My Add

Thursday 17 January 2013

Banjir lumpuhkan aktiviti pagi di Jakarta

 
 JAKARTA, KHAMIS, 17 Januari, 2013:: Hujan lebat yang turun sejak awal pagi Khamis menyebabkan sebahagian besar kawasan di Jakarta dinaiki air, termasuk kebanyakan jalan menuju ke pusat bandar sehingga melumpuhkan aktiviti harian.

 Beberapa tempat di pusat bandar seperti sekitar mercu tanda Jakarta di Bulatan Hotel Indonesia (HI) dilapor dinaiki air sehingga satu meter menyebabkan kesesakan lalu lintas dan ribuan kenderaan terpaksa berhenti kira-kira 100 meter dari bulatan untuk menunggu air surut. 
  

Kawasan lain yang turut ditenggelami air ialah sekitar bulatan Patung Kuda di Jalan Medan Merdeka Selatan dan sebahagian Jalan MH Thamrin serta kawasan Tugu Tani.

Warga kota yang menaiki kereta api untuk ke tempat kerja di pusat bandar terpaksa turun di beberapa stesen seperti di Manggarai dan di Stesen Palmerah pada pagi ini kerana stesen kereta api selepas itu ditenggelami air.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) melaporkan paras air Sungai Ciliwung di Manggarai berada pada 1.02 meter, melepasi paras 'Siaga I' iaitu 950 sm, menandakan banjir akan merebak ke kawasan yang lebih meluas di Jakarta.

Ketua BNPB, Syamsul Maarif dilapor memaklumkan perkembangan terkini kepada Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pada pukul 9.10 pagi ini, termasuk ancaman banjir di kawasan kompleks Istana Presiden dan usaha pengurusan banjir oleh pihak berkuasa.

Pihak berkuasa mungkin mengalirkan sebahagian lebihan air sungai Ciliwung itu ke Sungai Ciliwung Lama bagi mengelakkan empangan di Terusan Banjir Barat daripada pecah dan menyebabkan banjir semakin meluas.
"Tidak menjadi masalah Istana dinaiki air banjir. Yang penting masyarakat terlindungi. Lakukan usaha pengurusan banjir dengan mengerahkan seluruh potensi nasional yang ada.

"Tetap semua menyokong Kerajaan Pentadbiran Jakarta dan memberikan pendampingan. Untuk peringkat nasional semuanya di bawah pengurusan Ketua BNPB. Pantau terus perkembangan dan laporkan kepada Presiden usaha pengurusannya," kata Yudhoyono kepada BNPB.

Sementara itu, pelajar Malaysia yang menuntut di beberapa universiti di sekitar ibu kota dinasihat meningkatkan langkah keselamatan.

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia (PKPMI), Ahmad Nabieh Abqoari Rahmat, berkata semua pelajar Malaysia di Jakarta berada dalam keadaan selamat dan pihaknya menasihatkan mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya berpindah ke Malaysia Hall jika keadaan banjir semakin buruk.

"Universiti Trisakti telah ditutup sementara kerana dinaiki air lebih satu meter. Bagi rumah-rumah pelajar Malaysia yang berpotensi dinaiki air, mereka dinasihatkan berpindah ke Malaysia Hall di Jakarta Pusat dan sering menghubungi PKPMI serta pihak Education Malaysia (EM) Indonesia jika memerlukan bantuan," katanya.

Ahmad Nabieh berkata, sehingga kini belum ada pelajar Malaysia yang berpindah atau dipindahkan, namun mereka dinasihat menyiapkan bekalan makanan untuk beberapa hari sebagai menghadapi kemungkinan berlaku banjir buruk di Jakarta.

Banjir yang berlaku di beberapa kawasan di Jakarta sejak dua hari lalu menyebabkan hampir 10,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan selepas kawasan penempatan mereka, terutamanya di sekitar Sungai Ciliwung dan beberapa sungai lain, dinaiki air sehingga tiga meter. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment