Khamis lalu di kediamannya.

Kehadiran kami pada petang itu juga menamatkan penantian sekian lama iaitu sebelum beliau bertindak keluar DAP lagi, dalam usaha mendapatkan mewawancara eksklusif bersamanya.

Namun sosok tubuh yang dilahirkan pada tahun 1934 di Alor Setar ini nyata bersikap terbuka dalam banyak perkara tetapi apabila melibatkan beberapa pemimpin dalam DAP sikapnya bertukar sinikal.

Pengalaman hidupnya penuh integriti dan karisma. Pernah menjadi penasihat di Bank Negara, Pengarah di Sekretariat Komanwel di London, ahli lembaga di Institut Etika Awam Antarabangsa serta Penal Penasihat Program Pembangunan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malah beliau pernah berkhidmat sebagai Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung PBB, Kofi Anan dalam membantu menubuh Pejabat Etika (Office Ethics) di sana.

Namun beliau mengakui akhirnya adalah satu kesilapan besar dalam hidupnya kerana menyertai politik apatah lagi DAP.

“Ia adalah satu kesilapan besar saya untuk menyertai politik sebenarnya. Saya bukan seorang ahli politik. Jiwa saya bukan jiwa orang politik.

“Saya menyertai DAP kerana mereka mendakwa mereka sebuah parti pelbagai kaum namun sebenarnya jauh tersasar," katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID dan KASTHURI JEEVENDRAN.

Selain itu beliau turut mencurah segala isi hatinya tentang DAP sejak awal kemasukannya hinggalah peranannya yang dilihat tidak lebih seperti simbol untuk menunjukkan bahawa orang Melayu yang juga berketurunan raja juga boleh menyertai DAP.

“Saya dan Karpal sebenarnya tidak mempunyai sebarang peranan dalam DAP walaupun kami memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi dan Pengerusi DAP," kata beliau sambil merenung jauh memikirkan sesuatu.
MINGGUAN: Bagaimana Tunku boleh terlibat dengan politik terutama dalam DAP sedangkan latar belakang Tunku sangat menarik?

TUNKU AZIZ: Ia adalah satu kesilapan besar saya untuk menyertai politik sebenarnya. Saya bukan seorang ahli politik. Jiwa saya bukan jiwa orang politik. Saya menyertai DAP kerana mereka mendakwa mereka sebuah parti pelbagai kaum namun sebenarnya jauh tersasar. Pada pendapat saya, sebagai rakyat di negara ini, kita tidak boleh hidup sebagai satu kaum sahaja. Kita harus hidup dalam berbilang kaum dan belajar menerima setiap kaum yang berbeza dengan seadanya. Integrasi nasional adalah sangat penting. Kita tidak akan sesekali dapat hidup di bawah satu bumbung tanpa bertolak ansur dengan setiap kaum di negara ini. Ketika itu, saya merasakan DAP lebih sesuai dengan jiwa saya. Apatah lagi mereka telah berjanji untuk memberikan saya platform untuk memerangi rasuah.

Itulah kerjaya saya seumur hidup iaitu memerangi rasuah. Tawaran tersebut membuatkan saya menyertai mereka. Tetapi biasalah, mereka cakap lain tapi lain yang mereka buat. Apabila hampir dua bulan saya masuk, saya sudah sedar ini bukan tempat saya iaitu politik mahupun DAP. Saya mengambil keputusan untuk keluar parti pada tahun 2009 selepas dua bulan bersama mereka. Tetapi tindakan ini tidak disenangi oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Beliau telah memujuk saya supaya jangan keluar. Demi seorang sahabat, Kit Siang pada saya merupakan seorang pejuang yang telah berjuang bermati-matian selama berpuluh tahun. Saya kenal Kit Siang sudah berpuluh tahun juga. Saya tidak kembali kepada DAP kerana saya telah dijanjikan sebarang habuan oleh mereka. Saya masuk kembali kerana pujukan seorang kawan lama yang saya hormati.

Jadi tidak timbul isu bahawa Tunku dijanjikan habuan dan sebagainya?

TUNKU AZIZ: Saya tidak pernah minta apa-apa dan mereka juga tidak berjanji apa-apa untuk saya. Saya sendiri sudah berumur, saya tidak mempunyai niat untuk memegang apa-apa jawatan atau kerusi untuk bertanding. Kecuali jika mereka mahu saya bertanding untuk parti, mungkin saya akan lakukan. Tetapi saya tidak pernah masuk DAP untuk jawatan atau habuan lain. Saya bukan mahu berbangga diri tetapi saya telah berjaya dalam hidup saya sehingga dikenali di seluruh dunia. Itu bukan kerana DAP tetapi kerana penglibatan saya dalam kerjaya saya sepanjang hidup saya terutamanya dalam bidang rasuah dan integriti. Apa yang DAP boleh beri kepada saya? Walaupun saya minta, apa yang mereka ada.

Mereka itu pembangkang. Apa yang mereka boleh beri sebenarnya? Saya hanya masuk ke dalam parti itu kerana rasa ‘tertipu’ dengan agenda mereka sebagai parti pelbagai kaum. Kononnya mereka itu parti untuk semua. Kononnya perjuangan mereka itu untuk seluruh rakyat Malaysia. Perjuangan untuk kaum Melayu, untuk kaum Cina dan kaum India. Tetapi itu cuma retorik sahaja. Sehingga ini pun, apa yang telah mereka perjuangkan untuk orang Melayu dan orang India, selain beri RM100 sekali seumur hidup kepada mereka. DAP pun sekiranya mereka bijak, sudah tentu mereka jadikan saya duta dalam hal berkaitan etika. Agaknya mungkin mereka sendiri tahu jika lantik saya duta dalam hal ehwal etika dan integriti, mereka adalah sasaran kritikan saya yang utama.

Mengapa Tunku tidak memilih PKR atau Anwar Ibrahim sebagai platform politik dan sebagai kawan?

TUNKU AZIZ
: Sebenarnya, saya tidak pernah berasa selesa dengan Anwar sejak mula lagi. Saya tidak pernah berniat dari mula untuk berkenalan dengan beliau. Sama seperti kita memilih kawan, kita akan berhati-hati ketika memilih kawan. Saya lebih berasa selamat dan selesa dengan Kit Siang dan Karpal Singh. Anwar sungguh berlainan. Saya tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap beliau.

Mengapa Tunku meninggalkan DAP?

TUNKU AZIZ:
Mereka telah memberi gambaran jelas kepada saya bahawa mereka bukan demokratik. Pada awalnya, saya fikir mereka adalah sebuah parti demokratik tetapi itu bukanlah satu kebenaran. Kononnya mereka mengamalkan budaya kebebasan bersuara. Macam-macamlah mereka kata seolah-olah mereka juara dalam semua perkara. Semua yang dikatakan hanyalah retorik semata-mata. Apabila berhadapan dengan realiti, mereka tidak lakukan apa yang mereka cakap sebelum ini. Itulah parti DAP. Lihat sahaja contoh Datuk Mansor, kononnya kebebasan bersuara adalah dibenarkan dalam DAP. Betulkah? Sehingga paksa untuk menafikan apa yang diperkatakan. Mungkin Mansor juga mula sedar realiti tersebut. Saya tinggalkan DAP kerana kenyataan saya telah menyusahkan dan mengundang rasa tidak gembira di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat. Tetapi seingat saya, saya bukan pemimpin atau ahli PKR atau Pas.

Apa yang telah menggores hati mereka? Kit Siang datang ke rumah saya selepas kejadian tersebut, beliau mengadu kepada saya bahawa kenyataan itu telah membuatkan saya dalam bahaya. Tetapi saya telah ingatkan beliau, apa yang telah saya katakan kepadanya beberapa tahun dahulu tentang parti tersebut yang kononnya demokratik dan mengamalkan kebebasan bersuara. Tetapi apabila saya meluahkan apa yang rasa betul, Kit Siang tidak sesekali membela saya. Katanya mereka memperjuangkan kebenaran dan kebebasan. Apa wujud kebebasan bersuara di situ? Saya tidak nampak. Beliau telah mengecewakan saya sebenarnya. Melalui kejadian ini juga saya membuat keputusan, pemimpin-pemimpin dalam parti ini tidak boleh dipercayai. Itu adalah sebab mengapa saya membuat keputusan muktamad untuk keluar.

Sekarang ini mereka kata pula Tunku pengkhianat dan sudah dibeli kerana dilihat menyokong transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri?

TUNKU AZIZ:
Kini terdapat segelintir manusia yang tidak tahu hujung pangkal bertindak mengkritik saya selepas keluar DAP. Kata mereka, saya keluar kerana tidak mendapat habuan seperti yang dijanjikan oleh mereka sehingga menjadi orang UMNO. Apa sebenarnya yang saya minta dari DAP hingga tidak dapat? Jika benar saya berminat dengan sebarang habuan, ketika masih muda lagi saya akan menyertai UMNO. Mereka yang memerintah. Kenapa pula selepas saya sudah berumur dan mencapai pelbagai kejayaan barulah saya berminat dengan UMNO. Kononnya Tunku Aziz sudah dibeli mereka. Jawatan Senator ini pun, bukan saya minta dan ia diberi kepada saya. Selepas penggal pertama, Kit Siang dan anaknya, Guan Eng yang memperbaharui penggal baru jawatan tersebut. Saya tidak pernah mengemis jawatan kepada mereka. Saya tidak pernah mengemis atau dalam erti kata lain, tidak ada sesiapa yang boleh ‘membeli’ saya. Sebenarnya, saya hanya mempunyai masalah dengan cara parti tersebut dipimpin oleh beberapa orang. Prinsip parti itu telus tetapi kepimpinan itu yang salah.

Apakah pandangan Tunku terhadap Lim Guan Eng? Bagaimana hubungan Tunku dengan beliau?

TUNKU AZIZ:
Guan Eng memang pandai pusing memusing. Saya kata dengan beliau, saya tidak dapat menerima jika sesuatu perkara itu melanggar undang-undang. Tapi beliau kata lain kepada umum, tukar cerita kata Tunku Aziz sebenarnya menentang Bersih. Perkara sebenar beliau senyapkan. Orang ingat saya anti hak asasi manusia. Itu tidak benar. Guan Eng telah putar belit cerita demi kepentingan beliau berhubung perhimpunan Bersih. Saya tidak nampak mana salah saya yang menyatakan tidak mahu sesuatu perhimpunan yang melanggar undang-undang.

Tidak cukup dengan itu, apabila akhirnya saya membuat keputusan muktamad keluar DAP, Guan Eng mempergunakan orang lain untuk berhubung dengan saya. Beliau mahu saya menarik kata-kata saya berhubung isu Bersih, manusia apa dia ni? Saya tidak akan sesekali menjatuhkan maruah diri sendiri untuk manusia seperti itu.

Pada pandangan Tunku apakah perkara sama yang berlaku kepada Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman?

TUNKU AZIZ:
Perkara sama terjadi kepada Datuk Mansor. Walaupun TV3 ada bukti rakaman audio yang jelas malah kita semua tahu suara itu milik Mansor, namun dia masih enggan mengaku. Jika anda seorang pemimpin, anda haruslah mengaku jika anda fikir tidak betul. Ini tidak, kita juga telah saksikan ketika sidang akhbar berhubung perkara tersebut, Guan Eng menulis sesuatu dalam kertas dan memberikan kepada Mansor supaya membacanya di hadapan media. Apakah Mansor tidak menggunakan otaknya sendiri? Itulah sikap sebenar seorang pemimpin yang lemah. Saya telah berhadapan dengan Guan Eng dengan berani. Apa yang hendak ditakutkan dengan beliau? Tidakkah ini menunjukkan Guan Eng begitu berkuasa?

Apakah Tunku bersetuju bahawa Guan Eng adalah seorang pemimpin yang bongkak dan hanya mementingkan parti sendiri dalam Pakatan Rakyat?

TUNKU AZIZ:
Guan Eng adalah seorang manusia yang bukan sahaja bongkak dan sombong malah merupakan seorang yang suka mengambil pujian atas hasil usaha orang lain tanpa sedikit pun perasaan bersalah. Lihat sahaja apa yang sedang berlaku di Pulau Pinang. Beliau mengaku dan menerima pujian untuk kemajuan yang berlaku di sana. Dengan perbuatan sebegitu, apakah beliau menidakkan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu yang sudah tentu melibatkan warga Pulau Pinang sendiri? Apakah Pulau Pinang hanya maju di bawah DAP dan Guan Eng? Pulau Pinang memang sudah lama maju sebelum zaman Guan Eng lagi. Apa yang ironinya, Guan Eng sendiri bukan dari Pulau Pinang tapi bercakap seolah-olah dia lahir dan membesar di sana. Kemudian dia menggambarkan apabila menjadi Ketua Menteri, barulah Pulau Pinang itu wujud dan mula maju. Tapi adalah menjadi amalan beliau untuk mengambil semua pujian manakala kesilapan pula melibatkan orang lain. Itu bukan sesuatu yang bijaksana tetapi hanya mementingkan diri sendiri. Beliau juga jenis yang tidak boleh menerima kritikan dan suka menyalahkan orang lain. Sehingga hari ini, sekiranya ada perkara yang tidak disenangi oleh masyarakat Pulau Pinang, dengan segera beliau menyalahkan Ketua Menteri terdahulu, Tan Sri Koh Tsu Koon. Jika tidak menyalahkan seseorang, maka beliau bukan Guan Eng. Adalah sudah menjadi kebiasaan, untuk menyaman dan mengkritik orang lain.

Lihat sajalah bagaimana beliau mahu menukar nama Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kepada Lapangan Terbang P. Ramlee? Ada kena mengenakah? Bukankah kita sudah ada nama Jalan P. Ramlee? Kita juga ada muzium untuk beliau. Mengapa mahu tarik seniman agung seperti beliau dalam arena politik? Sekiranya dia benar-benar ikhlas, saya cadangkan kepada beliau untuk membantu keluarga P.Ramlee yang dihambat kemiskinan. Bantu mereka. Berilah wang pencen kepada anak-anak mereka yang miskin itu. Bantulah keluarga mereka yang masih hidup. Beliau mempunyai peluang untuk menukar nama tersebut empat tahun dahulu tetapi beliau sebenarnya sengaja mahu memalukan kerajaan Malaysia. Itulah agenda beliau. Jika benar beliau ikhlas tolonglah bantu keluarga P. Ramlee baru masyarakat akan menghormati Guan Eng kerana berjiwa rakyat bukan dengan mempolitikkan semua perkara.

Apakah orang Melayu boleh berharap kepada DAP untuk membela nasib mereka?

TUNKU AZIZ:
Sekiranya orang Melayu yang menyertai DAP merasakan parti tersebut akan membela nasib mereka, anda memang salah. Sehingga kini, tidak ada bukti yang mereka telah dan akan memperjuangkan nasib orang Melayu.

Mengapakah agaknya DAP berminat untuk mengambil Tunku bersama mereka?

TUNKU AZIZ: Mereka hanya berminat dengan kemelayuan saya. Saya hanyalah dianggap sebagai simbol bagi masyarakat Melayu manakala Karpal Singh simbol untuk kaum India. Saya dan Karpal sebenarnya tidak mempunyai sebarang peranan dalam DAP walaupun kami memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi dan Pengerusi DAP. Mereka berminat mempergunakan saya untuk memancing undi orang Melayu. Secara hakikatnya, saya sendiri tidak pasti apakah peranan saya selain menjadi alat untuk agenda tersembunyi mereka.

Sama keadaannya apabila saya berminat untuk membantu DAP membawa masuk orang Melayu pada awal kehadiran saya dalam DAP, mereka kemudian seolah-olah sengaja melengah-lengahkannya. Mereka sebenarnya tidak berminat untuk membantu saya memperjuangkan orang Melayu. Cukuplah saya seorang sebagai simbol untuk terus mendapatkan sokongan tanpa saya melakukan apa-apa. Kerana itulah, saya telah dua kali membuat cubaan keluar daripada parti tersebut. Kali ketiga, keputusan saya sudah muktamad.

Siapa pada pendapat Tunku lebih berkuasa, adakah Kit Siang atau Guan Eng? Bagaimana pula dengan peranan Karpal Singh?

TUNKU AZIZ: Sudah tentu jawapannya adalah Kit Siang. Kit Siang yang lebih berkuasa dan dominan dalam membuat percaturan politik dalam parti manakala anaknya, Guan Eng akan mengikut rentak bapanya kerana Kit Siang memang bijak. Kuasa sepenuhnya masih milik Kit Siang. Kebanyakan keputusan berkaitan akan diambil oleh Kit Siang dan bukannya Guan Eng. Selalunya dalam mesyuarat, Kit Siang akan lebih berminat untuk menjadi pemerhati daripada membuka mulut. Beliau akan bersikap rendah diri. Dinasti Lim sangat berkuasa dan berpengaruh dalam DAP.

Karpal juga tidak memainkan apa-apa selain menentang hudud bagi pihak dinasti Lim. Tetapi Karpal adalah seorang pemimpin yang berkaliber. Apa yang beliau katakan satu ketika dulu akan sentiasa diulang, tidak ada sebarang manipulasi. Tetapi adalah menyedihkan kerana beliau tidak mempunyai kuasa dalam parti tersebut. Ada ramai lagi pemimpin yang sungguh berkaliber dan berpotensi dalam parti tersebut yang saya tidak dapat nafikan. Cuma saya tidak akan sesekali berkompromi dengan melanggar undang-undang. Saya sesekali tidak akan bersetuju dengan perkara tersebut. - UTUSAN
Bajet 2013 iktiraf jasa tentera

Oleh AIN SAFRE BIDIN
\BAGAN DATOH, SABTU, 29 September, 2012: Pelbagai insentif yang diberikan kepada pegawai, anggota serta pesara tentera dalam Bajet 2013 adalah simbol pengiktirafan kerajaan terhadap jasa dan sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bajet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam juga membuktikan golongan tentera tidak pernah terlepas daripada perhatian kerajaan.

''Golongan tentera sentiasa mendapat perhatian dalam bajet. Cuma kali ini ia lebih bersifat menyeluruh. Bukan sahaja kepada pegawai dan anggota, tetapi juga kepada pesara tentera," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Negeri Perak 2012 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini hari ini.

Najib ketika membentangkan Bajet 2013 semalam mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM200 sebulan berkuat kuasa 1 Januari ini untuk seramai 125,708 pegawai dan anggota ATM melibatkan peruntukan sebanyak RM301 juta.

Bagi menghargai peranan pasukan simpanan ATM pula, kerajaan bersetuju menyelaras elaun khidmat bertugas daripada RM4 sejam bagi anggota biasa kepada RM6 sejam dan pegawai dinaikkan kepada RM7.80 sejam.

Perdana Menteri berkata, sebagai membalas jasa bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen, kerajaan bersetuju memberi sumbangan RM1,000 secara sekali bayar kepada mereka.

Ahmad Zahid berkata, keprihatinan kerajaan terhadap golongan tentera juga terserlah melalui pelaksanaan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok untuk anggota tentera yang sedang berkhidmat dengan peruntukan mencecah RM12 juta.

''Begitu juga dengan penambahbaikan skim perkhidmatan ATM yang memberi kelegaan kepada golongan tentera. Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mendengar rintihan dan permasalahan golongan tentera," katanya. - UTUSAN
PM lancar PR1MA pertama di Seremban
 *NAJIB Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor diberi penerangan oleh Mohamad Hasan ketika melawat model projek Bandar Sendayan sempena Program Jelajah Janji Ditepati di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Negeri Sembilan, semalam. Turut sama isteri Menteri Besar, Raja Salbiah Tengku Nujumuddin (tengah). - BERNAMA
SEREMBAN, sabtu, 29 September, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang pertama di bandar ini.

PR1MA Seremban bakal dibina di empat lokasi strategik yang menawarkan sebanyak 5,700 unit rumah mampu milik terdiri daripada rumah teres dua tingkat dan unit kediaman bertingkat.

Kerja-kerja bagi fasa satu akan dimulakan pada suku pertama tahun depan yang mana 1,200 unit rumah akan dibangunkan di Seremban Utara.

Lokasi lain yang telah dikenal pasti ialah Seremban 2, Senawang dan Rasah.

Majlis pelancaran itu dibuat pada program Jelajah Janji Ditepati di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi dekat sini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin.

Pada pelancaran itu, Najib juga membuat lawatan ke pameran PR1MA untuk meninjau dengan lebih dekat satu ciri unik rumah berkenaan iaitu lorong belakang hijau atau taman komuniti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Unit PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias, oleh kerana perumahan PR1MA adalah komuniti berpagar, pembinaan taman komuniti itu diharap memupuk interaksi di kalangan jiran dan menggalakkan lebih banyak aktiviti komuniti.

Beliau berkata, PR1MA Seremban bakal setanding dari segi kualiti dengan rumah gaya hidup para pemaju swasta tetapi pada harga yang mampu dimiliki oleh lebih banyak peringkat rakyat.

"Unit-unit ini akan yang akan dibuka untuk jualan pada permulaan suku pertama tahun depan, dijangka siap dan sedia didiami menjelang 2015," katanya ketika ditemui selepas pelancaran tersebut.

Tambah beliau, pada masa ini, pihaknya menerima pendaftaran daripada orang ramai yang mengisi borang disediakan di tapak program jelajah berkenaan.

"Bagaimanapun, pada penghujung tahun ini, kami bercadang untuk melaksanakan sistem pendaftaran secara dalam talian sebagai kemudahan kepada orang ramai," katanya. - UTUSAN
Program usahawanan bestari bantu ekonomi
*MUHYIDDIN Yassin melancarkan KFC Qu Card (gambar kecil) sempena Karnival Bistari 2012 di Putrajaya, semalam. Turut sama (dari kiri) Ayob Mion, Kamaruzzaman Abu Kassim dan Ab. Rahim Md. Noor. - BERNAMA
PUTRAJAYA, SABTU, 29 September, 2012: Timbalan Perdana Menteri menyifatkan program keusahawanan bestari penting bukan hanya untuk menyemai nilai murni inovatif, kreatif, semangat kerjasama dan berdaya saing tetapi mampu mengurangkan kebergantungan terhadap sektor awam.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengurangan kebergantungan itu secara tidak langsung akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Program keusahawanan bestari turut mampu membentuk budaya minat kepada bidang tersebut dalam kalangan pelajar seterusnya berupaya melahirkan lebih ramai usahawan berpotensi dan modal insan berkualiti pada mada hadapan.

"Jadi penyertaan para pelajar dengan bimbingan guru-guru bestari mampu membentuk persepsi yang baik terhadap bidang keusahawanan sekali gus menjadikan bidang itu satu kerjaya," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Karnival Bistari 2012 dan melancarkan KFC QU Card di sini hari ini.

KFC Qu Card merupakan kad prabayar yang memudahkan transaksi harian untuk pembelian produk KFC dan juga transaksi online pembelian barangan di 750 perniagaan KFC.

Turut hadir pada majlis itu ialah (dari kiri) Pengerusi KFC Holdings (Malaysia) Berhad, Datuk Ayob Mion, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation, Kamaruzzaman Abu Kassim dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor.

Menyentuh tentang karnival itu, Muhyiddin berkata, ia sejajar dengan visi kerajaan menjayakan program transformasi ekonomi dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Penganjuran program seumpama itu adalah amat wajar kerana ia merupakan suatu inisiatif yang berpandangan jauh. Kita tidak akan dapat sampai ke destinasi yang dihajati sekiranya tidak memulakan langkah pertama," katanya. - UTUSAN
Pembangkang rasa tercabar

SEREMBAN, SABTU, 29 September, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pakatan pembangkang berasa tercabar apabila kerajaan memilih slogan ‘Janji Ditepati’ termasuk ketika beliau membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat, semalam.

Kata Perdana Menteri, keadaan itu berlaku kerana pembangkang sedar janji-janji yang ditabur mereka tidak mungkin dapat ditunaikan.

“Apabila kita pilih tema Janji Ditepati, mereka melenting sebab tahu janji mereka tidak boleh ditunaikan. Barisan Nasional (BN) tidak janji perkara yang tidak boleh ditunaikan, kita berpijak di bumi nyata," katanya ketika berucap pada majlis ‘Jelajah Janji Ditepati’ di Stadium Belia dan Sukan Paroi di sini hari ini.

Lebih 20,000 anggota masyarakat dari seluruh pelosok negeri memeriahkan majlis itu yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Pada majlis itu Najib turut melancarkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Seremban yang bakal dibina di empat lokasi strategik membabitkan pembinaan kira-kira 5,000 unit rumah dalam tempoh dua tahun.

Najib berkata, pemilihan nama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang diumum dalam Bajet 2013 juga merupakan satu sindiran kepada pembangkang ekoran menganjurkan Bersih 2.0.

“Kita namakan BR1M 2.0 sebenarnya satu sindiran sebab pembangkang anjur Bersih 2.0 yang langsung tidak bersih, tetapi kita bagi BR1M untuk kesejahteraan rakyat.

“Kalau negara kita makmur, kerajaan akan kongsi kejayaan dengan rakyat, jadi rakyat mesti yakin kerajaan sentiasa fikir apa yang telah dan yang baru akan dilakukan untuk rakyat," katanya.

Perdana Menteri mengaku selepas membentangkan Bajet 2013 semalam, banyak perkara yang difikirkannya terutama mengenai petikan surah Al-Baqarah yang beliau baca kerana membawa makna yang sangat mendalam.

Surah yang menekankan kepada melakukan kebaikan itu, katanya, sangat signifikan dengan apa yang dilakukan kerajaan, iaitu berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dan bukannya menabur fitnah, mencerca dan jauh sekali tidak menunaikan janji.

“Atas dasar itu rakyat terus meletakkan keyakinan dan menyokong kerajaan pimpinan BN walaupun selepas 55 tahun merdeka dan melalui 12 kali pilihan raya umum.

“Hubungan yang saya anggap sebagai wa’ad antara kerajaan dan rakyat ini tidak mudah diputuskan dengan fitnah yang dilemparkan kerana rakyat yakin hanya satu kerajaan yang boleh menepati janji iaitu kerajaan BN," katanya.

Najib menjelaskan, Bajet 2013 bukan langkah untuk membeli undi rakyat tetapi merupakan komitmen kerajaan bagi memakmurkan negara.

Beliau berkata, kerajaan tidak harus dituduh bersifat populis kerana berjaya mencipta pelbagai kejayaan dan menunaikan janji yang diberi kepada rakyat.

Katanya, pelbagai dasar dan perbelanjaan yang dilaksana untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi sehingga negara mampu mencatat perkembangan memberangsangkan ketika dunia berdepan kemelut ekonomi, merupakan antara kejayaan besar kerajaan selain penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV) yang mencatat Terbitan Saham Awal (IPO) kedua tertinggi selepas Facebook.

“Ini kebanggaan kita, jadi kita tak boleh dituduh sebuah kerajaan yang bersifat populis.

“Kerajaan yang bersifat populis adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab, yang menjanjikan perkara-perkara yang tidak mungkin dapat dilaksanakan," katanya.- BERNAMa

Perkasa desak buat penjelasan

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR, SABTU, 29 September, 2012: Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dan peguam Razak Baginda, M. Puravalen didesak membuat penjelasan sama ada pertemuan mereka pada 2 Julai 2008 dibiayai Pengarah MKini Dotcom, Harlan M. Mandel dan penyangak mata wang berketurunan Yahudi, George Soros.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim (gambar) berkata, mereka juga perlu membuat penjelasan sama ada kos kegiatan komplot fitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu turut dibiayai sepenuhnya dua individu berkenaan.

"Ini termasuk kos perjalanan dan sara hidup penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam.

"Rakyat Malaysia perlu tahu siapakah pihak yang terlibat dalam membiayai segala agenda memburukkan negara, kerajaan dan pemimpin-pemimpin sepanjang dekad ini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, pengendali portal propembangkang, Raja Petra Kamaruddin mendedahkan akuan bersumpah Balasubramaniam yang menuduh Najib terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya dirancang pihak tertentu termasuk beberapa pemimpin pembangkang.

Raja Petra juga mendakwa, Sivarasa yang merupakan antara pemimpin Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berperanan bersama seorang peguam di sebalik akuan bersumpah itu bagi memfitnah Najib dan perkara tersebut diketahui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Raja Petra turut mengaku menemui Balasubramaniam pada 2 Julai 2008 iaitu sehari selepas akuan bersumpah itu dibuat.

Ruslan berkata, umum mengetahui Soros merupakan individu yang membiayai Suaram sekali gus boleh dianggap seperti pemilik Suaram.

"Oleh yang demikian, semua anggota Suaram adalah kakitangan dan tali barut Soros. Kita juga mahu tanya Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua mengapa beliau mengeluarkan gambar palsu Najib dan Altantuya?

"Siapakah yang membiayai kos pemalsuan gambar tersebut?" katanya. - UTUSAN
Samun: Kontraktor maut ditetak

KLANG, SABTU, 29 September, 2012: Seorang kontraktor penyelenggaraan ditemui mati dengan kesan cedera di kepala, dipercayai akibat ditetak senjata tajam di rumahnya di Taman Teluk Gedung Indah, Pandamaran hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, mayat lelaki tempatan berumur 58 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang di atas lantai bilik tidurnya kira-kira 8.20 pagi.

"Polis turut menemui kesan tompokan darah di bilik tidur si mati dan titisan darah di tangga rumah," katanya ketika di sini hari ini.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu disamun sebelum dibunuh kerana wang berjumlah RM2,500 yang disimpan mangsa dalam dompet hilang.

Mohamad berkata, berdasarkan siasatan, mangsa bersendirian di rumah selepas anak lelakinya berumur 22 tahun, yang bekerja dengan kontraktor berkenaan, ke tempat kerja.

"Menurut anak mangsa, ayahnya selalu tidak mengunci pintu rumah ketika berada di rumah," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA
Kelab malam diserbu, 15 pelacur asing ditahan

KUALA LUMPUR, SABTU, 29 September, 2012: Kegiatan sebuah kelab malam eksklusif di Jalan Bukit Bintang yang menawarkan khidmat pelacur warga asing terbongkar apabila diserbu polis awal pagi ini.

Dalam serbuan pukul 1.15 pagi oleh anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu, sebanyak 15 pelacur berusia 26 hingga 33 tahun ditahan.

Kesemua mereka terdiri daripada lapan warga Uzbekistan, Maghribi (dua) dan masing-masing seorang Yemen, Rusia, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Azerbaijan. Selain itu, polis turut menahan seorang pelacur warga Sudan.

Operasi yang diketuai Asisten Supritendan Shahrul Nizam Jaafar bersama tiga pegawai dan 15 anggota, menyerbu kelab yang beroperasi tanpa lesen hiburan itu ketika kesemua wanita terbabit asyik berhibur dan menari. - URUSAN
Polis tahan empat lelaki culik anak doktor

ALOR SETAR, SABTU, 29 September, 2012: Polis memberkas empat lelaki yang disyaki menculik anak seorang doktor pakar kulit berusia 13 tahun di sini Selasa lalu sebelum menuntut wang tebusan sebanyak RM500,000.

Difahamkan, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan seorang warga Myanmar itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dalam serbuan berasingan kelmarin dan awal pagi ini.

Suspek pertama ditahan di sebuah rumah di Kuala Kedah di sini malam kelmarin manakala tiga lagi rakannya diberkas di sebuah kuil yang dalam pembinaan di Taman Sutera, Sungai Petani pada pukul 2 pagi ini.

Dalam serbuan di Taman Sutera, salah seorang suspek dikatakan bertindak menyorok di dalam kuil itu selama hampir dua jam sebelum polis memberkasnya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat. - UTUSAN
Nakoula dipenjara bukan kerana filem anti-Islam
*Dari kiri Cindy Lee Garcia, Steve Klein, Anna Gurji dan Nakoula
AKHIRNYA semalam Nakoula Basseley Nakoula dipenjarakan.

Namun jangan salah sangka. Dia bukannya dipenjarakan kerana menerbitkan filemInnocence of Muslims, tetapi di atas tuduhan melanggar syarat-syarat pengawasan atau parol kerana menipu bank.

Lelaki berusia 55 tahun dan penganut Kristian Qibti itu menjadi terkenal kerana menerbit filem anti-Islam yang mendapat kecaman seluruh dunia Islam.

Segalanya bermula pada 11 September apabila filem tersebut dimuatkan dalam Youtube milik Google Inc. sehingga menyebabkan empat rakyat AS dibunuh termasuklah Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Chris Stevens.

Tunjuk perasaan yang bertukar menjadi ganas membantah filem itu telah mencederakan berpuluh-puluh yang lain dalam beberapa siri serangan di Kedutaan AS di Tunisia, manakala di Sudan pula kedutaan AS, Jerman dan Britain diserang pada 14 September.

Saturday 29 September 2012

Penyokong demo desak Che Mat Jusoh letak jawatan
*PENYOKONG pasukan bola sepak Terengganu berdemonstrasi mendesak
Che Mat Jusoh meletak jawtaan di Kuala Terengganu, hari ini.
NORHASPIDA YATIM
KUALA TERENGGANU, SABTU, 29 September, 2012: Penyokong pasukan bola sepak Terengganu mengadakan demonstrasi hari ini mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh meletak jawatan walaupun Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menasihati agar tidak berbuat demikian.

Kira-kira 500 penyokong pasukan bola sepak Terengganu mengadakan demonstrasi aman di kawasan parkir di hadapan Pusat Akuatik bermula jam 10.30 pagi bagi menyatakan pendirian mereka supaya satu perubahan besar dilakukan dalam pentadbiran tertinggi PBSNT.

Perhimpunan kumpulan dengan kempen Asal Bukan Che Mat (ABC) itu pada awalnya dirancang diadakan di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar bagi menyerahkan memorandum kepadanya, namun bertukar lokasi atas sebab tertentu.

Peserta demonstrasi, Khairul Fakhruddin Sulaiman, 23, berkata, mereka mendesak supaya PBSNT di struktur semula melalui satu rombakan besar-besaran dan satu dialog terbuka diadakan bersama persatuan itu.

“Kita mahu mereka ubah cara pengurusan daripada persatuan kepada korporat supaya pengurusan PBSNT nampak lebih profesional. Sepatutnya, dalam PBSNT perlu ada badan berkepentingan untuk menjaga dan membantu pentadbiran persatuan.

“Terdapat beberapa unit diperlukan untuk memainkan peranan penting dalam PBSNT antaranya unit perancang ekonomi, sekretariat perhubungan awam dan tajaan bagi melahirkan jawatankuasa kerja yang efektif dan lengkap dalam segenap aspek,” katanya.

Dakwanya, pemimpin persatuan itu tidak memiliki integriti, daya saing, semangat berdikari malah terlalu bergantung serta mengharapkan bantuan daripada Kerajaan Negeri.

“Bayangkan kalau 70 peratus pendapatan persatuan daripada Kerajaan Negeri, mana keupayaan persatuan untuk berdikari? Jadi, muncul pelbagai masalah yang berpunca daripada ketidakupayaan mengurus persatuan dengan baik seperti kelewatan bayaran gaji pemain dan pelbagai masalah lain,” katanya.

Khairul Fakhruddin berkata, kempen ABC tidak akan berakhir selagi tiada perubahan besar dalam PBSNT dan mereka akan terus mendesak supaya satu dialog terbuka diadakan bersama Presiden PBSNT itu.

“Kami mahu satu dialog terbuka diadakan untuk berbincang mengenai kemelut yang melanda dalam pasukan Terengganu.

“Seandainya telah ada satu perubahan besar-besaran dilakukan dalam PBSNT, kami akan mengadakan satu majlis kesyukuran bagi menghargai jasa dan pengorbanan presiden persatuan selama ini selain meraikan wajah baru dalam pentadbiran persatuan,” katanya. - Sinar Harian