My Add

Saturday 19 January 2013

Daftar pemilih automatik bukan inisiatif boleh dilaksana sekelip mata

KUALA LUMPUR, SABTU, 19 Januari, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata cadangan pelbagai pihak supaya SPR melaksanakan daftar undi secara automatik bukanlah inisiatif yang mampu dilakukan dengan sekelip mata.

Bercakap kepada Bernama, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata jika diteliti dengan lebih mendalam, ia bukanlah satu langkah yang mudah untuk dilaksanakan.

Mengikut cadangan itu, baik yang datang daripada pemimpin kerajaan mahupun pemimpin pembangkang, mahu supaya pendaftaran pemilih dilaksanakan secara automatik sebaik sahaja rakyat Malaysia layak menjadi pemilih apabila mencapai umur 21 tahun.

Antaranya SPR dicadangkan menggunakan terus pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai daftar pemilih bagi memudahkan proses pendaftaran.

Wan Ahmad berkata walaupun pada mata kasar ia seolah-olah antara jalan penyelesaian mudah dan berkesan bagi mengatasi masalah lebih tiga juta rakyat Malaysia yang layak tetapi belum mendaftar sebagai pemilih, namun ia memerlukan pindaan kepada Perkara 119 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keperluan adanya daftar pemilih.

Selain pindaan itu, Wan Ahmad menjelaskan cadangan itu boleh menimbulkan kesulitan kepada pemilih ekoran sikap sebahagian besar rakyat Malaysia pada masa ini tidak menukar alamat tempat tinggal dalam kad pengenalan mereka.

"Bila alamat tempat tinggal pemilih guna alamat lama, ia tidak menggambarkan tempat dia bermastautin pada hari kelayakan. Ini juga menyebabkan kesukaran menentukan lokaliti dan kawasan mana dia layak mengundi.

"Alamat lama juga akan menyebabkan pemilih mengundi di luar kawasan kediaman mereka, dan bila jarak ke pusat pengundian jauh, dikhuatiri mereka sukar untuk datang mengundi," katanya.

Wan Ahmad berkata perkara itu amat bergantung kepada sikap pemilih itu sendiri sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dengan masa depan negara, perlu menukar alamat kediaman terbaharu mereka pada daftar pemilih.

Mengulas mengenai pangkalan data JPN itu sendiri, beliau berkata pangkalan data itu tidak mempunyai maklumat yang lengkap bagi menentukan siapa yang layak menjadi pemilih pada pilihan raya.

"Contoh paling mudah, orang yang tidak sempurna akal hilang kelayakan sebagai pengundi, namun bila dia tidak sempurna akal nama dia tetap berada dalam pangkalan data JPN kerana dia warganegara.

"Pemilih tidak sempurna akal kita kena gugurkan sebagai pemilih, jadi timbul pertembungan keperluan SPR dan JPN di sini. Maka cara yang terbaik ialah sebuah pangkalan data sendiri iaitu daftar pemilih, di mana mudah kita gugurkan mana-mana pengundi yang tidak layak," katanya.

Bermula semalam selama 14 hari, SPR telah mula mempamerkan rang daftar pemilih baharu iaitu Rang Daftar Pemilihan Tambahan (Rang DPT) bagi Suku Tahun 4/2012 di 949 lokasi seluruh negara.

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said dalam kenyataan semalam berkata Rang DPT itu melibatkan urusan permohonan pendaftaran sebagai pemilih bagi Oktober, November dan Disember tahun lepas.

"SPR telah menerima sebanyak 295,122 pemohonan pendaftaran sebagai pemilih yang terdiri daripada 243,751 pemilih baharu dan 51,371 pemohonan pertukaran alamat pusat mengundi pemilih yang telah berdaftar dengan SPR," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment