My Add

Friday 11 January 2013

Dagangan Malaysia, Australia dijangka meningkat

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Januari, 2013: Dagangan dua hala antara Malaysia dan Australia dijangka meningkat tahun ini menerusi pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) yang berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) berkata, ini sekali gus memberi peluang kepada pengeksport tempatan untuk saling bersaing bagi memasuki pasaran negara berkenaan.

Malah jelasnya, selama ini pun beberapa manfaat telah berjaya dikecapi hasil daripada kerjasama dan hubungan erat antara kedua-dua negara.

"Antaranya Malaysia kini merupakan rakan dagangan ke-10 terbesar di Australia dengan dagangan dua hala berjumlah hampir AS$16 bilion (RM51 bilion) pada tahun kewangan terakhir. Ia dijangka meningkat tahun ini dengan pelaksanaan MAFTA," katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri bertajuk Australia dan Malaysia - Berdagang Bersama, Belajar Bersama dan Bekerja Bersama di blognya, http://1malaysia.com.my hari ini.

MAFTA adalah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang keenam buat Malaysia yang telah mengadakan perjanjian sama dengan Jepun pada 2005, Pakistan (2007), New Zealand (2009) Chile (2010) dan India (2011).

Di bawah MAFTA, Malaysia secara berterusan akan mengurang atau menghapuskan tarif terhadap beberapa produk berkaitan industri dan pertanian mulai 1 Januari lalu dan seterusnya setiap 1 Januari sehingga 2019.

Najib berkata, hubungan bilateral kedua-dua negara juga penting dalam sektor pendidikan khususnya bagi penuntut yang mahu menyambung pengajian di Australia.

Ujar beliau, untuk itu Australia telah membuat pelaburan dalam hubungan jangka panjang untuk menyokong pertukaran budaya serta pendidikan bersama Malaysia.

"Setakat ini, kira-kira 22,000 orang rakyat Malaysia melanjutkan pengajian ke negara tersebut. Angka ini dijangka meningkat dengan termeterainya memorandum persefahaman mengenai pengajian tinggi di Perth baru-baru ini.

"Australia telah bersetuju untuk menyediakan pakej tiga tahun dengan mengeluarkan sebanyak 21 biasiswa, fellowship, anugerah serta pertukaran dalam usaha negara itu menyokong transformasi ekonomi di Malaysia," katanya.

Jelas beliau, dengan menganggap pemimpin masa depan Australia akan menjadi lebih berpengetahuan luas mengenai Asia, memorandum perjanjian berkenaan secara spesifiknya memberi fokus untuk meningkatkan lagi jumlah penuntut Australia di Malaysia serta meningkatkan penyertaan praktikal dalam kalangan penuntut.

"Untuk memastikan agar ia dikenali sebagai Abad Asia, Australia telah melakukan pelbagai inisiatif untuk merapatkan hubungannya dengan negara-negara jiran. Mereka dilihat memberi perhatian yang lebih kepada Asia dan Asia Tenggara khususnya apabila Menteri Luarnya, Bob Carr melakukan beberapa lawatan kerja ke rantau ini termasuk Malaysia, bulan lalu.

"Malah, Perdana Menteri Australia, Julia Gillard mengeluarkan kenyataan bahawa penyesuaian diri dengan pembangunan di Asia adalah matlamat Australia seterusnya," kata beliau.

Kata Najib, kerajaan Australia juga selama ini memberi kepercayaan penuh kepada usaha Malaysia dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sedang dilaksanakan kerajaan.

"Untuk itu saya menyeru rakyat agar mengambil peluang menerusi perkembangan terbaharu ini. Kedua-dua negara juga berkongsi sejarah yang sama apabila berganding bahu ketika Perang Dunia Kedua dan sewaktu darurat. Kita juga turut berkongsi masa depan cerah bersama," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment