My Add

Sunday 13 January 2013

81 warga asing ditahan dalam Ops 6P di Melaka

MELAKA, AHAD, 13 Januari, 2013: Seramai 81 warga asing ditahan dalam operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/PATI (6P) dalam serbuan di tapak pembinaan Mukim Belimbing Durian Tunggal, Alor Gajah, di sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Kamalludin Ismail, berkata mereka terdiri daripada 65 lelaki dan empat wanita warga Indonesia, tujuh lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga Myanmar.

Kesemua warga asing berusia antara 21 hingga 50 tahun itu adalah antara 158 orang yang diperiksa dalam operasi selama tiga jam bermula 11.30 malam, membabitkan 32 anggota imigresen.

"Ketika serbuan, kebanyakan warga asing sedang tidur namun dianggarkan 20 daripada mereka yang menyedari kehadiran anggota Imigresen sempat melarikan diri dalam keadaan gelap," katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Kamalludin, antara kesalahan yang dilakukan warga asing terbabit ialah melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan.

Kesemua tahanan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Machap Umboo, dekat sini.

Katanya, siasatan akan dijalankan ke atas majikan tapak pembinaan berkenaan kerana mengambil warga asing yang tidak mempunyai pas atau permit sah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment