My Add

Wednesday 23 January 2013

Bersatu pastikan Islam terus terpelihara - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, RABU, 23 Januari, 2013: Umat Islam di negara ini mesti bersatu menguatkan barisan dan memantapkan perjuangan untuk memastikan Islam terus terpelihara dan berada pada martabat yang tinggi serta mulia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, umat Islam kini berdepan cabaran yang amat besar untuk mengekalkan kemuliaan agama dan kekuatan ummah berpandukan pedoman al-Quran dan al-Sunnah.

Justeru, beliau berkata, resipi terbaik adalah dengan menjadikan syariat Islam asas panduan dan pedoman dalam segenap aspek kehidupan.

“Umat Islam tidak boleh membiarkan anasir-anasir jahat merosakkan kemuliaan agama kita.

“Usaha tersebut tentunya bukan sesuatu yang mustahil kerana Rasulullah S.A.W. sendiri berjaya membimbing masyarakat Islam terawal sehingga menjadi umat yang terbaik," katanya dalam satu kenyataan media hari ini sempena sambutan Maulidur Rasul 1434/2013.

Selaras dengan tema sambutan tahun ini iaitu Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, Muhyiddin mengajak masyarakat Islam di negara ini bermuhasabah melihat sejauh mana umat Islam berpegang kepada ajaran Islam dan melaksanakan segala titah perintah Allah dan Rasul-Nya.

Katanya, sambutan Maulidur Rasul adalah salah satu cara umat Islam menunjukkan sanjungan serta kasih sayang terhadap perjuangan dan pengorbanan Rasulullah S.A.W. yang tidak pernah kenal erti penat, gentar jauh sekali dibelenggu rasa kecewa demi mengembangkan Islam dalam keadaan serba kekurangan sekali gus berjaya menyatukan umat manusia di bawah satu agama.

“Adakah kita telah menjadikan perjuangan Rasulullah S.A.W. sebagai panduan hidup kita terutamanya dalam memelihara penyatuan ummah di negara kita, dan juga dalam memastikan Islam menjadi agama yang dihormati.

“Jika kita sedar tanggungjawab kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. maka tentulah sambutan pada hari ini akan menjadi lebih bermakna," katanya.

Muhyiddin juga mengajak umat Islam di negara ini untuk melipatgandakan usaha menjadi umat yang terbaik, sederhana dan adil dalam apa juga yang dilaksanakan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment