My Add

Monday 14 January 2013

Anwar dibenar pinda penyataan tuntutan kes saman fitnah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 14 Januari, 2013: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminda pernyataan tuntutan dalam kes saman fitnah RM10 juta yang dikemukakannya terhadap presiden Just World Movement, Dr Chandra Muzaffar.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membuat keputusan itu selepas menemui peguam S. Surendran dan Latheefa Koya yang mewakili Anwar dan peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin bagi pihak Chandra, di dalam kamarnya hari ini.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Surendran berkata mahkamah turut memerintahkan pihaknya membayar kos sebanyak RM1,000 dan perbicaraan kes berkenaan ditetapkan selama dua hari bermula 3 April depan.

Pada 19 April tahun lalu, kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan cadangan mahkamah supaya mereka menggunakan proses mediasi untuk menyelesaikan kes saman itu di luar mahkamah.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 6 Mac 2008, Anwar mendakwa Chandra mengeluarkan komen-komen berunsur fitnah terhadapnya melalui forum dianjurkan Star Publication (M) Bhd, di Menara Star, Petaling Jaya, pada 3 Mac 2008.

Anwar berkata komen itu diterbitkan dalam akhbar The Star melalui artikel bertajuk “Disaster If Anwar Is PM” pada 5 Mac 2008

Chandra dalam pembelaannya menafikan mengeluarkan komen jahat, palsu atau memfitnah Anwar dan berkata ia disiarkan dengan perlindungan bersyarat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment