My Add

Saturday 19 January 2013

350,000 pelajar Kelantan terima bantuan
KOTA BHARU, JUMAAT, 18 Januari, 2013: Lebih 350,000 pelajar di seluruh negeri ini akan menerima bantuan awal persekolahan yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat menerusi Bajet 2013 lalu.

Lebih istimewa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih negeri ini untuk melakukan gimik penyampaian bantuan tersebut di Sekolah Kebangsaan Wakaf Bharu, Ahad ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu merupakan penghormatan kepada negeri ini kerana rakyat Kelantan amat memerlukan bantuan tersebut.

Beliau berkata, perancangan Kerajaan Pusat menyampaikan bantuan tersebut pada awal tahun amat baik kerana ketika ini ibu bapa amat memerlukan kewangan.

"Perdana Menteri memilih sekolah di Kelantan untuk memberikan bantuan awal persekolahan. Beliau akan melakukan gimik pelancaran tersebut pada pukul 7.30 pagi di Sekolah Kebangsaan Wakaf Bharu.

"Di Kelantan tidak kurang 350,000 pelajar akan menerima bantuan termasuk di sekolah swasta, sekolah agama, persendirian dan sekolah bukan bantuan kerajaan. Ini satu penghormatan bagi rakyat negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Siber Pemuda Barisan Nasional (BN) Kelantan di sini malam tadi.

Beliau mengulas lawatan kerja sehari Najib ke negeri ini Ahad ini.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, selepas majlis bantuan prasekolah itu Najib akan mengadakan tinjauan mesra di sekitar Pasar Siti Khadijah.

"Pasar Siti Khadijah ini, pembinaannya, pembaikannya, penambahbaikannya dan suraunya dilakukan BN. Ini sebahagian langkah Perdana Menteri mendekati rakyat, Perdana Menteri mahu melihat sendiri cara orang Kelantan berniaga dan semangat keusahawanan rakyat negeri ini.

"Penutup lawatan Perdana Menteri adalah di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong sempena Program Janji Ditepati. RTC adalah sebuah projek yang cukup besar impaknya di Kelantan yang mempunyai kira-kira 2,500 peniaga," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, jentera siber Pemuda UMNO Kelantan bersiap sedia sepenuhnya menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Makin ramai anak muda yang terlatih dalam media sosial ini. Kalau sebulan lalu kita tubuhkan Kelab Tok Pa dan yang hadir lebih 400 orang, hari ini kita adakan kursus.

"Alhamdulillah, banyak kemajuan yang kita capai dalam tempoh empat tahun ini dan hari ini, UMNO berada dalam keadaan lebih selesa kerana pada 2008, kita akui kita kalah berbanding pembangkang dari sudut media sosial, tetapi hari ini kita bangga kerana boleh dikatakan kalaupun tidak melebihi, kita setanding dengan pembangkang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment