My Add

Friday 18 January 2013

Amal politik matang agar negara terus kekal aman

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Januari, 2013: Rakyat perlu mengamalkan politik matang bagi memastikan negara terus kekal aman dan stabil.

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid berkata, meskipun terdapat persaingan politik semasa yang begitu genting antara parti bertanding menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang, rakyat sebenarnya berperanan memastikan kesejahteraan negara.

"Walaupun polemik politik yang berlaku ketika ini begitu kuat, kestabilan negara harus dikekalkan dengan akauntabiliti semua pihak terhadapnya digalakkan," katanya sewaktu berucap merasmikan majlis Wacana Pra PRU-13 anjuran MPN, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak, penganalisis politik Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar.

Seramai 100 peserta melibatkan ahli akademik dari institusi pengajian tinggi tempatan hadir pada sesi perbincangan secara tertutup dan tanpa penglibatan ahli politik.

Wacana tersebut dianjurkan antara lain bertujuan menganalisis sokongan dan pola pengundian semasa serta menilai peluang Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang secara keseluruhan menjelang PRU-13.

Menurut Zakri, MPN berharap wacana itu mampu melahirkan pandangan bernas untuk dimanfaatkan oleh semua pihak.

"Walau apa yang terjadi, kemakmuran dikecapi ini harus dikekalkan. Sehubungan itu, kematangan berpolitik harus diwujudkan dan seterusnya rakyat dapat hidup seperti biasa," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment