My Add

Thursday 24 January 2013

4 Jawatankuasa Tetap Negeri Kedah didakwa gagal adakan mesyuarat
 
KUALA NERANG, KHAMIS, 24 Januari, 2013: Empat Jawatankuasa Tetap (JK) Negeri didakwa tidak pernah sekalipun mengadakan mesyuarat dua tahun berturut-turut iaitu pada 2011 dan tahun lepas, menyerlahkan kelemahan pentadbiran kerajaan PAS Kedah.

Bendahari UMNO Kedah dan Timbalan Ketua UMNO bahagian Padang Terap, Datuk Ghazali Ibrahim yang membuat dakwaan itu, menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menjawab serta memberi penjelasan kepada rakyat.

Beliau berkata, maklumat dalaman yang diperoleh ialah JK Tetap Bioteknoloji, Sumber Manusia, Pelajaran, Alam Sekitar dan Pengangkutan tidak pernah bermesyuarat pada 2011 dan 2012.

Ghazali yang ditemui selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Padang Terap di sini hari ini berkata JK Tetap Kerjaya dan Majlis Ketua Kampung yang ditubuhkan PAS pula tidak pernah mengadakan mesyuarat walaupun sekali pada tahun lalu.

Exco kanan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah ialah pengerusi JK Tetap Bioteknoloji, Pertanian dan Industri manakala seorang lagi Exco kanan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi pula pengerusi JK Tetap Kerja Raya, Bekalan Air dan Tenaga.

Datuk Mohamed Taulan Rasul (Pelajaran, Agama); Tan Chow Kang (Pengangkutan dan Alam Sekitar); Datuk Siti Aishah Ghazali (Pembangunan Wanita); Lim Soo Nee (Sumber Manusia) dan Datuk Abdul Ghani Ahmad (Pembangunan Usahawan, Penerangan).

"Bagaimana kerajaan negeri mentadbir dan menyelesaikan aduan rakyat. Adakah mesyuarat Exco yang diadakan setiap minggu hanya membincangkan hal balak," kata Ghazali yang juga Pegawai Khas Perdana Menteri. 

Ghazali, bekas pengerusi JK Tetap Wanita, Penerangan dan Belia Kedah semasa Tan Sri Sanusi Junid menjadi Menteri Besar lewat 1990-an, berkata JK Tetap di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum 2008 tidak pernah gagal mengadakan mesyuarat setiap bulan.

"Rakyat wajar menilai kemampuan pembangkang terutama PAS mentadbir negeri. Saya rayu rakyat kembalikan kuasa pemerintahan kepada BN pada pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir," katanya.

Beliau berkata, JK Tetap Bekalan Air dan Tenaga hanya sekali mengadakan mesyuarat tahun lepas; Wanita (dua kali pada 2011 dan tiga kali pada 2012); Pengangkutan (dua kali pada 2012); Pertanian (empat kali pada 2011 dan sekali pada 2012); dan Industri (tiga kali pada 2011 dan sekali pada 2012). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment