My Add

Monday 21 January 2013

Buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu dilancarkan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 21 Januari, 2013: Buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Media Massa dilancarkan hari ini bagi membantu pengamal media penyiaran, media cetak dan media baharu yang berfungsi sebagai saluran komunikasi dalam menyebarkan maklumat menggunakan bahasa Melayu mengikut tatabahasa yang betul.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, buku yang dirangka dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu adalah supaya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mencapai tahap kecemerlangan dari segi ejaan, sebutan, diksi dan intonasinya.

"Pelaksanaan ini bagi menambah baik penggunaan bahasa Melayu termasuk dari segi sebutan dan intonasi. Buku yang dilancarkan ini mengandungi banyak petua yang baik dan membina, maka buku ini akan digunakan sebagai asas bagi membetulkan amalan berbahasa Melayu yang salah,” katanya selepas melancarkan buku tersebut di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini.

Buku itu merupakan inisiatif kementerian yang dikendalikan IPPTAR sebagai urus setia bagi memastikan semua media penyiaran dan media cetak melaksanakan penggunaan bahasa Melayu seragam dalam siaran radio, televisyen, akhbar dan majalah.

Ia menggariskan pelan tindakan yang perlu dilakukan setiap organisasi media penyiaran, persuratkhabaran dan media baharu bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam organisasi masing-masing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment