My Add

Monday 21 January 2013

31 setinggan Sungai Kerayong dipindah ke PPR Muhibah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 21 Januari, 2013: Lebih 20 tahun berdepan pelbagai masalah di kawasan perumahan mereka, akhirnya 31 keluarga setinggan di Sungai Kerayong (tanah perkuburan Kwong Tung) mendapat surat tawaran menduduki flat PPR Muhibah, Puchong, hari ini.

Surat tawaran itu diserahkan kepada enam wakil penduduk oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Masyarakat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Wan Mohammad Ghazali Nor.

Wan Mohammad berkata, langkah menawarkan penghuni setinggan berkenaan ke PPR sebagai antara langkah di bawah program pembersihan setinggan di Wilayah Persekutuan oleh DBKL.

"Seramai 25 penghuni sudah berpindah ke flat PPR yang sama secara berperingkat sejak tahun lalu dan baki enam lagi penghuni kita tawarkan mereka berpindah ke PPR itu dengan kadar sewa RM124 sebulan.

"Dengan tawaran ini diharap penghuni dapat menjalani hidup dengan lebih sempurna berbanding serba kekurangan sebelum ini," katanya kepada media di Majlis Penyerahan Surat Tawaran flat PPR kepada penghuni setinggan Sungai Kerayong, di sini.

Wan Mohammad berkata, sehingga kini DBKL sudah memindahkan kira-kira 28,000 penghuni setinggan di sekitar Kuala Lumpur dan kini dianggarkan terdapat baki kira-kira 3,000 setinggan lagi di sekitar ibu kota.

Katanya, baki 3,000 penghuni setinggan akan dipindahkan ke flat PPR Bukit Jalil bagi mencapai sasaran membersihkan setinggan di Kuala Lumpur menjelang akhir tahun ini. 

Sementara itu, seorang penghuni setinggan Sungai Kerayong, P Kumala, 43, berkata, dia sangat gembira ditawarkan berpindah ke flat PPR selepas sekian lama mengharungi kehidupan yang serba kekurangan.

"Rumah yang dibina suami sudah buruk, bocor dan terdedah kepada bahaya ancaman ular selain kemudahan pengangkutan yang sukar.

"Namun kini kami semua boleh tidur lena dan anak-anak juga mudah untuk ke sekolah," katanya.

Seorang lagi penghuni Yap Pik Foong, 46, berkata, peluang untuk menjadi penghuni di kediaman PPR adalah hasratnya sejak dulu.

Katanya, biarpun terpaksa membayar sewa namun jumlah berkenaan dianggapnya sangat berbaloi berbanding terpaksa menempuh pelbagai masalah terutama tekanan air rendah semasa dia menghuni setinggan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment