My Add

Friday 18 January 2013

Buku himpunan 101 artikel Salleh Majid dilancar

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 18 Januari, 2013: Sebuah buku bertajuk ‘101 Saranan Salleh’ yang menghimpunkan artikel tulisan bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia), Allahyarham Datuk Mohd. Salleh Abdul Majid, dilancarkan hari ini.

Pengarah Eksekutif, Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd., Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, buku tersebut mengandungi 101 artikel Mohd. Salleh yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia dari tahun 2009 hingga 2011.

"Ia memuatkan pandangan dan komen beliau terhadap isu-isu ekonomi dan kewangan konvensional dan Islam, saham amanah, kesan gejala ekonomi terhadap masyarakat, sikap orang Melayu berhubung aktiviti ekonomi dan kewangan serta perkembangan bursa saham dan amanah saham.

"Selain itu, dimuatkan juga isu-isu politik, pendidikan dan moral manusia yang berkait rapat dengan ekonomi dan kewangan,” katanya dalam majlis pelancaran buku tersebut di Bursa Malaysia di sini.

Buku itu dilancarkan Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin serta bekas Ketua Pengarang Bernama Datuk Seri Azman Ujang.

Mohd. Nasir berkata, antara tajuk artikel di dalam buku tersebut menyentuh sistem kewangan dunia, daya saing dan gaji, selok-belok pasaran saham, model baharu ekonomi dan agenda Melayu, budaya kerja, transformasi dan pakej rangsangan ekonomi dan iltizam capai negara maju.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment